Siasat dana asing diterima DAP

- Advertisement -

LAPORAN polis, dakwaan, pendedahan serta pengakuan beberapa pihak yang mengaitkan DAP dengan bantuan atau penerimaan dana asing menuntut untuk kes tersebut dibuka semula atau dijalankan siasatan ke atasnya. Tindakan tersebut amat penting dan mendesak kerana sehingga kini semua keterangan tersebut tidak menghadapi tindak balas perundangan mahupun penafian daripada pihak DAP sendiri.

- Advertisement -

Antara mereka adalah bekas Setiausaha Politik Ketua Menteri Pulau Pinang, Mohamad Razali Abdul Rahman yang pernah menyatakan bahawa DAP menerima wang rasuah sebanyak RM300 juta daripada pihak Israel. Begitu juga laporan polis oleh bekas Pegawai TUDM, Kapten Abdul Rahmat Omar Tun Mohd Haniff yang mendakwa Red Bean Army DAP menerima dana disalurkan oleh Open Society Foundations (OSF) milik George Soros.

Malah, bekas Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman mendakwa DAP menerima dana segera daripada negara-negara luar untuk membiayai pilihan raya. Manakala Presiden International Republican Institute (IRI), Daniel Twining secara terbuka mengaku bahawa pihaknya telah memberi dana kepada Pakatan Harapan untuk menghadapi PRU14 yang lalu.

Semua ini merupakan penyataan teramat serius yang berlaku secara sulit dan menyalahi integriti serta undang-undang di mana ia boleh mendalangi tindakan atau langkah urus tadbir berkaitan. Bahkan, perkara ini dipercayai mempunyai tujuan politik yang boleh mendatangkan gugatan terhadap kedaulatan, keselamatan serta kepentingan negara. Oleh itu, risiko yang ada ini mesti segera ditangani pihak berkuasa.

Kami khuatir, perbuatan khianat dan umpama ‘menjual’ negara ini sekiranya tidak dikekang dan ditangani segera boleh mengundang pelbagai ancaman merbahaya terhadap rakyat dan institusi penting negara ini. Kerana bibit-bibit berkaitan telahpun ternyata dapat dilihat dilakukan oleh ahli-ahli politik daripada DAP yang mutakhir ini ghairah mengusik perkara berkaitan Islam, Melayu dan Bumiputera serta institusi berkaitannya.

“Islam Memimpin”
“Terus Mara” 

YB USTAZ MUHAMMAD KHALIL ABDUL HADI
Ketua Pemuda
Dewan Pemuda PAS Malaysia – HARAKAHDAILY 12/2/2019
 

- Advertisement -