PAS Lumut sentiasa jaga kebajikan veteran

- Advertisement -
LUMUT: Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan (LKK) PAS Kawasan Lumut telah mengadakan kunjungan ziarah kepada veteran-veteran PAS di sekitar Pundut, Taman Melati dan Batu 8 Lekir, di sini hari ini.
 
Aktiviti rutin tersebut dilaksanakan bersama anggota Jawatankuasa Pilihan Raya Kawasan (JPRK) dan HalWa JPRK Lumut sebagai menunaikan tanggungjawab dan memberi perhatian kepada golongan tersebut.
 
Menurut Ketua HalWa JPRK, Habibah Rasdi, ziarah tersebut juga sebagai keprihatinan dan mengenang pengorbanan pernah dicurahkan para veteran terhadap perjuangan PAS dengan mengikuti perkembangan semasa mereka.
 
Selain itu ujarnya, aktiviti tersebut juga dapat mengeratkan jentera PAS kepada masyarakat setempat yang ditemui sepanjang ziarah tersebut serta mendengar aduan mereka berkaitan hal ehwal semasa.
 
Antara veteran dikunjungi pada ziarah tersebut adalah aktivis PAS dikenali masyarakat dengan panggilan Pak Uteh yang nyata terharu hingga menitiskan air mata ketika menerima kehadiran rombongan.
 
Turut serta adalah Ketua Muslimat PAS Lumut, Rohawati Abidin yang juga mantan calon PAS Dun Pasir Panjang dan Pengarah JPRK Lumut, Osman Ahmad serta Ketua Urusan Ulamak, Ustaz Zainal Abidin Saad. – HARAKAHDAILY 11/2/2019
- Advertisement -