PAN jangan aibkan maruah institusi Islam

- Advertisement -

PERTIKAIAN terbuka oleh Pengerusi PAN Taiping, Mohd Saad Ismail terhadap Pegawai Tadbir Agama Daerah Taiping berkaitan keputusan pelantikan Ahli Jawatankuasa Kariah Masjid adalah tidak matang, melulu dan semberono. Bahkan tindakan beliau selaku Ahli Majlis Perbandaran Taiping sangat tidak profesional kerana menyerang melalui media sosial Facebook.

- Advertisement -

Sikap umpama lelaki belum baligh itu jelas tidak menghormati penjawat awam dan juga institusi diwakili iaitu Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk). Malah boleh dianggap menderhaka terhadap Tuanku Sultan Perak yang telah memberi perkenan. Selain juga dilihat satu cubaan campur tangan politik yang tidak sepatutnya mengusik urus tadbir atau mengaibkan kredibiliti institusi berkenaan.

Apakah perbuatan tersebut diserlahkan atas keangkuhan sekelumit kuasa yang sedang dipegang atau ia sebenarnya mewakili pihak berkepentingan lain bersama agenda dan motif politik mereka? Kami mengingatkan supaya jangan sesekali ada cubaan untuk mencemarkan institusi mulia ini dari kepentingan sempit yang tidak meninggikan Islam dan memajukan umatnya.

Kami juga mengingatkan agar tidak berlaku sebarang kongkongan politik terhadap institusi umat Islam ini. Kami menggesa Mohd Saad tampil memohon maaf kepada pihak berkenaan tanpa melanjutkan perbuatan yang boleh mengundang sensasi dan kontroversi serta ketidakharmonian. Keutuhan dan maruah institusi Islam adalah tanggungjawab bersama.

Kami juga menyeru seluruh umat Islam di negeri Darul Ridzuan ini menerima dengan hati terbuka serta lapang dada pelantikan baharu Ahli Jawatankuasa Kariah Masjid sebagaimana diumumkan JAIPk. Bersama kita mengimarahkan usaha-usaha memperkasakan agenda umat Islam menerusi institusi ini dan mendukung saf baharu yang menerajui pengurusan masjid bagi sesi ini.

“Islam Memimpin”

HAJI ALIAS AHMAD 
Yang DiPertua
PAS Kawasan Taiping – HARAKAHDAILY 11/2/2019

- Advertisement -