Mampukah PH yakinkan pengundi Melayu?

- Advertisement -

SEJAK calon DAP gagal merampas kerusi P.78 Cameron Highland dalam Pilihan Raya Kecil yang dilangsungkan pada 26 Januari lalu, banyak sekali perbincangan yang timbul mengenai kemampuan Pakatan Harapan untuk meyakinkan pengundi Melayu supaya mengundinya.

- Advertisement -

Antara yang membuat analisa mengenai perkara ini adalah strategis DAP yang juga Ahli Parlimen Bangi, Dr Ong Kian Ming, dalam tulisan beliau pada 7 Februari yang menyebut bahawa undi Melayu boleh diperolehi jika Pakatan Harapan mengambil langkah-langkah tertentu.

Saya terkejut melihat begitu mudah sekali Dr Ong menganggap bahawa undi Melayu akan diperolehi jika Pakatan Harapan memastikan bahawa dasar-dasar pro-rakyat yang ia telah atau akan laksanakan turun ke bawah kerana majoriti golongan B40 adalah pengundi Melayu.

Antara dasar-dasar pro-rakyat Pakatan Harapan yang Dr Ong berikan sebagai contoh adalah sumbangan I-Suri kepada suri rumah – suri rumah miskin, pas pengangkutan awam My100 dan My50 serta skim insurans kesihatan MySalam kepada golongan B40.

Pelik bila Dr Ong, yang mempunyai ijazah PhD dari Duke University dan yang terlibat merangka Manifesto Pakatan Harapan, boleh berfikiran simplistik tanpa menyelami psikik sebenar pengundi Melayu dan boleh melupakan kandungan Manifesto Pakatan Harapan.

Jika diteliti kepada kandungan Manifesto Pakatan Harapan, isu yang menyentuh pengundi Melayu terdapat dalam dua daripada 60 janji, iaitu Janji 11 (Mengembalikan maruah orang Melayu dan institusi-institusinya) dan Janji 30 (Memajukan ekonomi Bumiputera).

Dalam Janji 11 disebutkan “Kerajaan Pakatan Harapan akan memastikan tanah-tanah rezab Melayu dilindungi dan semua tanah rezab Melayu yang telah ditukar status diganti semula dengan tanah yang nilainya sama atau lebih tinggi”.

Turut disebutkan dalam Janji 11 adalah janji bahawa “Syarikat-syarikat milik kerajaan yang terpilih akan dipersediakan untuk dibeli oleh pengurusan (management buy out) agar peratus pemilikan ekuiti Melayu dan Bumiputera meningkat”.

Dalam Janji 30 pula disebutkan “Kerajaan Pakatan Harapan akan memberi lebih banyak penumpuan kepada pembangunan ekonomi orang Melayu dan Bumiputera agar akan wujud sebuah bangsa yang boleh berdikari dan bersaing secara sihat di serata dunia”.

Secara lebih spesifik lagi, Janji 11 menyebut: “Prestasi dan pencapaian agenda memartabatkan maruah bangsa Melayu dan Islam akan dibentangkan dan dibahaskan di Parlimen setiap tahun agar kerajaan sentiasa bertanggungjawab kepada rakyat keseluruhannya. Kedudukan ekonomi Melayu akan dibentangkan dalam ucapan belanjawan setiap tahun supaya kerajaan boleh dipertanggungjawabkan secara terbuka.”

Begitu juga dengan Janji 30 yang menyebut: “Untuk memastikan iltizam kerajaan yang berterusan dalam membantu warga Bumiputera, Kerajaan Pakatan Harapan akan mengira secara tuntas dan menerbitkan kepada umum jumlah pegangan ekuiti Melayu dan Bumiputera terkini agar ia menjadi penanda aras yang tepat dalam usaha mencapai matlamat peningkatan ekuiti Melayu dalam pasaran. Laporan ini akan dibentangkan di Parlimen dalam setiap Ucapan Belanjawan Menteri Kewangan.”

Malangnya, janji-janji ini langsung tidak dipetik oleh Dr Ong dalam tulisan beliau itu, malah ia juga tidak disebut oleh Menteri Kewangan merangkap Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, dalam Ucapan Belanjawan 2019 yang beliau bentangkan pada 2 November 2018.

Apa agaknya yang dimaksudkan dengan “agenda memartabatkan maruah bangsa Melayu dan Islam” seperti yang terkandung dalam Manifesto Pakatan Harapan? Apakah ia hanya sekadar dasar-dasar pro-rakyat membabitkan golongan B40 seperti yang disebutkan oleh Dr Ong?

Mengapa pula prestasi dan pencapaian agenda memartabatkan maruah bangsa Melayu dan Islam ini, khasnya kedudukan ekonomi Melayu serta jumlah pegangan ekuiti Melayu dan Bumiputera, tidak dibentangkan dalam Ucapan Belanjawan 2019 seperti yang dijanjikan?

Saya telah menyemak Ucapan Belanjawan 2019 setebal 78 muka surat yang dibentangkan oleh Lim untuk mencari jika wujud di mana-mana pembentangan mengenai perkara ini, malangnya apa yang ada hanyalah 3 fokus membabitkan 12 strategi ini sahaja:

Strategi 1:     Memperkukuh Pengurusan Fiskal
Strategi 2:     Menstruktur Semula dan Merasionalisasi Hutang Kerajaan
Strategi 3:     Meningkat Hasil Kerajaan
Strategi 4:     Menjamin Kebajikan dan Kualiti Hidup
Strategi 5:     Meningkat Peluang Pekerjaan dan Kebolehpasaran
Strategi 6:     Meningkatkan Kualiti Perkhidmatan Kesihatan dan Perlindungan Kebajikan Sosial
Strategi 7:     Meningkatkan Pendapatan Boleh Guna
Strategi 8:     Pendidikan bagi Masa Hadapan Yang Lebih Baik
Strategi 9:     Mencetuskan Kuasa Ekonomi Baharu
Strategi 10:     Merebut Peluang Dalam Menghadapi Cabaran Global
Strategi 11:     Mendefinisi Semula Peranan Kerajaan Dalam Perniagaan
Strategi 12:     Memastikan Pertumbuhan Ekonomi Yang Saksama Dan Mampan

Perkara-perkara beginilah, dari sudut ekonominya, yang sangat perlu diambil berat dan diberikan penekanan oleh Pakatan Harapan dalam usahanya untuk meyakinkan pengundi Melayu supaya mengundinya, khususnya dalam Pilihan Raya Kecil N.24 Semenyih pada 2 Mac ini.

Jika tiada penegasan-penegasan tertentu dari Pakatan Harapan mengenai perkara-perkara begini, dan jika hanya strategi Dr Ong diguna pakai, maka tidak mustahil pengundi Melayu Semenyih, seperti pengundi Melayu Cameron Highland, akan turut menolak Pakatan Harapan. – HARAKAHDAILY 11/2/2019

- Advertisement -