PAS buka pintu kepada SPRM

- Advertisement -

MARANG:  PAS mengulangi pendirian tegas sedia membuka pintu seluas-luasnya kepada siasatan pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam isu fitnah RM90 juta.

- Advertisement -

Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, ada kenyataan supaya SPRM siasat dan PAS terbuka untuk disiasat.

“PAS membuka pintu kepada SPRM untuk siasat. Kita memang suka jika siasat ini kerana kita mahu jadi parti yang bersih.

“Bahkan, cukup dengan kenyataan Menteri di Parlimen sebelum pilihan raya (PRU14) lalu. Ada soalan di parlimen, berapa orang ahli parlimen yang disiasat daripada semua-semua parti politik.

“BN ada disiasat dengan jumlahnya, Pakatan Harapan ada disiasat dengan jumlah dia. PAS tak ada dan itu sudah cukup,” tegasnya yang juga Ahli Parlimen Marang menjawab pertanyaan pemberita.

Beliau berkata demikian selepas Kuliah Dhuha Pagi Jumaat Masjid Rusila, di kediamannya, Kampung Rusila, hari ini.

Menurut beliau, terpulang kepada SPRM untuk menyiasatnya tetapi mestilah berlaku adil dengan menyiasat juga sumber parti-parti lain.

Menjawab persoalan penarikan saman beliau terhadap Sarawak Report Clare Rewcastle Brown, kata Presiden PAS itu sudah memadai dengan kenyataan dibuat oleh Setiausaha Agung PAS, Dato’ Takiyuddin Hassan dan Setiausaha Politiknya, Mohd Syahir Sulaiman.

“Kenyataan Setiausaha Agung PAS, Setiausaha Politik itu sudah cukup kenyataan itu. Kita bersetuju untuk pembatalan termasuklah Clare pun setuju membatalkan.

“Sebab, Setiausaha Agung ini dia peguam dan Setiausaha Politik saya juga sudah buat kenyataan. Dan kita terikat dengan perjanjian kedua-dua belah pihak. Dia ikat dengan perjanjian, kita pun ikat dengan perjanjian,” jelasnya.

Namun, katanya, ahli-ahli PAS juga bersetuju jika kes saman itu tidak diteruskan bagi memberi tumpuan parti dalam negara ini. – HARAKAHDAILY 8/2/2019

- Advertisement -