Bijaksanakah khutbah bangkit isu anti raja?

- Advertisement -

TIDAK dipastikan akan gelora dan gelombang anasir anti raja hingga khutbah Jumaat di masjid-masjid Wilayah Persekutuan membangkitkannya pada Hari Wilayah Jumaat lalu dan sehari selepas as-Sultan Abdullah dinobatkan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16.

- Advertisement -

Khutbah itu dimukadimahkan dengan kesyukuran pemasyhuran Yang di-Pertuan Agong baharu tetapi antara sasarannya ialah gara-gara adanya elemen anti raja yang dikatakan sekadar segelintir termasuk orang Islam sendiri.

Justeru Jumaat itu adalah jatuh pada Hari Wilayah Persekutuan tentulah logiknya satu khutbah istimewa bagi pemastautin Wilayah dan jatuh sehari selepas para Raja berkumpul di Istana Negara mendaulatkan giliran Seri Paduka Yang di-Pertuan Agong yang baharu.

Syukur itu wajar, terpuji dan dikehendaki bagi sebuah pemerintahan wilayah Islam yang selepas kewafatan Rasulullah SAW dipanggil Amirul Mukminin. Tidak wajar sebuah wilayah berakyat, berperintahan dibiar kosong amir/imam. Apabila bumi dicipta Allah kirim Adam untuk menjadi khalifah. Sebuah rumahtangga dilihat tidak sempurna apabila tiada sang suami jadi ketua keluarga.

Terpulang kepada peradaban semasa menentukan sistem ketua wilayah itu yang apa jua pilihannya berbentuk raja juga. Presiden mulanya dilihat terbuka, tetapi Presiden Mesir sepanjang sejarah republiknya lebh teruk dari raja sebelumnya malah lebih teruk dari Kaiser Rom.

Malaysia merdeka mengamalkan kebijaksanaannya dengan raja berperlembagaan secara bergilir antara sembilan raja, tidak boleh lebih dari lima tahun seorang.

Tidaklah sistem itu sesempurna Ketua Negara Madinah oleh Rasulullah SAW yang seorang itu. Khalifah ar-Rasyidin pun ada penegurnya, maka amalan beraja di Malaysia juga ada tukang takwilnya. Setakat ini ada kebijaksanaan sistem itu. Sekalipun ada yang getik tetapi tiada kemungkinan ia jejas dan digantikan kecuali lanskap politik negara ini berubah dengan Allah datangkan puak lain menggantikannya.

Maka setakat ini apa perlu dibangkit dalam khutbah Jumaat atau orang-orang politik tentang gejala hendak meruntuhkan kebijaksanaan yang ada itu? Apa bijaksananya ia digembar gembur hingga semua menyangka ada buaya di air yang tenang. Membisingkan benda yang bukan gelombang memungkin timbul sangkaan dan tanyaan buruk sistem yang terpakai itu.

Jika Kulub Besar yang banyak lembu tidak gabra dengan pedaya Kulub Kecil yang ada seekor lembu, nescaya mati kering Kulub Kecil dan tidaklah semua lembu Kulub Besar terbunuh demi meraih duit berguni dengan menjual belulang lembunya yang Kulub Kecil reka saja.

Sistem raja itu nampak buruk bila rakyat buta demokrasi dan Islam tidak terlaksana. Rakyat Mesir boleh diibarat sebagai hamba, bukan rakyat kepada setiap presidennya, kehidupan dan ekonomi mereka lebih dhaif keadaan Malaysia yang rajanya ditakwil oleh anti raja yang tidak diketahui ramai mana.

Sedikit sebanyak anti raja itu adalah gara-gara kegagalan Biro Tata Negara yang kewujudannya dulu mempropagandakan orang menjaga UMNO, bukan menanamkan rasa sayang dan cinta kepada sistem yang kita pilih.

Gejala anti raja tidak selesai dengan khutbah menempelaknya dan membising di sana sini tentangnya. Ia mesti menambah baik sistem itu dari dalam, terutama kerabat diraja itu sendiri, bagaimana boleh jadi ulil amri yang Al-Quran dan Nabi mahu. Taat kepada ulil amri tidak mutlak, tetapi ulil amri kena fikir apa yang memungkinnya jadi ulil amri yang dikehendaki.

Ulil amri berwibawa lebih digeruni/disegani dari semua sistem raja dan presiden demokrasi dan diktator dunia sepanjang zaman. Ini yang kena buat, bukan sekadar menyebutnya dalam khutbah. Menteri Wilayah dan Jawi kena tengok bijakkah mengedarkan khutbah sedemikian? – HARAKAHDAILY 8/2/2019

- Advertisement -