Kerjasama ‘G to G’ untungkan rakyat

- Advertisement -

SAYA mempunyai hubungan kerjasama yang sangat akrab dengan jabatan dan agensi di bawah MOA. Malah hubungan ‘G to G’ saya dengan Menteri MOA juga sangat baik. Semua ini demi kepentingan rakyat atas dasar semangat federalisma. Dalam tulisan ini, saya ambil satu contoh dahulu, Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM).

- Advertisement -

Pengarah LKIM Terengganu antara ketua Jabatan terawal yang berkunjung ke pejabat saya selepas peralihan kerajaan. Dalam tempoh tak sampai setahun usia Kerajaan Negeri Terengganu, telah lebih 5 kali saya hadir ke Kompleks LKIM Chendering atas pelbagai tujuan sama ada lawatan kerja, dialog bersama nelayan dan beberapa agenda lagi.

Malah Pengarah LKIM Terengganu antara Ketua Jabatan terawal yang saya undang untuk turun bertemu dan berdialog dengan nelayan di Seberang Takir. Kemudian disusuli dengan siri dialog bersama nelayan di seluruh Negeri Terengganu. Pengarah LKIM sentiasa bersama.

Di mana tempat berlaku bencana seperti tragedi bot karam di Pulau Duyong, saya bersama Pengarah LKIM turun ke lokasi untuk menyantuni mangsa dan menghulurkan sumbangan.

Malah Kerajaan Negeri dalam perancangan beberapa projek usahasama dengan LKIM seperti Penempatan Semula Nelayan (PSN) di tiga lokasi Besut, Setiu dan Kemaman. Urusan tapak yang menjadi tanggungjawab Kerajaan Negeri telah selesai proses tender. Urusan pembinaan rumah di bawah tanggungjawab LKIM.

Dalam Bajet 2019, kita merancang untuk membina cold room dan slip way di Jeti Perikanan Marang dengan biaya Kerajaan Negeri dan kerjasama teknikal dari LKIM.

Kerajaan Negeri juga memperuntukkan RM1.5 juta untuk kerja-kerja kajian hidrologi bagi mendalamkan dan menaik taraf Pelabuhan Perikanan Chendering walaupun pelabuhan ini bukan milik Kerajaan Negeri.

Tak ada sebarang isu birokrasi yang dirumitkan Kerajaan Negeri sehingga menyulitkan kerjasama ini demi faedah rakyat. Ia telah berlangsung sebelum Pengerusi LKIM baharu dilantik lagi dan kita mengharapkan ianya dieratkan lagi dengan pelantikan Pengerusi baharu.

DR AZMAN IBRAHIM
Exco Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa Negeri Terengganu.
7 Februari 2017 – HARAKAHDAILY 7/2/2019

- Advertisement -