Apa status program dwibahasa?

TAKIRI2
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Kuala Nerus, Dato’ Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali menggesa Kementerian Pendidikan menjelaskan pendirian sebenar kerajaan di era Malaysia Baharu ini terhadap pelaksanaan program dwibahasa (dual language programme – DLP) yang telah dimulakan sejak 2016.

- Advertisement -

Katanya, sejak ia dimulakan sebagai program rintis dan bersifat pilihan, kini pelaksanaannya dilihat semakin meluas dan seperti diwajibkan secara berperingkat.

Sedangkan, ujar beliau DLP sudah terang adalah jelmaan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) yang diumumkan pemansuhannya kerana telah menyebabkan pencapaian pelajar Malaysia dalam Matematik dan Sains merosot dengan ketara pada 2007.

“DLP ini sejak diperkenalkan telah dibantah bukan sahaja oleh tokoh-tokoh akademik tetapi juga ahli-ahli politik pembangkang, pada masa itu, yang kini sudah menganggotai kerajaan,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, adalah amat malang sekali jika program itu kembali mendapat tempat dan semakin dikukuhkan kedudukannya oleh Kerajaan baharu.

“Saya juga merasa curiga dengan kajian impak pelaksanaan DLP yang telah dijanjikan pada November tahun lalu untuk dibentangkan pada Januari tahun ini,” ujarnya lagi.

Tambahnya, tidak mustahil jika laporan itu nanti memihak supaya DLP ini bukan sahaja diteruskan tetapi juga dijadikan dasar utama dalam sistem pendidikan negara. – HARAKAHDAILY 6/2/2019

 

- Advertisement -