Pemuda PAS Sabah optimis muafakat pembangkang

- Advertisement -

DEWAN Pemuda PAS Negeri Sabah (DPPNS) menyedari bahawa sudah tiba masanya semua parti bukan kerajaan di negeri termasuk Umno Sabah untuk terus memulakan tindakan semak dan imbang yang lebih komprehensif terhadap Kerajaan Negeri yang dipimpin oleh parti Warisan Sabah.

- Advertisement -

Umum mengetahui ada sebahagian parti politik yang hanya muncul ketika waktu pilihan raya sama ada ia bertaraf tempatan mahupun nasional dan hilang sekelip mata, namun Pemuda PAS tetap utuh bersama menjaga kepentingan Bumiputera Sabah sehingga waktu ini.

Hari ini, rata-rata anak Sabah di seluruh negeri ini masih dibelenggu beberapa masalah yang memerlukan solusi mapan di bawah tampuk Kerajaan Negeri yang baharu. Ia termasuklah berkaitan infrastruktur jalan raya, kos harga rumah yang agak tinggi, peluang pekerjaan anak negeri, pendidikan, orang tanpa negara (OTN) dan beberapa isu yang lain.

Pemuda PAS berpandangan adalah wajar untuk kita melihat politik nilai dan bergerak ke arah dimensi baharu untuk kepentingan negeri. Ia sekali gus dapat memberi manfaat kepada masyarakat yang masih memerlukan pembelaan hak dan khidmat sosial dengan sewajarnya.

Justeru, kami sentiasa optimis bahawa muafakat parti bukan kerajaan di negeri ini banyak memberi implikasi positif untuk kepentingan rakyat dan ianya selaras dengan agenda Budaya Politik Matang dan Sejahtera (BPMS) yang menjadi suatu keperluan semasa iklim politik di negeri ini.

Mara Menuju Cita”

ZULZAIM HILMEE ABIDIN
Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Sabah (DPPNS) – HARAKAHDAILY 2/2/2019

- Advertisement -