‘Rahmatan Lil Alamin’ tanpa ikatan akidah

- Advertisement -

KOTA BHARU: Konsep ‘Rahmatan Lil Alamin’ yang diperkenalkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) sekadar mengulangi moto yang banyak digunakan kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum ini.

- Advertisement -

Penerapan nilai-nilai Islam dan Islam Hadhari kini tidak lagi menjadi sebutan ramai selepas pemimpin bertukar ganti.

Timbalan Presiden PAS, Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, konsep tersebut biar pun nampak ada pembaharuan, namun malangnya tidak disandarkan kepada akidah.

Katanya apa yang berlaku sekarang memperlihatkan kerajaan PH mahu menjaga masyarakat bukan Islam lebih daripada orang Islam.

“Mereka cuba memperlihatkan Islam memberi rahmat kepada semua orang. Namun perlu diingatkan ia perlu disandarkan kepada akidah.

“Dalam Islam setiap perkara yang dilakukan perlu berpandu kepada akidah,” katanya ceramah jelajah Hari Murabbi Ummah di perkarangan Pasar Saidina Ali di Pekan Kok Lanas malam tadi.

Hadir sama Yang Dipertua PAS Ketereh Ustaz Wan Ismail Wan Jusoh dan Penyelia Dun Kok Lanas Ustaz Nik Mahadi Nik Mahmood.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Dato’ Dr Mujahid Yusof sering kali mencanangkan idea Rahmatan Lil Alamin yang cuba menggambarkan kasih sayang Islam terhadap semua pihak.

Bagaimanapun Tuan Ibrahim bimbang konsep tersebut akan hanyut sama seperti Islam Hadhari yang pernah digagaskan Tun Abdullah Ahmad Badawi. – HARAKAHDAILY 1/2/2019

- Advertisement -