Badan berkaitan Felda perlu duduk bersama

- Advertisement -

LEMBAGA Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) telah ditubuhkan pada 1 Julai 1956 di bawah Ordinan Kemajuan Tanah 1956 untuk pembangunan tanah dan penempatan semula dengan objektif pembasmian kemiskinan melalui penanaman tanaman sawit dan getah. Seramai 112,635 orang peneroka telah berjaya menjadi peserta.

- Advertisement -

Pada tahun 1990, FELDA tidak lagi membuat pengambilan peneroka baharu. Walaupun masih ada 360,000 Hektar tanah kosong di seluruh negara.

Kerajaan telah memberi kebenaran kepada Felda untuk berdikari dengan kewangan sendiri dan menjadi sebuah badan berkanun yang boleh menjana pendapatan sendiri untuk menyokong pelbagai perkembangan melalui pelbagai perniagaannya.

Sehubungan itu, pada 1994 kerajaan tidak lagi menyalurkan apa-apa peruntukan kepada Felda. Sebagai usaha menjana pendapatan, Felda telah melancarkan beberapa entiti korporat swasta terutamanya untuk memastikan rantaian nilai yang lengkap aktiviti terasnya. Antara yang terbesar adalah koperasi Permodalan Felda (KPF), Felda Global Ventures (FGV) dan Felda Investment Corporation (FIC).

KPF telah bergerak dengan cemerlang, sehingga dinobatkan sebagai koperasi terbaik di Malaysia beberapa tahun. KPF juga mampu membayar bonus dan faedah kepada pemegang sahamnya sehingga 17 peratus setiap tahun.

Era Pimpinan Najib Razak telah membawa tranformasi dengan membawa Felda ke BSKL. FGV disenaraikan dengan gah dan melibatkan transaksi berbilion Ringgit. Antara lain Kerajaan waktu itu meluluskan RM1.4 bilion untuk program perumahan generasi baharu Felda dan sehingga tempoh sasaran selama lima tahun ternyata projek ini gagal.

Oleh itu persatuan-persatuan berkaitan perlu duduk bersama. Seingat saya hampir 20 NGO dan persatuan di bawah Felda dan banyak lagi persatuan yang tidak bernaung berkaitan Felda di Malaysia.

Mereka ini adalah kebanyakannya anak generasi kedua Felda dan kakitangan yang sangat dekat dengan peneroka dan Felda.

Sudah sampai masanya mereka perlu duduk bersama dan kemuka resolusi pemulihan Felda terutamanya isu-isu teras dan juga masa depan Felda ketika era pasca PRU14.

Tunding menunding tidak menyelesaikan masalah, bahkan menambah kekusutan. Agenda bawaan politik juga perlu diletak di luar dewan perbincangan.

Isu hutang, isu pengurusan, isu perumahan, isu pewarisan antara isu lapuk yang terus terperap.

Isu aliran tunai kumpulan antara isu baharu yang membebani Felda dan menjejaskan warga peneroka Felda yang tidak sepatutnya dibebani dengan masalah ini.

Mereka ada 10 ekar kebun sawit dan getah, pada perkiraan mudah mereka sudah mampu menghabiskan sisa hidup dengan hasil kebun tanpa dibebani dengan hutang-hutang yang gagal dibuktikan kebenarannya.

Felda juga perlu melalui era baharu, 60 tahun kitaran yang sudah sampai pada titik mulanya kembali. Perlu ada transformasi ke arah pengurusan tanah dan kebun mereka dengan mekanisma baharu seiring dengan perubahan semasa.

Tanah rancangan yang berada di pinggir bandar sewajarnya dibangunkan dengan perancangan yang menguntungkan semua pihak.

Ianya mesti dilaksanakan dengan jaringan semua pihak terutama kerajaan yang memerintah.

Keadaan yang berlaku sekarang ini, bukan sahaja agak mustahil untuk melihat pelan perancangan atau kertas putih masa depan Felda untuk jangka 60 tahun akan datang, tapi isu-isu teras dan lapuk gagal diselesaikan.

Ketepikanlah kepentingan politik kepartian, kita kena bersatu dan sepakat, masa depan lebih penting, bukan zaman kita sahaja, legasi kita nanti lebih utama. Jika sekarang dengan segala permasalahan tidak mustahil Felda akan lenyap tinggal sejarah.

Memang perkara ini sangat besar dan bukan mudah dirungkaikan, tetapi komitmen perlu dizahirkan agar kita mampu memberi ruang bertenang dan harmoni kepada mereka peneroka Felda yang masih ada dan akan habiskan sisa hidup mereka dengan aman.

Jika bukan kita, Persatuan dan NGO-NGO anak- anak Felda, kakitangan, waris-waris, siapa lagi yang akan memastikan kelangsungan zaman Tun Abdul Razak diteruskan?

Sekian
Catatan Anak Felda
NARAZA MUDA, Felda Jerangau
31 Januari 2019 – HARAKAHDAILY 31/1/2019

- Advertisement -