Tahniah Sultan Abdullah naik takhta Pahang

- Advertisement -

DIRGAHAYU dan tahniah atas ulil amri baru Pahang, moga-moga bertuah rakyat atas sultan barunya.

- Advertisement -

Gembira kita sekalian atas ulil amri ini justeru penampilan pertama sebagai pemerintah dan ketua agama Islam Pahang beraja perempuankan seorang yang bertudung, sultan pertama sejak merdeka beristerikan seorang yang bertudung.

Penampilan begini membebaskan baginda dari dosa isteri tidak bertudung. Bila baginda bebas dari dosa itu, tentulah baginda dilimpahi pahala. Raja Perempuan pun tidak berdosa bahkan berpahala. Dan sekalian laki-laki yang hadir dalam istiadat pemasyhuran naik takhta itu tidak berdosa termasuklah Tuan Muftinya.

Mufti Pahang bertuah berbanding dengan lain-lain mufti terkena dosa dalam istiadat demikian kerana sekalian Permaisuri tidak menutup aurat.

Pertama kali Mufti dan lain laki-laki terpandang Raja Perempuan tidak bertudung belum berdosa, tetapi pandangan kedua dan seterusnya sangkutlah dosa itu. Setiap kali terpandang banyaklah dosa yang terkumpul. Raja berdosa, Permaisuri berdosa, semua berdosa.

Allah tidak mengecualikan dosa itu atas status masing-masing dalam masyarakat. Tok Guru Nik Abdul Aziz dulu, terkenal zuhudnya, bila bertembung keadaan demikian berdosa juga. Dari aspek ini Sultan Abdullah melepaskan orang lain dari dosa. Besarlah pahala orang yang melepaskan orang lain dari berdosa.

Begitulah layaknya seorang ulil umri. Sebagai ketua agama tidak sekadar sedap jadi ketua agama, tetapi mestilah memelihara tanggungjawab dan hak ketua agama itu. Agama itu bukan untuk orang lain bahkan ia untuk khalifah juga. Jika khalifah kencing berdiri, nescaya pacal kencing berlari.

Daulatnya Islam dan umat Islam apabila ketua agamanya memelihara kewajipannya yang banyak itu. Jadi ketua itu bukanlah senang apa lagi menjadi raja. Dan Sultan Abdullah telah memulakan peranannya dengan baik, dan moga-moga kerja yang terpuji itu membantu baginda menyambung seterusnya dengan kerja yang baik juga.

Tidak semua orang berpeluang menjadi raja dan mungkin ramai yang tidak berpeluang itu mahu menjadi raja jika ada peluang. Tetapi ada juga orang yang sudah jadi raja, kalau boleh tidak mahu jadi raja lagi.

Yang di-Pertuan Agong ke-15, Sultan Muhammad V tidak sedia menamakan tempoh penggal lima tahun. Tidak terus jadi Agong lebih selesa bagi baginda. Yang belum jadi Agong menunggu giliran tetapi yang sudah jadi Agong belum tentu jadi Agong kali kedua.

Jadi raja termasuk jadi Agong bukanlah satu kedudukan yang ditunggu atau direbut. Ia adalah satu tanggungjawab dan beban amanah yang besar.

Saidina Abu Bakar as-Sidiq menolak tawaran majlis syura menjadi khalifah yang pertama dengan alasan beliau bukan orang yang terbaik. Jawatan khalifah itu tidak boleh kosong. Mesti ada yang mengisinya. Bukan soal beliau terbaik atau kurang baik, tetapi apabla ditetapkan beliau jadi khalifah, maka tiada wajar baginya menolak.

Khalifah, raja atau ulil amri bukan suatu yang diminta, tetapi suatu yang diamanahkan. Sesiapa yang meminta dirinya menjadi ketua atau tidak akan menolak jika dicadangkan jadi ketua, akan dia adalah orang yang paling tidak layak untuk jadi ketua.

Pahang adalah negeri yang dimasyhurkan dengan Darul Makmur. Jika Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al Musta’in Billah Shah yang memulakan penampilan ulil amri yang baik itu moga-moga dapat melimpah keadilan, terkabullah ia sebagai wilayah benar-benar makmur. Moga-moga raja-raja lain tercabar dengan perkembangan di Pahang itu. – HARAKAHDAILY 27/1/2019

- Advertisement -