Pemuda PAS sembah tahniah YDPA XVI

- Advertisement -

KEBAWAH Duli Yang Maha Mulia
Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah
Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah
DK., SSAP., DK.(Terengganu)., DK.(Johor)., SPMJ., PAT.

- Advertisement -

Ampun Tuanku,

Patik mewakili seluruh hamba rakyat Pemuda PAS merafakkan sembah setinggi-tinggi tahniah atas pelantikan menjadi Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XVI.

Ampun Tuanku,

Sesungguhnya Allah S.W.T telah memilih Tuanku untuk berada di takhta tertinggi pemerintahan negara berdaulat dicintai ini sebagai pembela agama yang memayungi sekalian patik rakyat jelata. Kurniaan kebesaran ini di sisi-Nya adalah taklifan berat yang menuntut tertegaknya keadilan, kebenaran, ketaatan dan kasih sayang.

“Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran; dan janganlah sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada kamu tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada takwa. Dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan setiap yang kamu lakukan.”

(al-Maidah: 8)

Namun, imanilah bahawa Dia sebaik-baik Penolong selagi sekalian para Nabi dan Rasul-Nya, terutama Baginda Rasulullah S.A.W menjadi qudwah peribadi dan akhlak diri.

“Apabila Allah menghendaki seorang pemimpin menjadi baik, diberi-Nya pembantu yang jujur. Jika ia alpa, pembantunya mengingatkan dan jika ia ingat, pembantu itu mendukungnya. Tetapi jika Allah menghendaki sebaliknya, akan diberi-Nya pembantu yang buruk. Jika ia alpa, pembantunya tidak mengingatkan, jika ia sedar, pembantunya tidak mendukungnya.”

(Riwayat Abu Dawud)

Ampun Tuanku,

Realiti di bumi Malaysia yang aman dan makmur ini tidak sunyi dari segala cabaran penuh rencam. Tetapi jadikanlah Islam sebagai pegangan dan pedoman kerana agama itu adalah nasihat.

“Maka disebabkan rahmat dari Allah-lah kamu berlaku lemah lembut terhadap mereka. Sekiranya kamu bersikap keras lagi berhati kasar, tentulah mereka menjauhkan diri dari sekelilingmu. Kerana itu, maafkanlah mereka, mohonkanlah ampun bagi mereka, dan bermusyawarahlah dengan mereka dalam urusan itu. Kemudian apabila kamu telah membulatkan tekad, maka bertawakallah kepada Allah. Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang bertawakal kepada-Nya. Jika Allah menolong kalian, maka tak adalah orang yang dapat mengalahkan kalian; jika Allah membiarkan kalian (tidak memberi pertolongan), maka siapakah yang dapat menolong kalian (selain) dari Allah sesudah itu? Kerana itu, hendaklah kepada Allah saja orang-orang mukmin bertawakal.”

(Ali-Imran: 159 – 160)

Ampun Tuanku,

Patik mewakili sekalian rakyat daripada Dewan Pemuda PAS memanjatkan doa kehadrat Allah S.W.T semoga Dia mengurniakan Tuanku hidayah, riayah dan inayah agar dengan kemantapan ilmu dan kekuatan jasmani, keteguhan takwa diberi kemampuan mengurus tadbir pemerintahan dan memayungi rakyat jelata untuk terus mempertahankan kedaulatan agama dan negara.

Allahuakbar! Daulat Tuanku!

USTAZ MUHAMMAD KHALIL ABDUL HADI

Ketua Pemuda Dewan Pemuda PAS Malaysia

HARAKAHDAILY 24/1/2019

- Advertisement -