Bercakap bohong, lama-lama mencuri

- Advertisement -

JELAS Lim Kit Siang ketakutan, takut Pakatan Harapan kalah di Pilihan Raya Kecil Cameron Highland. Ketika ini, rakyat sedang bangkit dan marah kepada Pakatan Harapan. Hampir semua janji Pakatan Harapan ketika PRU14 hanya bohong belaka.

- Advertisement -

Isu di PRK Cameron Highland membuatkan Pakatan Harapan terutamanya Lim Kit Siang kepanasan. Jentera dan kenderaan Kerajaan digunakan dalam berkempen, kenderaan, ugutan terhadap calon Barisan Nasional dan Tok Batin serta politik wang yang berleluasa. BERSIH yang menjadi juara pilihan raya telus dan adil diam tidak bersuara, sudah sakit, nazak dan bisu.

Rakyat jangan leka dan terpedaya dengan Lim Kit Siang. Isu salah laku di Cameron Highland yang menjadi kemarahan rakyat, bukti DAP tidak langsung mengotakan janji. Jangan lupa isu tol, PTPTN, kos sara hidup dan barang keperluan harian, keluhan peneroka dan pekebun kecil, harga petrol yang tinggi, gaji minimum yang tidak naik seperti dijanji dan banyak lagi janji, sudah hampir setahun janji tidak nampak bayang.

Jelas Pakatan Harapan hanya kuda tunggangan DAP, DAP yang mencatur agenda Pakatan Harapan. Setelah hampir setahun memerintah dan rakyat mula tagih janji, DAP mula berdolak dalih. 1001 alasan diberi akibat tidak tunai janji, maka jelaslah sebenarnya Manifesto mereka hanyalah untuk memancing rakyat mengundi mereka dan tahu mereka tidak mampu menunaikannya.

Jelas rakyat mula bangkit akibat rasa tertipu. Rata-rata meluahkan rasa tidak puas hati sama ada di media sosial mahupun terang-terangan. Akibat takut kalah maka Lim Kit Siang mula gelabah, menyerang tidak ketahuan. Jangan tertipu lagi dengan Lim Kit Siang mahupun DAP, mereka sedang cuba menutup segala keburukan, kelemahan dan janji yang tidak dilaksana.

Siapa yang keluar dari Barisan Alternatif (BA) dan Pakatan Rakyat serta mengapa DAP keluar dari kedua-dua gabungan tersebut ? Adakah Almarhum Dato Fadhil Noor dan Tuan Guru Dato Bentara Nik Abdul Aziz gusar DAP keluar dari gabungan tersebut? Jawapannya tidak, malah kedua-dua tokoh tersebut langsung tidak memujuk DAP untuk kembali.

Maka logikkah Lim Kit Siang berkata beliau percaya pada kedua tokoh tersebut kerana kedua-dua tokoh tersebut langsung tidak mempercayai beliau. Jika mereka percaya tentu mereka pujuk Lim Kit Siang dan DAP masuk kembali ke dalam gabungan BA mahupun Pakatan Rakyat. Selepas DAP keluar, kedua-dua ulamak hebat tersebut langsung tidak peduli DAP.

Lim Kit Siang hanya mahu mengalih tumpuan rakyat dari isu sebenar yang berlaku, jangan kita terpedaya. Tuntut segala janji DAP dan Pakatan Harapan ketika pilihan raya namun gayanya ia hanya mimpi. Orang yang tidak tepati janji biasanya dipanggil pembohong. Ayuh, bermula dengan Cameron Highland kita tumbangkan DAP dan PH, kemudian Semenyih dan seterusnya di PRU15.

Pepatah orang tua-tua, siakap senohong gelama ikan duri, bercakap bohong lama-lama mencuri. Bohongnya sudah banyak, bila pula agaknya mencuri.

“Bohong Apa Bossku”

MUHAMMAD KHALIL ABDUL HADI
Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia – HARAKAHDAILY 24/1/2019

- Advertisement -