Terengganu tunggu ‘wang tunai petroleum’

- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Terengganu akan mendapat bayaran ‘wang tunai petroleum’ tahun ini daripada Kerajaan Persekutuan, sebagaimana keputusan dasar Kabinet yang dimaklumkan kepada negeri.

- Advertisement -

Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menjelaskan, Kerajaan Persekutuan menggunakan istilah baharu ‘wang tunai petroleum’ dan bukan lagi royalti atau dana khas.

Menurutnya, wang tunai petroleum itu akan dibayar terus kepada Kerajaan Terengganu sebagaimana surat makluman daripada Kementerian Kewangan.

Justeru, katanya kerajaan negeri menyambut baik keputusan itu serta merakamkan ucapan terima kasih kepada Kerajaan Persekutuan.

“Selepas kunjungan Perdana Menteri itu, kita ada menerima makluman daripada Kementerian Kewangan bahawa keputusan dasar telah dibuat oleh Kabinet, wang petroleum disebut dalam surat itu, tidak digunakan istilah wang ‘royalti’, tidak digunakan istilah ‘dana khas’ Kerajaan Persekutuan tapi digunakan istilah wang tunai petroleum. Ianya akan dibayar terus kepada Kerajaan Negeri Terengganu.

“Itu satu perkembangan yang sangat menarik dan positif pada kita, kepada kerajaan negeri Terengganu. Kita ucapkan terima kasih kepada Kerajaan Pusat dan telah mengiktiraf bahawa Kerajaan Negeri Terengganu berhak untuk menerima wang tunai petroleum ini sebagaimana Perjanjian Akta Kemajuan Petroleum 1974,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika menerima kunjungan hormat Ahli Jawatankuasa Kelab Wartawan Media Terengganu (Kawat) di Bilik Mesyuarat Pejabat Menteri Besar Terengganu, Tingkat 16, Wisma Darul Iman, hari ini.

Menurut Dr Ahmad Samsuri, bayaran pertama wang tunai petroleum itu dijangka akan diperolehi pada bulan Mac depan sebagaimana aturannya.

Ketika ditanya, berapakah jumlah wang tunai petroleum yang bakal diterima kerajaan negeri, kata beliau bergantung kepada pembayaran Petronas kepada Perbendaharaan Negara.

Namun, katanya kerajaan negeri hanya membuat perkiraan sendiri berdasarkan jumlah pengeluaran tong minyak dan harga semasa.

“Jumlah keseluruhan itu bergantung bagaimana pengiraan jumlah yang dihantar oleh Petronas kepada Perbendaharaan sebagai wang royalti lima peratus itu.

“Cuma jumlah pengiraan pihak Petronas kepada Perbendaharaan itu tidak dimaklumkan kepada kerajaan negeri. Kami di Terengganu ini menggunakan pengiraan kami sendiri berdasarkan berapa jumlah tong minyak, berapa harga dan sebagainya.

“Sebab itulah jangkaan kita tahun 2019 ini, jika mengambil kira harga minyak pada tahun lepas (2018), kita akan mendapat sekurang-kurangnya RM1.5 hingga RM1.6 bilion setahun,” jelasnya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Rhu Rendang berkata, kerajaan negeri sangat komited dan telus perbelanjaannya.

“Kalau isu kebimbangan jika perbelanjaan itu digunakan untuk tujuan-tujuan yang tidak patut. Kita sangat terbuka untuk diaudit dalam apa juga cara.

“Saya rasa ianya tidak perlu ada kebimbangan,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 22/1/2019

- Advertisement -