PRK: PH lebih teruk guna jentera kerajaan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Mutakhir ini manipulasi penyalahgunaan jentera kerajaan oleh Pakatan Harapan (PH) sebagai alat bantu kempen untuk pilihan raya kecil (PRK) semakin menjadi-jadi dan disifatkan lebih teruk berbanding 60 tahun pemerintahan Barisan Nasional.

- Advertisement -

Menempelak tindakan salah guna jentera kerajaan seperti kenderaan, Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Ustaz Riduan Mohd Nor berkata tindakan itu tidak ubah seperti kelakuan kerajaan terdahulu tetapi ia menjadi lebih teruk apabila Pakatan Harapan yang selama ini memperjuangkan menuntut pilihan raya bebas, adil dan bersih kian tersasar dari perjuangannya.

“Zaman pemerintahan Perikatan, mereka menyalahgunakan jabatan penerangan untuk membuat kempen, kedegilan ini bertambah di zaman Perdana Menteri keempat Tun Dr Mahathir, rupanya kurang daripada setahun pemerintahan Pakatan Harapan kita lihat telah banyak pilihan raya, mereka lebih ‘pantas berlari dan belajar’ daripada apa yang telah dibuat oleh Barisan Nasional dahulu.

“Dalam konteks Pilihan Raya Kecil Cameron Highlands ini kita lihat semua jentera kerajaan dimanfaatkan dan dimanipulasikan.

“Biasanya Jabatan Hal Ehwal Orang Asli digunakan oleh pihak PDRM tapi kali ini jentera kerajaan mereka gunakan untuk mereka menangi kelompok status orang asli dan orang miskin Cameron Highlands. Ini satu ketempangan!” katanya kepada Harakahdaily.

Tidak kurang juga, portal rasmi kerajaan Kementerian Kewangan Malaysia turut sama disalahgunakan untuk kempen Pilihan Raya Kecil Cameron Highlands dengan siaran kenyataan oleh Menteri Kewangan, Lim Guan Eng yang mempersoalkan samada Kerajaan Negeri Pahang yang dipimpin oleh Umno mampu membangunkan negeri itu yang didakwa Guan Eng negeri tertinggi menanggung hutang dengan kerajaan Persekutuan.

Turut didedahkan dalam kenyataan media itu adalah data-data mengenai maklumat kewangan kerajaan Negeri Pahang dari tahun 2014 sehingga tahun 2017.

Walau bagaimanapun tindakan salah guna portal kerajaan masih belum mendapat maklum balas daripada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) manakala kenderaan Jabatan Perhutanan yang digunakan oleh PH untuk berkempen dalam pilihan raya kecil (PRK) Cameron Highlands telah mendapat perhatian pihak terbabit.

Pengerusi SPR Azhar Azizan Harun mendakwa tindakan ini adalah melanggar peraturan dan etika kempen pilihan raya termasuk penggunaan aset kerajaan dan memainkan sensitiviti bangsa serta agama.

Ustaz Riduan juga mengingatkan NGO Bersih untuk membubarkan sahaja badan pertubuhan bukan kerajaan itu yang kini dilihat semakin membisu dalam hal salah urus yang dijalankan oleh kerajaan PH hari ini seperti yang berlaku secara terang-terangan dalam kempen pilihan raya Cameron Highlands.

“Saya mencadangkan NGO BERSIH dibubarkan NGO ini kerana mereka tidak bersuara dalam hal ini dan tidak berfungsi. PH kena ingat jika kamu melampau, rakyat akan turun untuk berdemonstrasi buat bantahan. Jangan cuba mempermainkan mandat rakyat,” katanya. – HARAKAHDAILY 22/1/2019

- Advertisement -