Tahniah GPS bentuk gabungan parti baru

- Advertisement -

PAS Sarawak mengambil kesempatan mengucapkan tahniah kepada penubuhan GPS secara rasmi pada 19 Januari 2019. PAS Sarawak menyokong tindakan kepimpinan kerajaan Sarawak untuk mengambil pendekatan untuk tidak lagi menyertai Parti Barisan Nasional (BN) dan juga tidak bergabung dengan Pakatan Harapan (PH).

- Advertisement -

Keadaan politik yang rencam hari ini memerlukan banyak pendekatan dan arena politik baru seperti yang diambil oleh GPS. Pendekatan ini perlu untuk memastikan kepentingan rakyat Sarawak di semua peringkat perlu dikekalkan.

PAS Sarawak juga mengucapkan terima kasih kepada Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) yang telah berjaya membentuk keharmonian dan keamanan dalam keadaan masyarakat yang pelbagai dan latar belakang agama yang berbeza boleh hidup secara damai dan harmoni di sini. Sarawak sering digunakan sebagai model perpaduan di Malaysia.

PAS Sarawak mengesa GPS untuk memperbaiki kelemahan dalam sistem pentadbiran, untuk mendengar dan memenuhi aspirasi rakyat di peringkat akar umbi, tanpa mengira bangsa dan agama untuk memastikan hak mana-mana pihak tidak ada yang dipinggirkan.

Menyelesaikan masalah kaum Dayak seperti isu tanah NCR sangat dituntut. Begitu juga, ada kaum lain seperti tanah kaum Melayu dan kumpulan etnik Bumiputera lain yang perlu dikekalkan bagi memastikan keharmonian kaum dan agama di Sarawak terjamin dan hak milik kita tidak jatuh ke tangan orang luar.

Kami juga percaya bahawa GPS akan memastikan keharmonian dan kepentingan rakyat Sarawak dijamin dengan dasar Islam yang menjaga kepentingan umat Islam seperti mana kerajaan Sarawak boleh menerima pandangan PAS Sarawak sebagai contoh tuntutan royalti 20%.

PAS Sarawak mahu yang terbaik untuk rakyat Sarawak. Walaupun terdapat perbezaan pandangan politik di negeri ini. PAS masih mengamalkan budaya politik yang matang dan sejahtera seperti yang telah dipromosikan oleh presiden PAS.

PAS Sarawak akan terus bekerja bersama-sama untuk membangunkan Sarawak dan juga akan bertanggungjawab dalam “check and balance” kepada Kerajaan Negeri Sarawak untuk memastikan bahawa kerajaan berlaku adil kepada semua rakyat selaras dengan tuntutan agama Islam. Islam memimpin kearah kemakmuran dan kedamaian.

Jofri Jaraiee
Pesuruhjaya PAS Sarawak – HARAKAHDAILY 21/1/2019

- Advertisement -