DAP ‘naik tocang’, Islam dicabar, umat wajib bersatu

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Keputusan PRU14 yang memberi didominasi kelebihan kerusi kepada bukan Islam dan berkuasa di Pulau Pinang, selain mencorotkan MCA dan Gerakan telah menyebabkan DAP ‘naik tocang’.

- Advertisement -

Demikian dinyatakan Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang ketika menyampaikan ceramah PRK P.078 Cameron Highland di Dataran Felda Sungai Koyan 1, semalam.

“(DAP) menunjukkan keangkuhan dan kesombongannya, mengeluarkan suara yang lantang, mencabar Islam, mencabar orang Melayu, campur tangan dalam urusan-urusan pentadbiran negara, dalam dasar-dasar negara, perkara Perlembagaan, yang tidak boleh dibiarkan sekali-kali.

“Di sini mewajibkan umat Islam sekali lagi bersatu, untuk menghadapi cabaran ini. Kita lupakan perbalahan-perbalahan sampingan, mesti hadap perkara yang dasar, perkara yang penting,” serunya dihadapan ribuan yang hadir ke majlis tersebut.

Beliau memetik iktibar kejatuhan Islam di Sepanyol setelah berkuasa selama 800 tahun dan membina tamadun hebat, tetapi berpecah hingga kemudiannya pemerintahan Islam hancur di sana.

Ceritanya, pergaduhan kabilah-kabilah Islam di Sepanyol menyebabkan mereka tidak mampu menghadapi kemaraan tentera Salib Kristian dari Utara hingga mesyuarat bercadang meminta bantuan Kerajaan Murabitun Morocco.

Katanya, ketika itu Kerajaan Murabitun dikuasai golongan sufi pimpinan Yusuf Tasyfin, namun kalangan pemimpin Islam Sepanyol itu khuatir Kerajaan Murabitun akan merampas kuasa dan takhta mereka.

Pun begitu terang Tuan Guru, salah seorang pemimpin itu bernama Ibnu Abbad dengan lantang merelakan sahabat Islam dari Morocco itu datang walaupun mereka bakal jatuh dari takhta dan singgahsana.

“Kalau dia datang memerintah, paling berat kita jadi gembala unta. Tetapi kalau yang sana (tentera Salib Kristian) datang dia memerintah, kita jadi gembala babi. Kamu suka jadi gembala unta ke gembala babi?” ujarnya mengungkap sindiran tajam dari kisah itu.

Kerana itulah serunya, orang Islam mesti memahami politik dan kedudukan kuasa pemerintahan di mana PRK tersebut menjadi percubaan dan ujian kepada para pengundi di situ.

Maka seru Ahli Parlimen Marang itu kepada Umno, PAS dan NGO-NGO Islam supaya lupakan pertelingkahan dan perbalahan, sebaliknya mengajak rakyat termasuk kaum bukan Islam supaya memberi kepercayaan kepada wakil agama Islam memimpin.

“Kerana Islam mengajar aspek spiritual, kerohanian; dosa dan pahala menjadi pemimpin. Masalah dosa dan pahala ini tak ada dalam DAP. Kita mahu pilih yang Islam ini. Orang Melayu, Orang Asal agama Islam wajib bukan sunat lagi memilih wakil yang membawa suara Islam.

“Orang bukan Islam jangan takut. Tidakkah kita sudah merdeka lebih setengah abad? Dato’ Mat (Mohamad Hassan) dah sebut bagaimana hak diberi kepada kalangan bukan Islam di negara ini yang tak diberi oleh negara lain.

“Di Indonesia, di Thailand tak ada sekolah Cina, sekolah Tamil. Singapura pun tak ada. Di sini kita beri hak, bukan kita pandai-pandai. Islam suruh kita beri hak,” ujarnya menghurai ayat 13 surah al-Hujurat dan penegasan larangan memaksa bangsa lain.

Beliau mengajak untuk menyaksikan realiti kehidupan minoriti bukan Islam di negeri majoriti Islam berbanding orang Islam yang merupakan minoriti di negeri bukan Islam di mana sepatutnya mereka mengenang budi dan jasa itu.

Tegasnya, rakyat khususnya orang Melayu Islam mesti menolak parti yang tidak kenang budi, termasuk kalangan bukan Islam mesti menolak parti membahayakan mereka atau berpemimpinkan parti seperti dinyatanya.

Tuan Guru membidas janji-janji pilihan raya yang tidak ditunaikan dan kini pada PRK itu pihak berkenaan berjanji pula mahu membuat pembangunan seolah-olah orang Cameron Highland merangkak dalam rimba tanpa jalan raya dan elektrik.

“Tuan Ramli yang bawa suara kita ini berpengalaman jadi Pegawai Tinggi Polis dalam pasukan keselamatan, menjaga keamanan negara. Dari masyarakat Orang Asal yang ada ilmu pengetahuan belajar tinggi. Orang tempatan, bukan orang luar. Ini (DAP) bawa calon import dari mana kita tak tahu,” tempelaknya.

Terdahulu Tuan Guru menghurai ayat 105 surah Ali-Imran mengenai pertelingkahan umat dan hadis berkenaan zaman sangat menggoda yang pernah diamarankan oleh Rasulullah S.A.W.

Di mana jelas beliau dari hadis tersebut, di zaman itu manusia tertipu oleh orang-orang yang mengkhianati amanah dan orang bebal bercakap perkara besar tidak diketahui diri sendiri. – HARAKAHDAILY 21/1/2019

- Advertisement -