Batal hukuman bunuh bantu keganasan

- Advertisement -

PENGARUH Barat yang kononnya anti keganasan bertopengkan agenda pembatalan hukuman mati ke atas kesalahan jenayah paling berat, berjaya mempengaruhi segelintir rakyat Malaysia.

- Advertisement -

Ramai kalangan merasa bimbang terhadap gejala yang sangat bodoh ini, khususnya kenyataan Mantan Ketua Polis Negara yang telah lama bersara. Ini menunjukkan kerisauan di kalangan yang paling banyak terlibat menghadapi penjenayah.

Mereka yang mendukung teori ini merasa sangat bijak kerana berimamkan pemikir Barat yang dianggapnya maju ke hadapan, tetapi paling sesat kemanusiaannya sehingga tersungkur ke dalam longkang jenayah, memperjuangkan hak asasi pengganas tanpa perasaan kemanusiaan yang sebenar terhadap mangsa jenayah dan keluarganya yang sepatutnya diberi simpati.

Al-Quran merupakan kalam Allah dan ilmu-Nya yang tiada bandingan sepertinya dan kitab-kitab yang diwahyukan kepada para Rasul kaum Yahudi yang terdahulu, menegaskan betapa besarnya kesalahan jenayah membunuh nyawa yang tidak bersalah.

Firman Allah S.W.T.:

مِنْ أَجْلِ ذَٰلِكَ كَتَبْنَا عَلَىٰ بَنِي إِسْرَائِيلَ أَنَّهُ مَن قَتَلَ نَفْسًا بِغَيْرِ نَفْسٍ أَوْ فَسَادٍ فِي الْأَرْضِ فَكَأَنَّمَا قَتَلَ النَّاسَ جَمِيعًا وَمَنْ أَحْيَاهَا فَكَأَنَّمَا أَحْيَا النَّاسَ جَمِيعًا وَلَقَدْ جَاءَتْهُمْ رُسُلُنَا بِالْبَيِّنَاتِ ثُمَّ إِنَّ كَثِيرًا مِّنْهُم بَعْدَ ذَٰلِكَ فِي الْأَرْضِ لَمُسْرِفُونَ (32)

“Dengan sebab (kisah pembunuhan kejam) yang demikian itu Kami tetapkan atas Bani Israel, bahawasanya sesiapa yang membunuh seorang manusia dengan tiada alasan yang membolehkan membunuh orang itu, atau (kerana) melakukan kerosakan di muka bumi, maka seolah-olah dia telah membunuh manusia semuanya; dan sesiapa yang menjaga keselamatan hidup seorang manusia, maka seolah-olah dia telah menjaga keselamatan hidup manusia semuanya. Dan demi sesungguhnya, telah datang kepada mereka Rasul-rasul Kami dengan membawa keterangan yang cukup terang; kemudian sesungguhnya kebanyakan dari mereka sesudah itu, sungguh-sungguhnya menjadi orang-orang yang melampaui batas (melakukan kerosakan) di muka bumi”. (Surah Al-Maa’idah: 32)

Maka, Allah telah meletakkan kalangan yang memurahkan nyawa manusia adalah pelampau dan makhluk perosak. Penipuannya laksana pencuri yang bertopengkan laungan teriakan pencuri-pencuri bersama orang ramai yang sedang memburunya melaungkan perkataan pencuri.

Betapa mahalnya nilai nyawa seorang manusia sehingga membunuh satu nyawa sahaja dengan zalim dianggap membunuh zuriat yang akan lahir daripadanya. Begitulah juga sebaliknya, kalau menyelamatkan satu nyawa bermakna menyelamatkan nyawa beberapa generasi selepasnya. Ini menunjukkan betapa bahayanya golongan pelampau ini yang telah mempengaruhi kerajaan negara kita sekarang.

Islam meletakkan kewajipan memelihara nyawa manusia menjadi rukun hidup yang mendahului makan dan minum. Sehingga dihalalkan makanan dan minuman yang diharamkan apabila keadaan darurat tiada pilihan lain bagi menyambung kehidupan.

Firman Allah:

إِنَّمَا حَرَّمَ عَلَيْكُمُ الْمَيْتَةَ وَالدَّمَ وَلَحْمَ الْخِنزِيرِ وَمَا أُهِلَّ بِهِ لِغَيْرِ اللَّهِ فَمَنِ اضْطُرَّ غَيْرَ بَاغٍ وَلَا عَادٍ فَلَا إِثْمَ عَلَيْهِ إِنَّ اللَّهَ غَفُورٌ رَّحِيمٌ (173)

“Sesungguhnya Allah hanya mengharamkan kepada kamu memakan bangkai, dan darah, daging babi, dan binatang-binatang yang disembelih tidak kerana Allah maka sesiapa yang terpaksa (memakannya kerana darurat menjaga nyawa supaya tidak mati kelaparan) sedang ia tidak mengingininya dan tidak pula melampaui batas (pada kadar apa yang dimakan itu), maka tidaklah dia berdosa. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani”. (Surah Al-Baqarah: 173)

Kita menyaksikan bahawa sifat perikemanusiaan mengizinkan pembedahan mengikut kaedah ilmu perubatan untuk membuang anggota jasad yang boleh merebakkan sakit sehingga mengancam kehidupan, kerana menyelamatkan nyawa lebih diutamakan.

Demi memelihara nyawa manusia, maka Islam mewajibkan hukuman Qisas (setimpal) dan hukuman bunuh ke atas penjenayah yang membunuh dengan sengaja melalui perintah wajib.

Firman Allah:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُتِبَ عَلَيْكُمُ الْقِصَاصُ فِي الْقَتْلَى

“Wahai orang-orang yang beriman! Diwajibkan kamu menjalankan hukuman Qisas (balasan yang seimbang) dalam perkara orang-orang yang mati dibunuh)”. (Surah Al-Baqarah: 178)

Allah menegaskan bahawa hukuman bunuh terhadap penjenayah itu membawa kehidupan kerana menyelamatkan nyawa-nyawa manusia yang ramai, dengan menghapuskan penjenayah dan pembunuh yang menjadi penyakit yang membahayakan masyarakat.

Firman Allah:

وَلَكُمْ فِي الْقِصَاصِ حَيَاةٌ يَا أُولِي الْأَلْبَابِ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ (179)

“Dan di dalam hukuman Qisas (terhadap penjenyah itu) ada jaminan hidup bagi kamu, wahai orang-orang yang berakal fikiran, supaya kamu bertaqwa”. (Surah Al-Baqarah: 179)

Menunjukkan bahawa mereka yang berteori membatalkan hukuman bunuh itu akalnya salah dan tidak percaya kepada Tuhan, serta tidak layak bersifat manusia yang sebenarnya.

Islam diterima dalam konsep perundangan Barat dari aspek menjamin keadilan melalui badan kehakiman iaitu hakim, saksi, keterangan, kaedah hukuman bunuh yang dilakukan ke atas penjenayah dan hak pengampunan bagi mangsa serta keluarganya, bukannya membatalkan hukuman bunuh sewenang-wenangnya.

Sabda Rasulullah S.A.W. (maksudnya):

“Hakim itu tiga jenis. Satu ke syurga dan dua ke neraka. Hakim yang sebenarnya arif dan menjatuhkan hukuman dengan keilmuan dan konsep keadilan yang sebenar. Nasibnya ke syurga. Hakim yang arif, tetapi tidak beramal dengan ilmunya atau meninggalkan konsep keadilannya. Begitu juga hakim yang tidak arif menerima jawatannya juga, kedua-dua jenis ini ke arah neraka”.

Rasulullah S.A.W. juga bersabda (maksudnya):

“Apabila hukuman bunuh dilaksanakan, hendaklah dengan cara yang terbaik (tidak menyeksakan seperti hukuman mati di tali gantung”.

Al-Quran pula menyatakan hak pengampunan dalam hukuman Qisas (termasuk juga hukuman bunuh) diberi kepada keluarga yang terdekat kepada mangsa, bukannya lembaga pengampunan yang tiada kaitan dengan mangsa.

Firman Allah:

فَمَنْ عُفِيَ لَهُ مِنْ أَخِيهِ شَيْءٌ فَاتِّبَاعٌ بِالْمَعْرُوفِ وَأَدَاءٌ إِلَيْهِ بِإِحْسَانٍ ذَٰلِكَ تَخْفِيفٌ مِّن رَّبِّكُمْ وَرَحْمَةٌ فَمَنِ اعْتَدَىٰ بَعْدَ ذَٰلِكَ فَلَهُ عَذَابٌ أَلِيمٌ (178)

“Maka sesiapa (pembunuh) yang dapat sebahagian keampunan dari saudaranya (pihak yang terbunuh), maka hendaklah orang yang mengampunkan itu mengikut cara yang baik (dalam menuntut ganti nyawa). Dan (si pembunuh pula) hendaklah menunaikan bayaran ganti nyawa itu dengan sebaik-baiknya. Demikian itu adalah suatu keringanan dari Tuhan kamu serta suatu rahmat kemudahan. Sesudah itu sesiapa yang melampaui batas (untuk membalas dendam pula), maka baginya azab seksa yang tidak terperi sakitnya”. (Surah Al-Baqarah: 178)

Rakyat Malaysia yang beriman dan budiman wajib menentang kemungkaran besar cadangan menghapuskan hukuman mati dengan sewenang-wenangnya oleh kalangan yang bodoh dan merasakan diri mereka sangat bijak kerana bergurukan Barat yang kini sedang merudum keamanannya dan merebaknya jenayah setiap saat, sehingga masuk ke sekolah anak-anak yang masih mentah.

“Islam Memimpin”

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
Bertarikh: 14 Jamadil Awal 1440 / 21 Januari 2019 – HARAKAHDAILY 21/1/2019

- Advertisement -