‘Nak berjoget macam tu, tak usah pegang jawatan ini’

UIA01
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: “Hendak berjoget 14 hari 14 malam itu hak awak, kerana awak kata ini hak privasi masing-masing,” kata Naib Presiden PAS, Ustaz Idris Ahmad.

- Advertisement -

Beliau menyatakan demikian merujuk kepada kenyataan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang) Mohamed Hanipa Maidin yang menyebut “program makan malam dan tari menari yang dipanaskan tak tentu pasal itu hakikatnya sebahagian tradisi (bidang guaman)”.

“Tak kisahlah, itu awak punya pasallah,” ujarnya berhubung isu rakaman yang memaparkan Ketua Hakim Negara, Tan Sri Richard Malanjum, Peguam Negara Tommy Thomas dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong menari bersama dalam satu acara, yang tersebar sejak kelmarin dan mendapat perhatian para pengguna media sosial.

Bagaimanapun, kata Ustaz Idris apa yang masyarakat pertikai mereka yang berjoget itu pemegang tonggak keadilan.

“Kalau hendak berjoget macam itu, tak usahlah pegang jawatan ini.

“Kalau pun awak kaki joget tolong simpan dahulu, kerana kamu berada di tempat yang sensitif untuk kepentingan awam,” katanya kepada Harakahdaily.

Beliau juga memetik istilah yang selalu peguam Pakatan Harapan (PH) sebut sewaktu pembangkang dahulu iaitu ‘keadilan bukan sahaja hendaklah dilakukan tetapi ia juga hendaklah dilihat sebagai sudah dilakukan’.

“Tak tahulah istilah ini telah dinasakhkan setelah PH menjadi kerajaan.

“Bukankah kerajaan PH hari ini seperti air mutlak suci lagi menyucikan?” ujarnya sinis. – HARAKAHDAILY 20/1/2019

- Advertisement -