Pembangunan slogan gula-gula PH di PRK CH

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Pemimpin PH diingatkan supaya memberi tumpuan terlebih dahulu kepada negeri-negeri diperintah mereka tanpa perlu bersikap memburukkan negeri lain yang bukan di bawah teraju pakatan itu.

- Advertisement -

Pesuruhjaya PAS Negeri Pahang, Ustaz Rosli Abdul Jabar berkata, disebalik kempen pembangunan yang dicanang dan digula-gulakan di PRK P.078 Cameron Highland, perkara tersebut tidak direalisasi di negeri PH.

“PH juga menerajui Kerajaan Persekutuan, tetapi hingga tempoh ini, tidak kelihatan pun lagi pembangunan ataupun rancangan pembangunan di negeri-negeri yang PH memerintah.

“Malah, di negeri-negeri yang PH menerajui Kerajaan Negeri juga terdapat Orang Asal dan banyak pos kediaman Orang Asal seperti di Perak dan Negeri Sembilan,” ujarnya yang juga Adun Tanjung Lumpur.

Beliau juga membidas Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng yang mendakwa kewangan Kerajaan Negeri Pahang tenat kerana berhutang RM3.1 bilion dan tidak akan mampu membantu penduduk.

Tempelaknya, Guan Eng cuba menakutkan Orang Asal supaya tidak mengundi BN, sedangkan sehingga kini Kerajaan Negeri membayar semua elaun Tok Batin, kos sara hidup, pendidikan dan lain-lain mengikut jadual.

Tegas Ustaz Rosli, selaku Menteri Kewangan tidak sepatutnya memperlekehkan Kerajaan Negeri sebaliknya membantu untuk menguruskan hal berkaitan jika benar mahu mengaitkan perkara itu dengan kepentingan rakyat.

“Saya juga menyelar sikap (Ahli Dewan Negara), Bob Manolan (Mohamad) yang mengugut Orang Asal. Dan Lim Guan Eng tidak perlu menafikan perkara itu kerana rakyat Malaysia sendiri telah dengar rakaman berkenaan.

“Ini adalah sikap buruk pemimpin PH yang dahulunya menuduh pihak lain seperti itu, tetapi perangai mereka jauh lebih buruk dari itu walaupun memerintah tidak sampai setahun lagi,” kesalinya.

Beliau juga melihat slogan “Pembangunan Bersama Harapan” yang dibawa PH pada kempen PRK itu sebagai retorik kerana tidak pernah menunjukkan janji bahkan manifesto pakatan itu ditunaikan.

PH katanya, gagal menunjukkan bukti pelaksanaan janji pembangunan yang dislogankan hatta di negeri diperintah mereka di mana ia kekal menjadi gula-gula pada kempen pakatan itu pada PRK di Cameron Highland juga.

“Sedangkan manifesto yang mereka janjikan masih banyak belum ditunaikan. Tiba-tiba datang ke Cameron Highland menabur janji baru pula?

“Saya seru supaya rakyat negeri Pahang terutama penduduk di Cameron Highland jangan beri peluang pada PH untuk menang.

“Sekarang ini Malaysia perlukan pasukan pembangkang yang kuat terutama di Dewan Rakyat,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 19/1/2019

- Advertisement -