Rehat, tenanglah anakanda Farhana

- Advertisement -

ALHAMDULILLAH syukur dipanjatkan kepada Allah S.W.T akhirnya anakanda Nur Farhana Ibrahim yang diberitakan hilang sejak 14 Januari telah ditemui selamat semalam, 17 Januari di Kuala Kangsar.

- Advertisement -

Ustazah mewakili seluruh Ahli Jawatankuasa Kerja Dewan Muslimat PAS Malaysia (DMPM) turut bersimpati atas kejadian yang berlaku, di samping mengambil kira Farhana pernah menerima rawatan akibat kemurungan.

Dalam dunia yang serba canggih ini, kemurungan atau depresi bukan suatu perkara enteng tetapi ianya harus diberikan penekanan terutama bagi ahli keluarga dan teman rapat supaya sentiasa menimbulkan suasana dan persekitaran tenang bagi membantu pesakit.

Tekanan yang dihadapi tanpa sedar boleh memberikan kesan kepada pemikiran dan tindakan seseorang.

Pada kesempatan ini, ustazah berharap agar semua pihak terutama netizen yang mengikuti perkembangan Farhana agar tidak sesekali mengeluarkan kata-kata keji dan kesat atas apa yang berlaku kerana sudah pasti kita semua tidak berada di tempatnya dan sesekali kita tidak merasai apa yang ada di lubuk hatinya.

Peliharalah adab kita di media sosial, sebaliknya berdoalah agar Farhana dikurniakan ketenangan untuk menghadapi semua ini.

Kepada anakanda Farhana, kuatkan pergantungan kepada Allah S.W.T agar sentiasa dilindungi dan dipelihara daripada sebarang kejadian yang tidak diingini.

Pihak Kementerian Pendidikan seharusnya mengambil tanggungjawab ini untuk berusaha menyelesaikan kes sebegini termasuk guru yang terpaksa berjauhan dengan pasangan masing-masing. Satu mekanisme mesti diambil bagi memastikan penempatan guru bertepatan dan bersesuaian dengan keadaan semasa masing-masing.

Kami berharap guru-guru dan semua penjawat awam diberikan hak yang sewajarnya bagi mengurangkan beban dan tekanan masing-masing.

YB SENATOR USTAZAH NURIDAH MOHD SALLEH
Ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia
18 Januari 2019 / 12 Jamadil Awal 1440 – HARAKAHDAILY 18/1/2019

- Advertisement -