Memali: Bukan luka kecil…

- Advertisement -

TAKLIMAT Ancaman Keganasan Semasa oleh Dato’ Ayob Khan Mydin Pitchay, Ketua Penolong Pengarah E8, Counter Terorism PDRM hari ini (15.1.2019) sempena Majlis Penyerahan Pendaftaran Jemaah Pengurusan Sekolah Agama Berdaftar Negeri P. Pinang sesi Tahun 2019-2020.

- Advertisement -

Satu taklimat yang sangat baik dengan gaya bahasa yang mudah difahami. Cuma semasa sesi soal jawab saya tegur agar 1 segmen berkaitan Tragedi Berdarah Memali 1985 hendaklah dibuang daripada isi pembentangan. Jangan libat dan kaitkan Peristiwa Berdarah Memali itu dengan keganasan atau ekstremis agama. Tidak ada rekod jenayah atau guru yang mengajar ajaran sesat yang boleh dikaitkan dengan as-Syahid Ustaz Ibrahim malahan Madrasah yang diasaskan oleh beliau masih beroperasi hingga ke hari ini.

Bekas Ketua Polis Daerah Baling, Tunku Muszaffar Syah Tunku Ibrahim (1981 – 1986) dalam bukunya ‘Memali: A Policeman Remembers‘ menulis bahawa pegawai-pegawai tertinggi di Bukit Aman sepatutnya tidak menuruti arahan daripada pemimpin politik mereka dan menolak permintaan yang tidak selaras dengan norma-norma atau prosedur polis. Kalau yang terkorban itu pengganas masakan al-Marhum Sultan Kedah Sultan Abdul Halim Muaazzam Syah mencemar duli untuk menziarahi Maqam Syuhada di Tanah Perkuburan Kampung Parit Panjang, Baling.

Sehingga ke hari ini seluruh mangsa Tragedi Memali yang terlibat menuntut agar RCI Memali ditubuhkan.

Adapun segmen-segmen lain dalam slot pembentangan tersebut saya sangat berpuas hati dan bersetuju dengan Dato’ Ayob Khan. Kita sama sekali tidak boleh berkompromi dengan mana-mana pihak dalam isu keselamatan Negara dan ancaman keganasan ini.

PDRM harus tegas dalam menangani isu ini. Golongan-golongan yang cuba menggugat kestabilan dan keamanan negara hendaklah ditangani dengan segera seperti isu penghinaan terhadap DYMM Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong dan lain-lain.

“Islam Memimpin”
“Penaga Sejahtera”
“RCI4Memali”

YB USTAZ MOHD YUSNI MAT PIAH
Adun Penaga
Ketua Penerangan PAS Negeri Pulau Pinang
Anak mangsa tragedi Memali – HARAKAHDAILY 16/1/2019

- Advertisement -