Isu salib: Jangan anggap ia isu kecil

- Advertisement -

KECOH isu berkenaan lampu di bangunan kediaman Grace Residence, Jelutong yang memancarkan cahaya berbentuk salib gergasi baru-baru ini. Malah ia turut mendapat perhatian daripada pihak Mufti Pulau Pinang dengan teguran yang diberikan agar isu tersebut diselesaikan dengan segera. Ini kerana terdapat larangan daripada Hadis berkenaan dengan tanda salib pada pakaian. Jika lambang salib kecil di pakaian pun ditegah maka apatah lagi isu salib gergasi akibat pancaran cahaya lampu yang tular baru-baru ini. Ini boleh diambil kefahaman daripada sebuah Hadis Nabi S.A.W:

- Advertisement -

أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَمْ يَكُنْ يَتْرُكُ فِي بَيْتِهِ شَيْئًا فِيهِ تَصَالِيبُ إِلَّا نَقَضَهُ

“Sesungguhnya Rasulullah S.A.W tidak akan meninggalkan sesuatu yang mempunyai lambang salib di dalam rumahnya melainkan Baginda akan memotong lambang tersebut.”

(Riwayat al-Bukhari)

Amat pelik, isu sebegini semakin menjadi-jadi setelah Kerajaan PH memerintah selepas PRU14. Malah ia dilihat sebagai satu tindakan yang seolah-olah terancang dalam mewujudkan suasana normalisasi kalangan masyarakat majoriti beragama Islam di Malaysia dengan simbolik berkaitan Kristian. Malah sebelum ini, disiarkan sambutan mengenai Krismas di layar televisyen secara langsung yang diraikan dengan kehadiran Timbalan Perdana Menteri. Dibimbangi perancangan normalisasi terhadap perkara berkaitan Kristian ini dianggap biasa dan seolah-olah ia perkara kecil lagi remeh. Kesannya, perkara berhubung dengan aqidah tidak lagi dipandang sebagai satu sudut yang mesti ada ketegasan. Akhirnya, kesan normalisasi akan menatijahkan masyarakat mengikuti cara Barat dan tiada nilainya aqidah dalam kehidupan. Ini jarum halus untuk merosakkan umat Islam menurut rentak Yahudi dan Nasrani. Firman Allah S.W.T:

وَلَن تَرْضَى عَنكَ الْيَهُودُ وَلاَ النَّصَارَى حَتَّى تَتَّبِعَ مِلَّتَهُمْ قُلْ إِنَّ هُدَى اللّهِ هُوَ الْهُدَى وَلَئِنِ اتَّبَعْتَ أَهْوَاءهُم بَعْدَ الَّذِي جَاءكَ مِنَ الْعِلْمِ مَا لَكَ مِنَ اللّهِ مِن وَلِيٍّ وَلاَ نَصِيرٍ

Maksudnya:

“Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak sekali-kali akan bersetuju atau suka kepadamu (wahai Muhammad) sehingga engkau menurut agama mereka (yang telah terpesong itu). Katakanlah (kepada mereka): “Sesungguhnya petunjuk Allah (agama Islam) itulah petunjuk yang benar”. Dan demi sesungguhnya jika engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka sesudah datangnya (wahyu yang memberi) pengetahuan kepadamu (mengenai kebenaran), maka tiadalah engkau akan perolehi daripada Allah (sesuatu pun) yang dapat mengawal dan memberi pertolongan kepadamu.”

(al-Baqarah: 120)

Walaupun telah dikeluarkan kenyataan daripada Ketua Menteri dan pihak pemaju dengan beralasan bahawa ia adalah akibat pemasangan lampu yang tidak habis dihidupkan. Namun kenyataan sebegini hanya bersifat ‘damage control’ bagi menyorokkan kesilapan agenda mereka yang jelas lagi bersuluh. Ini kerana setelah isu ditular beberapa hari barulah kenyataan respon balas tersebut dikeluarkan.

Selain itu, Menteri Agama yang menganggap isu ini biasa adalah satu perkara yang amat mendukacitakan. Sepatutnya Menteri Agama perlu bertegas kerana isu salib tersebut merobek syiar Islam dengan terpancarnya lambang salib gergasi di dalam sebuah negara yang berstatus agama Islam sebagai agama rasmi Persekutuan. Ingatlah firman Allah S.W.T dalam isu ketegasan ini sebagaimana berikut :

مُّحَمَّدٌ رَّسُولُ اللَّهِ وَالَّذِينَ مَعَهُ أَشِدَّاء عَلَى الْكُفَّارِ رُحَمَاء بَيْنَهُمْ تَرَاهُمْ رُكَّعاً سُجَّداً يَبْتَغُونَ فَضْلاً مِّنَ اللَّهِ وَرِضْوَاناً سِيمَاهُمْ فِي وُجُوهِهِم مِّنْ أَثَرِ السُّجُودِ

Maksudnya:

“Nabi Muhammad ialah Rasul Allah dan orang-orang yang bersama dengannya bersikap keras dan tegas terhadap orang-orang kafir yang (memusuhi Islam) dan sebaiknya bersikap kasih sayang serta belas kasihan kasihan sesama sendiri (umat Islam). Engkau melihat mereka tetap beribadat rukuk dan sujud dengan mengharapkan limpah kurnia daripada Tuhan mereka serta mengharapkan keredhaan-Nya. Tanda yang menunjukkan mereka (sebagai orang-orang yang soleh) terdapat tanda dimuka mereka daripada kesan sujud”

 (al-Fath : 29)

Menteri Agama seharusnya bertindak tegas sebagaimana ketegasan Nabi Muhammad S.A.W dalam isu berkaitan aqidah yang dirakamkan di dalam Surah al-Kafirun. Janganlah kerana ingin membawa “Rahmatan Lil Alamin” versi PH, namun hal berkaitan penjagaan maruah dan syiar Islam dibiarkan sahaja tanpa sebarang ketegasan. Malah, tokoh ulamak sedunia, Prof Dr Yusuf al-Qaradhawi secara tegas menerusi karyanya “Ghair al-muslimin Fi al-mujtama’ al-Islami” bahawa kedudukan non-Muslim di dalam negara umat Islam hendaklah menghormati dan tidak melakukan sebarang perkara yang boleh merosakkan syiar Islam.

Dewan Ulamak PAS Pusat dengan tegas menyelar mana-mana pihak dan tindakan yang dirancang bagi mewujudkan suasana normalisasi terhadap agama Kristian ini. Ia secara tidak langsung akan mengakibatkan kelonggaran pada sempadan aqidah. Keharmonian antara penganut agama tidaklah sepatut menjadi alasan untuk menjadikan masyarakat Islam semakin ‘Liberal’ tetapi ia sepatutnya menjadikan syiar Islam semakin gah dan boleh mendekati penganut selain Islam.

Islam Memimpin”
“Islam Jalan Penyelesaian”

MOHD ASRI MAT DAUD
Ketua Penerangan,
Dewan Ulamak PAS Pusat – HARAKAHDAILY 16/1/2019

- Advertisement -