Mengenal akal budi Muslim-Melayu sebenar

- Advertisement -

AGAMA dan bangsa yang tercabar

- Advertisement -

●     Suasana politik hari ini ‘mewajibkan’ ummah untuk bersatu. Bukan sahaja bagi menyelesaikan isu agama yang semakin tercabar, tetapi juga isu kedaulatan Raja-raja, isu Bahasa Kebangsaan, isu kos sara hidup, peningkatan harga barang, percukaian yang tidak memihak kepada rakyat, isu sosial, LGBT, isu jenayah dan banyak lagi.

●     Langkah kerjasama antara parti politik atas matlamat menyelamatkan ummah adalah satu perkara yang wajar dilakukan. Punca segala masalah yang berlaku adalah kerana kelemahan kuasa politik Islam di negara ini dek perpecahan kuasa akibat kewujudan berbagai wadah politik yang berbeza. Sedangkan pihak yang menolak Islam bersatu padu walau hakikatnya punya matlamat dan latar belakang yang berbeza.

Realiti akal budi Muslim-Melayu

●     Malangnya jika kita melihat kepada realiti masyarakat hari ini, hanya sebahagian yang masih peduli mengenai isu agama, sosial dan moral. Rata-rata rakyat terutama bukan Islam dan anak-anak muda hanya melihat isu-isu survival hidup seperti kenaikan harga barang, subsidi yang dipotong, percukaian dan sebagainya. Anak muda Islam masih lemah kesedaran Islam mereka. Memikirkan soal jasmani melebihi rohani.

●     Rakaman video mengenai leteran seorang Mak Cik terhadap pemerintah sekarang sangat baik untuk diperhalusi, apa pandangan dan kehendak rakyat teramai sekarang. Mereka Islam-Melayu, tetapi hakikatnya mereka lebih pentingkan soal survival hidup. Mereka juga masih tidak melihat ada perbezaan antara pemerintah dulu dan sekarang. Justeru lompang kekosongan yang sedang dicari rakyat seperti Mak Cik ini perlu segera diisi dengan bijak dan tepat.

PAS pada kaca mata rakyat teramai

●     Hakikatnya, rakyat kurang memahami bahasa-bahasa agama seperti ini wajib, itu haram, al-Quran memerintahkan, menurut Hadis dan lain-lain. Tetapi mereka lebih mudah menerima andai dibentangkan fakta, data, laporan dan hasil kajian yang mudah dihadam serta rancangan pemulihan yang konsruktif, realistik dan berwawasan.

●     Bahasa seperti Allah akan bantu, Islam pasti menang dan berbagai slogan rhetorical kadang kala mengakibatkan orang melihat PAS begitu asing dari denyut nadi rakyat, ibarat berada di planet berbeza. Benar sebahagiannya adalah teks firman dan sabda, tetapi yang lebih penting adalah mafhum dan isinya sampai.

     Untuk kekal relevan dan diterima massa, kerjasama politik yang perlu dibentuk haruslah memenuhi kehendak masyarakat secara umum. Oleh kerana itu, selain daripada kita menyedarkan ummah mengenai keperluan bersatu atas nama agama dan bangsa dengan dalil dan hujah yang mantap, tema-tema yang lebih merakyat juga perlu diangkat.

Gembleng potensi yang sedia ada

     Alangkah baik jika PAS terus memperjuangkan segala tawaran daripada Manifesto PRU14 tempoh hari. Sehingga hari ini, kerajaan yang ada sekarang masih terkapai-kapai dalam menyelesaikan masalah negara. Bahkan lebih menambah masalah yang sedia ada.

●     Isu percukaian sebagai contoh, GST yang mengambil cukai langsung daripada rakyat bawahan diganti dengan SST, cukai lama yang diambil dari masih terbeban kepada rakyat bawahan. Cukai Simpanan Korporat dan Cukai Saham adalah percukaian Islam yang perlu untuk terus diperjuangkan sebagai solusi bagi semua perkara ini.

Isu rakyat modal kesatuan ummah

●     Lebih baik jika solusi tersebut menjadi terma rundingan dalam membentuk kesatuan politik. Biar solusi tersebut diangkat secara kolektif tanpa perlu melaungkan semangat agama dan bangsa keterlaluan sehingga tampak fanatik, supaya kesatuan itu boleh diterima lebih meluas segenap lapisan masyarakat, tidak hanya berlegar di kalangan pencinta agama dan pejuang bangsa sahaja.

     Isu Hudud yang menjadi trademark PAS juga boleh dibawa menjadi terma rundingan. Tetapi haruslah dijenamakan dalam bentuk yang lebih diterima umum. Selain dari berdalilkan ianya adalah perintah tuhan yang wajib dilaksanakan, bawa juga statistik dan dapatan mengenai masalah kecurian, dadah, pembunuhan dan sebagainya yang boleh diselesaikan dengan Undang-undang Islam. Biar rakyat nampak ia adalah solusi jenayah yang membelenggui massa, bukan tuntutan ekslusif agamawan sahaja.

Rasulullah dan kesatuan rakyat Madinah

●     Ambil contoh bagaimana Rasulullah S.A.W membentuk kesatuan melalui Piagam Madinah. Pada ketika itu, umat Islam adalah minoriti di Madinah, tetapi kebijaksanaan politik Baginda S.A.W menyebabkan semua pihak menerima terma piagam tersebut. Masalah utama yang dihadapi oleh penduduk Madinah ketika itu adalah perang saudara dan penindasan antara kaum. Maka Rasulullah S.A.W memperkenalkan piagam sebagai solusi kepada isu rakyat Madinah ketika itu.

     Piagam tersebut terdiri daripada 52 perkara. Hanya 25 sahaja yang berkait khusus dengan umat Islam. Baki 27 adalah melibatkan kepentingan rakyat umum. Bahkan ia menyebut secara khusus kepentingan setiap kabilah yang ada di Madinah. Membuatkan rakyat merasa kebersamaan dan kepunyaan (sense of belonging) terhadap agenda Rasulullah S.A.W.

Islam memimpin bukan dipimpin

     Sayugia diingatkan bahawa saranan ini tidaklah bermaksud supaya diselindungkan nama Islam dari dalam terma rundingan tersebut. Tidak perlu bersikap apologetik semata-mata ingin meraikan kehendak awam dan rakan politik, sehingga terjerumus ke lembah populis. Apa yang perlu cuma luaskan tuntutan agar selari dan antara tuntutan pejuang agama, bangsa dan juga kehendak majoriti masyarakat.

●     PAS mempunyai potensi dan kekuatan tersendiri dari berbagai segi. Jangan biarkan orang lain lebih melihat kelebihan yang kita ada berbanding kita sendiri. Akibatnya kita tidak sedar dipergunakan hanya sebagai anak tangga sahaja. Kita boleh beri sokongan, kita boleh bersama asalkan kita terima yang setimpal dengan aspirasi perjuangan kita. Jangan sampai sejarah terus berulang.

(ALANG IBN SHUKRIMUN) – HARAKAHDAILY 16/1/2019

 

- Advertisement -