Bomba Bantuan diperlukan di kawasan setinggan

- Advertisement -

PARTI Islam Se-Malaysia (PAS) Sabah menggesa supaya pihak berkuasa menubuhkan Pasukan Bomba Bantuan sebagai salah satu cara membantu pihak berkuasa mengurangkan risiko kebakaran.

- Advertisement -

Sebagaimana pihak berkuasa boleh menubuhkan Jawatankuasa Rukun Tetangga bagi membantu pihak berkuasa di kawasan-kawasan kampung dan taman perumahan, saya kira format ini boleh juga dibawa ke kawasan setinggan dan perumahan sementara.

Dalam banyak siri kebakaran yang berlaku di Sabah, saya dapati kebanyakannya akibat daripada kesukaran pihak bomba untuk masuk ke kawasan penempatan tersebut ataupun di kawasan tersebut tidak terdapat perkhidmatan bomba seperti yang berlaku baru-baru ini di Kg Perpaduan, Pulau Banggi.

Saya kira kerajaan hanya mengeluarkan perbelanjaan yang minima untuk mewujudkan pasukan bomba bantuan ini. Perkara yang penting ialah latihan kemahiran dan fasiliti asas kepada pasukan tersebut sekiranya berlaku bencana kebakaran.

Sebagai permulaan, saya cadangkan kerajaan boleh memilih beberapa kawasan setinggan atau penempatan sementara sebagai kawasan rintis. Saya penuh yakin ini boleh menjadi sebagai salah satu cara bagi mengurangkan kesan negatif terhadap bencana kebakaran ini.

MOHD AMINUDDIN ALING
Pesuruhjaya PAS Sabah
15 Januari 2019 – HARAKAHDAILY 15/1/2019

- Advertisement -