Adib: Segerakan keadilan atau hadapi bantahan besar

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Gerakan Pembela Ummah (UMMAH) tidak teragak-agak mengerah himpunan lebih besar sekiranya kes kematian Pegawai Bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim tidak diselesaikan segera.

- Advertisement -

Pengerusi UMMAH, Aminuddin Yahya berkata, usaha sebagaimana Himpunan Rakyat Bantah ICERD akan digerakkan sekiranya kes tersebut tidak ditangani mengikut prinsip keadilan dalam tempoh sewajarnya.

Penegasan itu dinyatakan beliau kepada pihak media selepas membuat laporan polis bersama beberapa NGO terhadap Peguam Negara, Tommy Thomas di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, di sini hari ini.

“Sehingga hari ini masih belum keluar lagi laporannya. Kes ini seharusnya tidak diadakan inkues kerana pesalah sudah pun dikenal pasti. Kita juga mempersoalkan, kenapa pesalah yang telah dikenal pasti, tetapi telah diberi ikat jamin keluar?

“Ini juga bersalahan dari segi akta. Kita minta pihak polis membuat siasatan secepat mungkin. Kerana ini merupakan simbol kepada keadilan. Seorang penjawat awam yang nak menyelamatkan keadaan, yang tidak membawa apa-apa senjata, telah terkorban.

“(Ia dilakukan) oleh pihak-pihak ‘militan’, yang sengaja bagi kita untuk menimbulkan kekacauan dan perpecahan kaum di negara ini. So, ini merupakan satu tragedi yang amat malang dalam konteks keadilan ‘Rule of Law’,” ujarnya.

Beliau menggesa kerajaan mengambil tindakan segera terutamanya kepada Peguam Negara supaya tidak melakukan penangguhan ataupun sebagaimana khabar anginkan mungkin berlaku ubah suai dalam laporan yang dibuat terhadap kes ini.

Desak beliau, Peguam Negara mesti dengan secepat mungkin menjelaskan kepada awam dan mengambil tindakan terhadap pesalah-pesalah yang telah dikenal pasti tanpa cuba melindungi mereka.

“Kita minta siasatan dari pihak polis supaya jangan apa-apa campur tangan daripada mana-mana pihak, sama ada pihak polis, pihak peguam negara atau pihak-pihak Menteri yang selama ini kita kenal dia memang banyak memihak kepada sebelah pihak.

“Jadi kita minta perkara ini tidak diganggu gugat dan dibuat tindakan secepat mungkin. Banyak yang memberi kenyataan-kenyataan yang tidak ada ‘open ended‘, tidak ada memberi satu ‘dateline’ bagaimana kes ini nak dikendalikan.

“Tetapi yang lebih penting bagi saya ialah pesalah itu mesti ditangkap. Sekarang ini, pesalah ini bebas, kita pun tak tahu dekat mana dah. Bukan tak dikenal pasti, sudah dikenal pasti suspek itu. Sebab itu kita kata inkues ini sudah tidak perlu.

“Inkues ini bagi yang tidak dikenal. Sekarang sudah dikenal pasti. Jadi tidak perlu inkues lagi. So, yang dikenal pasti itu harus ditangkap dan dibicarakan secepat mungkin,” gesanya lagi.

Tegas Aminuddin juga, sekiranya kes tersebut terus ditunda atau adanya permainan politik, pihaknya akan menuntut keadilan itu menerusi gerakan bantahan menerusi himpunan besar-besaran sebagaimana bantahan ICERD.

“Kerana, Adib adalah simbol. Tetapi yang lebih kritikal ialah keadilan kepada keluarga mereka, kepada undang-undang negara. Kalau boleh berlaku kepada Adib, makna boleh berlaku kepada sesiapa sahaja. Ini yang lebih kritikal. Ini soal prinsip.

“Bukan Adib sebagai individu, tetapi soal prinsip keadilan, ‘Rule of Law‘. Sistem keadilan, sangat penting. Melibatkan kematian penjawat awam dalam bertugas, Bomba yang tak bawa senjata, nak menyelamat. Maknanya niat yang begitu baik, tindakan yang begitu baik, akhirnya berakhir dengan tragedi kematian kepada beliau,” kesalinya. – HARAKAHDAILY 15/1/2019

- Advertisement -