Penyokong PH, Umno sertai PAS di Gua Musang

- Advertisement -

MALAM ini sekali lagi sejarah tercipta di Parlimen Gua Musang yang disandang YBM Tengku Razaleigh Hamzah sejak puluhan tahun lalu. Dun Nenggiri khasnya sejak sebelum Pilihan Raya Umum yang lepas, mencatatkan rekod yang cukup bagus dalam gerak kerja pilihan raya. Ratusan penyokong Umno-Barisan Nasional dan PKR menyerahkan borang menyertai PAS saban minggu beberapa bulan sebelum 9hb Mei 2018.

- Advertisement -

Dun Nenggiri sebagai kubu kuat Umno sejak sekian lama akhirnya dipertahankan parti tua itu pada PRU lalu dengan majoriti yang amat tipis sekali. YB Ab Aziz Yusoff dengan jumlah 5506 undi memenangi kerusi ini dengan kelebihan 461 undi sahaja menewaskan calon PAS Mohd Saupi Abd Razak yang memperolehi 5045 undi dan calon PH Othman Yusoff yang hanya mendapat 788 undi.

Ini berbeza dengan undi besar yang dikaut Umno melalui calonnya Mat Yusoff Abd Ghani yang sejak PRU 2004 lagi memenangi kerusi ini dengan majoriti yang tinggi. Pada tahun itu calon Umno ini menang dengan majoriti 2685 undi menewaskan calon PKR Saudara Mohd Zain Muhammad. Penggal seterusnya pada 2008 beliau sekali lagi menewaskan calon PKR Saudara Mohd Zuki Ibrahim dengan majoriti 2090 undi. Dan kemuncak karier politiknya adalah apabila beliau menewaskan Mohd Azihan Che Seman dari PKR dengan 3849 majoriti undi pada tahun 2013. Semua rekod kemenangan calon Umno ini menjadikan Dun Nenggiri sebagai deposit tetap Barisan Nasional Kelantan.

Namun segalanya berubah apabila berlaku penghijrahan besar-besaran penyokong Umno bagi menyertai PAS sebelum PRU14. Diketuai oleh Rawi bin Mohd Noor, pada tanggal 3hb April 2018, beliau membawa ramai pimpinan Umno di peringkat Cawangan dan juga Pusat Daerah Mengundi meninggalkan parti keramat itu bagi menyertai PAS. Alhamdulillah, kemasukan 70 orang ahli Umno Gua Musang yang diketuai oleh Saudara Rawi bin Mohd Noor itu, yang juga merupakan Mantan Penghulu JKKP dan 30 anggota Keadilan Gua Musang diketuai oleh Sdr Wan Mohd Erman bin Wan Zulkifli, Ketua Ranting PKR Ladang SEDC dan Sdr Hassan bin Idris, Ketua Ranting PKR Kampung Baru Setar disambut penuh gembira oleh ahli dan penyokong PAS Kelantan.

Turut bersama Abang Rawi pada tarikh tersebut adalah Puan Khadijah binti Samat, Ketua Wanita Umno Cawangan Setar Baru, Sdr Mohd Suhaimi Razali, Ketua Pemuda Umno Cawangan Setar Baru dan Sdr Abdullah Samat, AJK Cawangan Setar Baru.

Abang Rawi kemudiannya pada 9hb April 2018 bersama-sama dengan PAS Kawasan Gua Musang menganjurkan Ceramah Perdana Menangkan Nenggiri di Kg Baru Star dengan membawa seramai 205 orang ahli Umno untuk menyertai PAS dan borang permohonan diserahkan kepada Dato’ Hj Mohd Nassuruddin bin Haji Daud, Ketua Penerangan PAS Kelantan.

Gelombang yang lebih awal lagi sebenarnya telah wujud apabila terjadinya penghijrahan ahli serta penyokong PKR Gua Musang yang diketuai oleh Sdr Syed Azhar Syed Alwi yang juga merupakan Timbalan Ketua Cabang PKR Gua Musang.

Syed membawa lebih kurang 80 orang anggota PKR di pelbagai peringkat pada tarikh 27hb Mac 2018 bagi menyertai PAS dan ini menjadi satu tamparan hebat bagi Pakatan Harapan yang sedang galak memasang angan-angan untuk menawan Putrajaya pada waktu itu.

Malam ini cukup istimewa apabila seramai 525 orang menyertai PAS dari Dun Nenggiri. Borang keahlian diserahkan kepada YB Dato’ Mohd Amar Abdullah, Naib Presiden PAS sambil disaksikan oleh Ustaz Wan Roslan Wan Hamat, Exco Kerajaan Negeri Kelantan, Ustaz Azman Ahmad, Yang Dipertua PAS Kawasan Gua Musang dan seluruh kepimpinan lain yang turut hadir. Mereka yang menyerahkan borang ini terdiri daripada penyokong Pakatan Harapan dan juga ahli ahli Umno diketuai oleh Abd Manaf bin Che Long.

Perkembangan baharu ini menyaksikan PAS terus menjadi pilihan orang Melayu Islam Gua Musang bagi meneruskan perjuangan agama dan bangsa di tanah air tercinta. Bahtera ini terus kukuh dan gagah melayari ombak dan gelombang perjuangan yang tidak pernah berhenti. Tahniah PAS Gua Musang di bawah kemudi Ustaz Azman Ahmad dan seluruh pimpinan kawasan serta Dewan Pemuda dan Muslimat kawasan yang terus tekun mendepani cabaran dakwah ummah setempat. 

NAZMAN CHE IBERAHIM
Ketua Penerangan Pemuda PAS Kelantan – HARAKAHDAILY 14/1/2019

- Advertisement -