Pohon maaf kepada YAB Tun Mahathir

- Advertisement -

SAYA merujuk kepada kenyataan Jabatan Perdana Menteri yang dilaporkan oleh Malaysiakini pada 11 Januari 2019 yang menyatakan kesilapan fakta oleh saya dalam rencana saya bertajuk “Peletakan Jawatan Yang di-Pertuan Agong dan Selepasnya” yang saya naikmuatkan dalam laman-laman web saya pada 9 Januari 2019. Kesilapan itu adalah mengenai kenyataan saya bahawa Tun Dr. Mahathir telah pergi ke Islana Negara tanpa diundang pada malam 9 Mei 2018 untuk meminta YDPA mengangkat sumpahnya sebagai Perdana Menteri.

- Advertisement -

Saya terima kenyataan itu sepenuhnya. Saya akui bahawa saya telah membuat kesilapan fakta dan juga komen yang berbangkit daripada kesilapan fakta itu dalam penulisan rencana itu. Saya akui ia disebabkan oleh kecuaian saya sendiri dan saya tidak mengemukakan apa-apa alasan (excuse) di atas kesilapan itu. Saya bertanggungjawab sepenuhnya.

Dengan rendah diri dan dengan penuh penyesalan, saya memohon maaf kepada YAB Perdana Menteri Tun Dr Mahathir di atas kesilapan itu dan apa-apa persepsi negatif terhadap beliau yang disebabkan oleh kesilapan dan komen itu.

Saya juga mengangkat sembah Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong memohon maaf kiranya terdapat apa-apa kesilapan fakta yang melibatkan baginda dalam rencana itu walaupun, setakat ini, belum ada sesiapa yang menunjuknya.

Saya juga memohon maaf kepada semua pihak yang telah menyiarkan rencana itu dan kepada semua pembaca di atas kesilapan dan kecuaian saya itu.

Saya telah pun membuat pindaan yang perlu kepada rencana itu. Saya meminta semua pihak yang telah menyiarkannya online supaya turut menarik balik rencana asal itu dan, jika mahu, menyiarkan rencana yang telah dipinda ini sebagai ganti.

Sekian.

Tun Abdul Hamid Mohamad
12 01 2019 – HARAKAHDAILY 12/1/2019

- Advertisement -