Mengekalkan kestabilan ekonomi, politik 2019

syahir
- Advertisement -

PROSPEK ekonomi 2019 dijangka pasif.

- Advertisement -

Bank Dunia mengunjurkan KDNK Malaysia akan berkembang pada kadar 4.7 peratus dalam tahun 2019, dan akan terus berkembang perlahan kepada 4.6 peratus dalam tahun 2020, seiring dengan ketidaktentuan ekonomi global dan serantau.

Unjuran Bank Dunia ini adalah lebih rendah berbanding angka rasmi pertumbuhan ekonomi pada kadar 4.9 peratus yang diumumkan oleh Kerajaan semasa Belanjawan 2019.

Di dalam laporan Prospek Ekonomi Global Januari 2019 bertajuk ‘Darkening Skies’ (Langit Kelam), Bank Dunia menyatakan pertumbuhan import Malaysia adalah lemah berbanding trend serantau, manakala Malaysia berhadapan dengan risiko peningkatan paras hutang awam dan swasta, hutang luar negara dan penyertaan pelabur asing dalam pasaran bon tempatan.

Selain itu, sentimen keyakinan peniaga dan pelabur di Malaysia, yang diukur melalui Indeks Keyakinan Perniagaan oleh RAM Holdings (RAM BCI) mendapati, keyakinan perniagaan bagi separuh pertama 2019 berada pada tahap terendah sejak 2017.

RAM dalam satu kenyataan berkata, pelbagai faktor dikaitkan dengan sentimen perniagaan yang lemah dalam enam bulan akan datang iaitu pengurangan pertumbuhan domestik, permintaan global yang tidak menentu, kelemahan aktiviti pelaburan serta kekurangan pemangkin positif termasuk Belanjawan 2019 yang agak neutral.

RAM berkata, sejumlah firma yang terbabit dalam kaji selidik itu bersetuju faktor ekonomi yang lemah adalah cabaran utama perniagaan mereka dalam tahun 2019, diikuti oleh kenaikan kos menjalankan perniagaan dan peningkatan persaingan.

Justeru dalam menghadapi ketidaktentuan ekonomi semasa, fokus perlu diberi untuk merancakkan permintaan dan meningkatkan daya tahan. Segmen pengguna dinasihatkan agar terus berbelanja secara berhemah bagi merancakkan permintaan domestik, di samping penumpuan perlu diberikan bagi meningkatkan dayatahan peniaga kecil dan sederhana di seluruh negara, antaranya melalui kempen ‘Beli Barangan Buatan Malaysia’.

Prospek politik 2019 pula dijangka aktif.

Tirai politik negara bagi tahun 2018 berlabuh dengan beberapa episod mendebarkan.

Sejurus Pilihan raya Umum ke-14 yang dimenangi oleh Pakatan Harapan, beberapa pilihan raya kecil telah menyusul berikutan kematian penyandang seperti di Dun Sungai Kandis, Seri Setia dan Balakong, serta pengosongan kerusi seperti berlaku di Parlimen Port Dickson, yang kesemuanya menyaksikan keputusan ‘status-quo’ dimenangi oleh parti kerajaan.

Namun pilihan raya kecil Parlimen Cameron Highlands dan Dun Semenyih yang bakal berlangsung dalam masa terdekat, akan menghangatkan pentas politik dalam negara, di samping perubahan senario politik di pihak kerajaan berikutan sejumlah besar Ahli Parlimen Umno yang telah mengisytiharkan keluar parti, dan kini sedang menanti untung nasib mereka.

Selain itu, pergolakan dalaman di pihak Pakatan Harapan dijangka bertambah rumit, bermula dengan perebutan jawatan tertinggi di dalam pemilihan PKR dan DAP seluruh negara, desas-desus rombakan kabinet oleh Perdana Menteri menjelang sidang Parlimen yang akan bermula Mac ini, serta persoalan besar berhubung jawatan Perdana Menteri ‘menanti’ yang masih belum terjawab secara tuntas oleh Pakatan Harapan.

Malah Perdana Menteri dilihat ‘berseorangan’ ketika menyuarakan pendirian dalam isu sensitif seperti pilihan raya kerajaan tempatan (PBT), bantahan ratifikasi ICERD, pengiktirafan sijil UEC dan cadangan projek kereta nasional, serta beberapa isu serantau dan antarabangsa melibatkan hubungan dengan Singapura, Amerika Syarikat dan China.

Di sebalik kemelut dalaman di pihak Kerajaan, Perdana Menteri dilihat komited untuk menghidupkan kembali semangat federalisma yang sedikit tergugat sebelum ini, khususnya dalam membaiki hubungan di antara Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri yang dimenangi parti pembangkang, seperti kesediaan untuk menyalurkan peruntukan pembangunan dan pengembalian royalti kepada Kelantan dan Terengganu.

Justeru dalam menghadapi ketidaktentuan politik semasa, fokus perlu diberi untuk meningkatkan penyampaian dan mengekalkan kestabilan dalam negara. Kebajikan rakyat perlu diutamakan, dan persaingan politik yang berlebihan perlu dikurangkan kerana tidak menguntungkan rakyat keseluruhannya.

SYAHIR SULAIMAN
Pengarah Strategi DPPM
11 Januari 2019 – HARAKAHDAILY 11/1/2019

- Advertisement -