KEJAYAAN menurunkan jenayah di Negeri Terengganu pada tahun 2018 adalah suatu pencapaian yang sangat signifikan bagi saya atas kapasiti Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan Negeri. Peratusan 19.3 itu mengindikasikan bahawa kerja keras pastinya dari kerajaan sekarang dan dahulu, Polis DiRaja Malaysia (PDRM), agensi-agensi kerajaan terlibat dan juga rakyat.
Saya benar-benar berharap penurunan ini disebabkan kerana rakyat sekarang ini secara perlahan-lahan memahami bahawa keperluan kita semua untuk menjauhi perkara-perkara buruk yang tidak membawa kebaikan sama ada kepada diri mahupun masyarakat. Ianya akan menjadi suatu kelebihan jika benar pengurangan ini benar-benar kerana perubahan diri.
Bagi saya, jika benar, ia membawa maksud, kesedaran rakyat sudah semakin meninggi, dengan kempen-kempen yang dilakukan sebelum ini oleh semua pihak. Kerajaan akan secara berterusan tanpa jemu untuk membantu dan membimbing rakyat bagi menuju kehidupan yang sejahtera melalui saranan-saranan Islam yang menjadi petunjuk kepada cara hidup manusia. Ianya penting kerana pembinaan insan adalah suatu yang sukar dan berpanjangan, tiada henti, kepada siapa sahaja.
Saya menyeru kepada semua yang ingin melakukan kejahatan, berhentilah. Pintu taubat Allah sangat luas, rezeki Allah sangat banyak dan kebaikan tidak terkira banyaknya untuk anda lakukan. Kepada yang berada di atas jalan kebaikan, teruskan, sebarkan dan istiqamahlah supaya kita semua kekal berada dalam kebaikan, insyaAllah.
Jutaan terima kasih sekali lagi kepada semua yang terlibat, semoga kejayaan ini berterusan, tidak setakat ini sahaja. Ayuh kita sambung kerja dakwah bagi membangunkan insan dengan penerangan-penerangan yang benar, tepat menurut kehendak al-Quran dan sunnah dan sampai kepada sasaran. Kita lakukan perubahan bermula dari diri kita, keluarga dan kemudian kepada masyarakat.
YB USTAZ MOHD NOR HAMZAH
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan,
Dakwah dan Penerangan Negeri Terengganu
4 Jamadilawwal 1440/ 10 Januari 2019 – HARAKAHDAILY 10/1/2019