Kelab malam: ‘Sumbangan besar’ dan kepentingan politik?

- Advertisement -

SUMBANGAN besar’ kelab malam kepada masyarakat dan negara mutakhir ini seharusnya menjurus kepada tindakan untuk menutup atau setidak-tidaknya mengurangkan jumlah sedia ada di seluruh negara. Ternyata saban hari dilaporkan berkembangnya pelbagai ‘industri’ di premis tersebut yang terangkum bukan sahaja dalam sektor noda, dosa dan jijik, bahkan juga jenayah.

- Advertisement -

Malah, selaras semangat Malaysia Baharu dan hasrat mengangkat konsep Maqasid Syariah sebagai dasar pentadbiran, gaya hidup kuno dari budaya kelab malam mestilah dibersihkan dari tamadun hidup rakyat Malaysia. Barulah perubahan yang dilaungkan dan slogan “Rahmatan Lil ‘Alamin” akan dapat diusaha jayakan. Jika tidak, ianya kekal sebagai retorik dan lakonan sahaja.

Malangnya, sehingga hari ini, tidak dilihat Kerajaan PH yang sedang menerajui pemerintahan negara komited atau mempunyai pendirian jitu untuk menangani perkara tersebut. Sebaliknya, secara khusus di Ibu Negara yang kini direkodkan mempunyai 627 premis hiburan berlesen itu, seakan dipayungi dengan baik daripada pihak Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Samad sendiri.

Ketika pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) berusaha menghadkan operasi premis berkenaan setakat jam 1 pagi, Khalid pula dilihat tunduk dan akur dengan tuntutan desakan para pengusaha premis maksiat dan munkar itu. Apakah keizinan masa operasi yang dilesenkan itu kerana terselindung kepentingan politik tertentu atau merasa perolehan dan hasil dari kelab malam sebagai ‘keuntungan’?   

Apakah Khalid sengaja membutakan mata terhadap statistik dari pelbagai operasi penguatkuasaan yang mencatatkan kes berkait dadah, pelacuran, perjudian, kongsi gelap, bunuh dan banyak lagi. Malah mewujudkan pelbagai masalah ‘hiliran’ lain seperti bunuh diri, mabuk, pergaduhan, zina, pembuangan anak, perceraian, serta pelbagai penyakit yang tidak terhitung banyaknya.

Kompromi songsang dibenarkan Khalid itu sebenarnya membuka ruang kesempatan dan manipulasi oleh kelicikan pihak berkaitan untuk ‘memodenkan dan memajukan’ lagi kegiatan mereka. Ianya akan menjadi rangsangan dan menyuburkan lagi aktiviti seumpama sebagaimana dapat dilihat kini terdapat semakin banyak kelab malam, kedai judi dan arak di Pulau Pinang.

Semua ini harus segera dilenyapkan agar tidak terus menjadi kegiatan perniagaan dan budaya masyarakat. Kerana terbukti di sana membiaknya pelbagai masalah yang sukar diubah, selain membawa kerugian dan malapetaka kepada banyak pihak. Hanya segolongan kecil sahaja yang untung dan kami berharap kerajaan tidak ‘bersekongkol’ kecuali memiliki saham bersama.

Sudah tiba masanya juga untuk kerajaan meminda akta dan peraturan berkaitan yang lebih tegas dan ketat bersama penguatkuasaannya. Selain itu mengadakan usaha-usaha pendidikan ke arah gaya hidup lebih sihat dan memperkenalkan bentuk hiburan berakhlak untuk negara. Kami mengajak semua pihak sama-sama mengubah perkara ini dan membina masa depan positif untuk Malaysia.

“Islam Memimpin”
“Terus Mara”
“Iltizam Bersama Islam”

USTAZ MOHD FARKHAN MD ZIN
Ketua Pemuda
Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan – HARAKAHDAILY 11/1/2019

- Advertisement -