Isu peruntukan: Rakyat tuntut keadilan

- Advertisement -

PEMBERIAN peruntukan yang perlu diagihkan kepada sekolah pondok berdaftar di seluruh Malaysia dilihat cuba mengalih perhatian rakyat kepada pengagihan Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC) yang diberikan oleh Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching sehari sebelum peruntukan ini.

- Advertisement -

Isu pemberian peruntukan kepada SMPC masih lagi menjadi tanda tanya kepada rakyat kerana pemberian berjumlah RM12 juta hanyalah bagi 61 buah sekolah SMPC di seluruh negara sedangkan peruntukan RM25 juta diagihkan kepada 283 buah sekolah pondok berdaftar.

Purata bagi sebuah sekolah SMPC adalah berjumlah RM200,000 manakala purata bagi sebuah sekolah pondok berdaftar adalah sebanyak RM88,000 sahaja. Ironinya, SMPC adalah sebuah sekolah persendirian yang ‘mewah’ malah pernah berikrar tidak akan menerima apa-apa bantuan kewangan daripada Kerajaan ekoran arahan kerajaan untuk menukar status sekolah tersebut.

Peruntukan ini juga dilihat sebagai salah satu komitmen kerajaan bagi mengiktiraf lulusan atau graduan dari SMPC yang jelas-jelas ingin mengiktiraf UEC. UEC adalah sijil sekolah swasta (SMPC) yang dikelolakan Dong Zong dan Jiao Zong (Dong Jiao Zong). Sijil ini langsung tidak ada kaitan dengan guru-guru KPM dan Lembaga Peperiksaan Malaysia. Memberikan wang kepada sekolah yang menggunakan sistem Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) sebagai sijil peperiksaan adalah salah satu sokongan kerajaan terhadap perkara tersebut.

Sebelum ini kenyataan menteri pendidikan bahawa peruntukan kerajaan kepada SMPC akan dimasukkan ke pelan kewangan holistik kebangsaan dalam bentuk perbelanjaan pembangunan dan ianya bergantung kepada prestasi ekonomi negara.

Ironinya, peruntukan bagi pembinaan sekolah-sekolah tahfiz ditangguhkan seperti projek menaik taraf bangunan tambahan sekolah agama rakyat Saadatul Darain dan juga projek pembinaan kelas kafa Masjid Kampung Sekolah Juru dengan memberi alasan kewangan ekonomi yang tidak stabil menyebabkan projek-projek yang telah diluluskan peruntukannya oleh kerajaan lama ditangguhkan.

Justeru itu, rakyat tertanya-tanya di mana keadilan kerajaan dalam memberi bantuan pendidikan kepada rakyat. Sekolah persendirian Cina dimajukan, walau bagaimanapun, sekolah-sekolah persendirian yang memartabatkan bahasa ibunda ditinggalkan. Kerajaan seakan-akan seperti ‘anak kera di hutan disusukan, anak di rumah mati kelaparan’.

“Islam Memimpin”

USTAZ SHAHARIZUKIRNAIN ABDUL KADIR
Ahli Parlimen Setiu
9 Januari 2019 | 4 Jamadilawal 1440 – HARAKAHDAILY 9/1/2019

- Advertisement -