Ust Zawawi: Hubungan kerajaan, rakyat dan tanah

- Advertisement -

(Tulisan ini adalah dari temubual khas bersama Almarhum Ustaz Mohammad Zawawi Abu Hassan semasa hayatnya selaku pemimpin di Perak. Pandangan dikemukakan berkaitan hubungan ini membayangkan keilmuan, gagasan, perhatian dan keprihatinan PAS dan dirinya. Sempena belasungkawanya, ikuti semula perkara pernah dikemukakan almarhum)

- Advertisement -

Bagaimana sistem pemerintahan Islam mensejahterakan hubungan kerajaan, rakyat dan tanah?

SISTEM pemerintahan Islam meletakkan hubungan yang erat antara kerajaan, rakyat dan tanah. Malangnya, pemerintahan yang berasaskan sekular serta idealogi makhluk mengabaikan pertalian penting tersebut.

Natijahnya, sesama makhluk gagal mendapat faedah yang harmoni, sebaliknya mendatangkan pelbagai kesan negatif lagi merosakkan.

Adun Semanggol, Ustaz Mohammad Zawawi Abu Hassan berkongsi secebis ilmu pengurusan dan saling kait antara tiga komponen tersebut dalam sistem pemerintahan Islam untuk diambil sebagai iktibar berdasarkan masalah yang banyak berkembang dalam masyarakat hari ini.

Menurut beliau, tanah yang diusahakan rakyat akan mendatangkan pulangan kepada pengusahanya dalam bentuk hasil berupa makanan sebagai keperluan asasi untuk hidup. Dari keupayaan itu juga akan mendatangkan zakat kepada kerajaan untuk diagihkan kepada golongan asnaf yang memerlukan.

Tindakan seperti itu mengalirkan dan mengikat hubungan sesama insan berupa kasih sayang dan keprihatinan, selain membangunkan upaya golongan asnaf untuk terus menikmati keperluan hidup atau mengubah status diri misalnya keluar dari belengu kemiskinan.

“Tanah yang diusahakan sebagai pertanian, Allah sebut di dalam al-Quran bahawa Dia menurunkan hujan dan hujan itu pula menumbuhkan tanaman. Dalam Tafsir Sya’rawi menyatakan, bila ditanam rakyat akan mendapat makanan, maksudnya manusia boleh hidup.

“Yang mentadbir itu Allah walaupun ada pemerintah (manusia). Bila Allah turunkan hujan mencurah-curah tumbuh makanan, di situ juga ada ‘proses’. Tumbuhan akan keluarkan oksigen untuk kegunaan manusia dan tumbuhan menyedut karbon dioksida yang dilepaskan manusia.

“Jadi di sana ada hubungan tumbuh-tumbuhan dengan manusia dan makhluk Allah yang lain. Iaitu orang akan hidup, satu memperolehi makan sebagai imbangan ekonomi dan satu lagi hubungan di antara alam itu dengan manusia,” jelasnya.

Keberkatan faraid Islam

Kepentingan tanah juga terang Ustaz Zawawi, dapat dilihat dalam bab faraid Islam di mana penting pembahagian pusaka itu diselesaikan menurut Islam.

Menurutnya, pembahagian itu supaya orang Islam memiliki asetnya terutama tanah kerana sama ada diusahakan atau tidak, pemilikan tanah itu adalah lambang ekonomi. Tanah yang diusahakan misalnya sebagai pertanian akan mendatangkan hasil ekonomi dan sekiranya dibina kediaman ianya untuk berteduh dan keperluan menjalani kehidupan. Bahkan sekiranya dibiarkan, dari tanah itu mungkin untuk sewaan atau ditemui hasil-hasil bumi darinya.

Malangnya ujar beliau, pembahagian pusaka milik orang Islam di negara ini banyak yang tidak selesai akibat keengganan menggunakan kaedah secara faraid Islam. Mengakibatkan bukan sahaja hilang keberkatan, malah umat Islam hilang segala-galanya berkait faedah dari pemilikan tanah.

Keadaan itu katanya, ditambah oleh kegagalan kerajaan berperanan untuk menyedar dan bersungguh-sungguh menjaga hak rakyat berkaitan pemilikan tersebut, sedangkan terdapat jabatan yang menguruskan perkara itu.

“Di sini tidak ada keberkatan orang Melayu Islam kita, jadi satu azab sedangkan ini keturunan selesai cara faraid. Atas tanah tu mana tahu ada gas, atas tanah tu ada batu arang, atas tanah tu ada minyak, atas tanah tu ada emas.

“Bertengkar sampai tak mahu tolak ansur langsung, akhirnya (pembahagian) tak selesai. Sebab itulah terjadi masalah ekonomi, sebab itulah anak-anak orang Melayu Islam sekarang bertempiaran lari jadi bangsat tak ada rumah, tak boleh miliki rumah,” kesalinya.

Kegagalan kerajaan

Menyentuh peranan kerajaan membangunkan tanah, Ustaz Zawawi mendedahkan betapa banyak pembinaan kediaman untuk kaki tangan kerajaan seperti kuarters-kuarters di seluruh negara dibina sekadar untuk memberi projek kepada kroni.

Katanya, kediaman terbabit tidak memenuhi keselesaan untuk diduduki selain faktor seperti kemudahan asas lain dan penyelenggaraan serta lokasi tidak sesuai, di mana akhirnya ia dibiarkan kosong.

Kesannya ujar beliau, bukan sahaja menunjukkan kelemahan pengurusan tanah sebagai aset sangat bernilai, tetapi juga mendatangkan kerugian serta menimbulkan pelbagai kesan sosial sampingan seperti beban bayaran, vandalisme dan tempat kegiatan tidak bermoral.

Jalan gelong, rumah kotak

Exco Pemuda PAS Malaysia itu turut menyelar kerajaan kerana gagal menyediakan jalan raya yang terbaik sepertimana negara lain.

Menurutnya, jalan yang bengkang bengkok dan berombak serta rosak mempengaruhi dan mengganggu minda rakyat, sekali gus turut mendatangkan kesan lain kepada kehidupan mereka.

“Bila kita lihat dari sudut ilmu nafsi dan ilmu psikologi, bila bergerak atas jalan macam ini, hidup dia pun macam jalan gelong takkan ikut sistem. Sebab itu buang sampah merata, lampu merah langgar, tidak ada sistem, sebab manusia tak ada tamadun dengan pembangunan tadi.

“Kalau kaji ilmu adab, ilmu tamadun, kerajaan bila hendak buat sesuatu, kena tengok sistemnya, maka rakyat yang ikut pun ada sistem,” terangnya.

Ustaz Zawawi turut menyentuh pembinaan dan pola penempatan masyarakat hari ini di mana banyak dibina rumah berkotak-kotak serta susunan perumahan yang membekukan pemikiran dan sosial budaya masyarakat.

Menurutnya, konsep pembinaan yang ada pada hari ini membuatkan ‘manusia seperti katak bawah tempurung’, tidak tahu mengakses dunianya serta dipenuhi pelbagai tekanan.

Kerajaan juga selar beliau, gagal memberi keseimbangkan pada pembangunan di mana hampir semua negeri dilayan dan dihasratkan untuk pembangunan industri.

“Sebab tu tok-tok guru kampung dulu bila ada padi di situ ada pondok pengajian ada perjuangan. Jadi hubungan dengan masyarakat itulah komuniti, bila ada pendidikan, adanya pertanian, ada makanan asas, diwajibkan zakat.

“Bila proses zakat itu ada hubungan dengan manusialah, di situ ada hikmah sekeliling. Maksudnya orang miskin ini kita meraikan, mendapat manfaat daripada kewajipan zakat tadi. Jadi hubungan masyakat ekonomi seimbang cukup harmoni, orang susah dibantu mereka yang mendapat hasil,” ujarnya menerang kitaran kesejahteraan itu.- HARAKAHDAILY 8/1/2019

- Advertisement -