Bersabarlah tunggu keputusan Majlis Raja-raja

image
- Advertisement -

PADA zaman teknologi maklumat ini, wujud satu sikap tidak sabar untuk mengetahui sesuatu berita baharu. Akibatnya ada segelintir yang cuba membuat pelbagai telahan dalam isu pelantikan jawatan YDPA dengan mendahului ketetapan Majlis Raja-raja.

- Advertisement -

Perkara 32(3) menyebut bahawa kuasa melantik YDPA terletak pada Majlis Raja-raja. Perkara 38(6) pula menyebut kuasa melantik YDPA adalah termasuk dalam kuasa di bawah budi bicara Majlis Raja-raja. Ia membawa maksud, tidak siapa yang boleh campur tangan dalam urusan berkenaan.

Perkara 38(2) pula menyatakan bahawa pelantikan YDPA oleh Majlis Raja-raja hendaklah dibuat mengikut cara yang ditetapkan dalam Jadual Ketiga Perlembagaan.

Jadual Ketiga, menetapkan bahawa seseorang Raja layak dipilih menjadi Yang di-Pertuan Agong melainkan jika:

(a)     Raja itu belum dewasa: atau

(b)     Raja itu telah memberitahu Penyimpan Mohor Besar Raja-raja bahawa Raja itu tidak berhasrat dipilih; atau

(c)     Majlis Raja-raja mengambil ketetapan melalui undi sulit bahawa Raja itu tidak sesuai untuk menjalankan fungsi Yang di-Pertuan Agong disebabkan oleh kelemahan akal atau tubuhnya, atau kerana apa-apa sebab lain. 

Jadual Ketiga juga memberikan panduan berkenaan jadual pergiliran YDPA antara sembilan buah negeri. Pergiliran ini telah pun berlaku dalam pusingan pertama dengan urutan senarai berikut: Negeri Sembilan, Selangor, Perlis, Terengganu, Kedah, Kelantan, Pahang, Johor, Perak.

Bila selesai pusingan itu, maka Jadual Ketiga menetapkan bahawa perlu dibuat senarai baharu yang disusun semula bagi pusingan berikutnya dengan menyenaraikan negeri-negeri “mengikut susunan Raja-rajanya telah memegang jawatan itu”.

Oleh kerana dalam pusingan pertama, semua sembilan orang Raja-raja telah mengisi jawatan YDPA, maka pusingan kedua ini sepatutnya berjalan mengikut pusingan pertama. Jika ada Raja yang meminta dilambatkan gilirannya waktu pusingan pertama dahulu, ia tidak perlu diambilkira dalam pusingan kedua ini.

Oleh yang demikian, memandangkan enam buah negeri telah selesai mengisi jawatan YDPA dalam pusingan kedua ini, maka tinggal lagi baki tiga negeri yang belum iaitu Pahang, Johor dan Perak. Jika diikutkan, jadual pusingan terdahulu, giliran berikutnya ialah Pahang.

Walau bagaimanapun, Majlis Raja-raja tidak terikat untuk membuat pemilihan berdasarkan pergiliran ini semata-mata. Majlis Raja-raja boleh membuat keputusan yang berbeza di atas beberapa asas iaitu:

a.     Majlis Raja-raja boleh membuat keputusan berbeza berasaskan tiga faktor yang menghilangkan kelayakan YDPA yang terdapat dalam Jadual Ketiga.

b.     Terdapat kemungkinan mana-mana Raja yang menyatakan hasratnya untuk tidak dipilih, atau dilambatkan giliran.

Dalam hal ini saya berpendapat, rakyat perlu memberikan kepercayaan dan kesetiaan kepada Majlis Raja-raja dalam menentukan pelantikan YDPA. Apa sahaja keputusan perlu diterima dengan hati terbuka dan positif. Tidak perlulah menggunakan saluran media baharu untuk menyebarkan pandangan-pandangan yang seolah-olah cuba untuk mempengaruhi pelantikan YDPA.

Pilihan yang ada pada Majlis Raja-raja adalah luas. Keputusan yang dibuat itu juga berdasarkan pertimbangan-pertimbangan yang dinilai dalam mesyuarat berkenaan. Inti pati perbincangan tentunya adalah rahsia. Tidak perlu bagi kita untuk mencari dan mengorek maklumat yang di luar tanggungjawab kita.

Dalam tempoh sebelum YDPA dilantik ini Timbalan YDPA iaitu Sultan Perak akan menjalankan tugas dan peranan YDPA. Walaupun tiada tempoh yang ditentukan bagi pemangkuan tugas, namun kita percaya Baginda akan mengambil langkah segera bagi melantik YDPA yang baharu melalui mesyuarat Majlis Raja-raja.

Kita sama-sama doakan agar pemilihan YDPA berjalan lancar dan dirahmati oleh Allah S.W.T.

DR MUHAMMAD FATHI YUSOF
7 Januari 2019 – HARAKAHDAILY 7/1/2019

- Advertisement -