Isu Tabung Haji: Jangan mudah menuding jari

- Advertisement -

TERTARIK apabila membaca penulisan terbaru Saudara Rafizi Ramli (RR) yang menegur Presiden PAS, YB Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang (TGHH) agar jangan mudah berpuas hati dalam isu Tabung Haji (TH).

- Advertisement -

Penulisan Saudara RR itu disandarkan kepada berita yang dilaporkan portal Malaysiakini, dan dipetik sebahagian ucapan TGHH ketika berdialog di London tanpa meneliti keseluruhan ulasan TGHH dalam isu ini.

Saudara RR menyebut bahawa, “Sejak 2013, saya telah menulis 33 analisis dan pandangan, termasuk membongkar pelaburan-pelaburan Tabung Haji yang merugikan penabung sehingga mencecah berbilion ringgit. Semuanya boleh dibaca di sini, jika Dato’ Seri Hadi sudi meluangkan sedikit masa menimba ilmu yang di luar kepakaran beliau (kewangan)”.

Baguslah jika Saudara RR tekun membongkar penyelewengan dan kerugian TH, tetapi janganlah terlalu mudah menghukum salah, apatah lagi mengaitkan orang lain yang tidak bersalah.

Terkadang timbul juga persoalan adakah analisa dan pertuduhan yang dibuat oleh Saudara RR selama ini, mempunyai merit dan asas yang kukuh untuk dipercayai?

Daripada 33 analisa tersebut, berapakah jumlah laporan SPRM yang telah dibuat, dan berapa pula kertas siasatan yang telah dibuka bersandarkan analisa Saudara RR. Daripada jumlah tersebut, berapa kes salahlaku yang telah didakwa, dan berapa pula pesalah yang sudah disabitkan oleh pihak mahkamah?

Jawapan kepada persoalan ini akan menilai sama ada analisa Saudara RR selama ini boleh dipercayai atau sebaliknya.

Pendirian TGHH dalam isu tadbir urus korporat TH adalah jelas, sebagaimana yang terkandung di dalam kenyataan beliau bertarikh 12 Disember 2018, serta ucapan penuh TGHH dalam program dialog di London tersebut, antaranya:

a. PAS memandang serius terhadap tuduhan yang berlaku di dalam institusi kewangan terbesar umat Islam di Malaysia ini, namun PAS berpandangan adalah tidak wajar sekiranya pertuduhan ini dibicarakan melalui media oleh seorang Menteri sehingga boleh menimbulkan persepsi dan percanggahan maklumat yang mengelirukan.

b. PAS menyarankan agar satu penilaian menyeluruh dikendalikan di bawah seliaan Majlis Raja-Raja (RCI) ataupun Parlimen, bagi meneliti dan mempertimbangkan setiap syor yang dikemukakan oleh juruaudit bebas yang telah dilantik (PWC), sebelum dilaksanakan oleh pihak Kerajaan yang masih baharu dan kerap membatalkan keputusan yang dibuat mereka sendiri.

c. PAS juga menasihatkan agar Kerajaan tidak mempolitikkan isu ini sehingga merosakkan imej Tabung Haji, dan tidak bersikap berat sebelah dalam menjalankan siasatan terhadap kes rasuah dan penyelewengan melibatkan pemimpin Pakatan Harapan yang masih belum disiasat dan didakwa sehingga hari ini.

Malah pendirian TGHH dalam isu 1MDB juga jelas menolak segala unsur penyelewengan dan menggesa agar diadakan siasatan RCI secara bebas.

Ini terkandung di dalam sebuah makalah yang menghimpunkan segala kenyataan, ceramah dan ucapan parlimen oleh TGHH dalam isu 1MDB setebal 106 muka surat, dan boleh difahami oleh mereka yang tidak mempunyai kepakaran dalam bidang kewangan.

Hakikatnya TGHH tidak pernah sekalipun ‘berpuas hati’ terhadap laporan penyelewengan yang didakwa berlaku di TH dan 1MDB, apatah lagi ‘menyucikan’ segala salah laku yang didakwa berlaku di TH dan 1MDB.

Benar kita tidak boleh mudah berpuas hati, namun kesemuanya perlu disiasat, didakwa dan dibicara mengikut ‘rule of law’ yang bebas, dihukum seadilnya dan diambil iktibar sebaiknya.

Justeru adalah lebih baik sekiranya kita tidak mudah menuding jari, kerana dikhuatiri umpama pembohong memekik “pembohong” di tengah orang yang mengejarnya di malam hari, memudahkan pembohong sebenar melepaskan diri.

SYAHIR SULAIMAN
6 Januari 2019 – HARAKAHDAILY 6/1/2019

- Advertisement -