Pengurusan Ihtirafi : Kelantan terus cemerlang

- Advertisement -

TAHUN 2019 menjengah tiba. Alhamdulillah Kerajaan Kelantan terus mara dengan banyak kejayaan demi kejayaan yang dicapai. Tahun 2018 menyaksikan kecemerlangan Kerajaan Islam ini mengatasi segala tohmahan dan fitnah musuh politik PAS yang saban hari bekerja untuk meruntuhkan legasi Almarhum Tok Guru Nik Aziz.

- Advertisement -

Dan kecemerlangan PAS mengekalkan kuasa di Kelantan dalam Pilihan Raya Umum 9 Mei 2018 menjadi saksi serta manifestasi kepada sokongan rakyat yang melihat kejayaan kejayaan Kelantan ini sebagai sesuatu yang bersifat realiti dan konkrit. Meskipun dituduh Kerajaan Islam ini lemah, miskin, tidak pandai memerintah, hilang arah tuju selepas kematian Tok Guru Nik Aziz dan pelbagai kecaman yang lainnya, namun kerja buat dan hasil kejayaaan Kerajaan Negeri yang akhirnya dilihat dan dinilai oleh rakyat.

Awal permulaan tahun ini, Yang Amat Berhormat Menteri Besar Kelantan meneruskan tradisi kecemerlangan Kelantan yang digariskan dalam ucapan beliau dalam Amanat Khas Tahun Baharu 2019 yang bertemakan “Pengurusan Ihtirafi Tunjang Kesejahteraan”. Ia menjadi panduan utama agar para penjawat awam negeri ini terus bekerja dengan penuh kecemerlangan dalam memastikan pembangunan negeri berjalan dengan baik sesuai dengan tuntutan syariat. Jelas dan berfokus.

Ihtirafi mahu mewujudkan petugas kerajaan yang professional dan mukmin. Dua ciri utama orang mukmin yang professional adalah hafiz dan alim. Ia membawa maksud individu yang mempunyai ilmu, kemahiran, kepakaran, pengetahuan dan berintegriti. Ini semua adalah adunan utama untuk melaksanakan pengurusan secara ihtirafi.

Ihtirafi sebagai pengurusan yang cemerlang dan professional dirangka oleh YAB Dato Bentara Kanan memiliki lima ciri utama iaitu yang pertamanya adalah ‘Hawariyyun’ yang mana semua penjawat awam haruslah menjadi pendukung kepada perjuangan yang suci. Ini perkara asas yang dibina sejak awal 1990-an apabila Almarhum Tok Guru merampas Kelantan daripada Barisan Nasional. Rakyat dan penjawat awam diajak untuk sama sama membina negeri ini sebagai satu tempat yang subur untuk agama Islam dan sejahtera untuk semua kaum.

Kafa’ah pula merupakan ciri yang kedua, membawa maksud akhlak Islami dan integriti wajib menjadi asas kepada pengurusan ihtirafi tadi. Mengenai hal ini, YAB Menteri Besar memberikan penekanan kepada dua aspek utama iaitu solat lima waktu yang perlu diutamakan walaupun sesibuk mana seseorang dalam urusan kehidupan harian. Dan juga berkaitan dengan etika pemakaian yang harus dijaga senantiasa agar imej dan juga aurat dipelihara pada setiap waktu.

Penjawat awam wajib berkhidmat dengan penuh tanggungjawab, sopan, dedikasi dan usaha terbaik kepada pelanggan dan juga masyarakat.

Ciri yang ketiga di bawah Pengurusan Ihtirafi adalah Wafa’ Bil ‘Uqud yang bermaksud keinginan untuk mencapai piawaian yang terbaik dalam setiap gerak kerja. Ini sesuai dengan naluri asas orang Kelantan itu sendiri yang sering bersungguh sungguh dalam setiap pekerjaan. Dan ini telah diterjemahkan dalam pengurusan serta pentadbiran Kerajaan Negeri yang mana mampu untuk memberikan kebajikan dan kesejahteraan kepada rakyat meskipun dianaktirikan sekian lama oleh Kerajaan Pusat.

Seterusnya adalah Himmatul ‘Amal yang merupakan ciri penting dalam gagasan Ihtirafi ini iaitu mengejar peningkatan kualiti dan cita-cita dalam kerja buat sehari-hari. Dengan 28 tahun dasar UMI yang dibawa oleh Almarhum Tok Guru dahulu, maka petugas kerajaan serta rakyat telah memahami bahawa kerja kita bukanlah sekadar kerana diupah, tetapi ia kerana Allah S.W.T dan juga khidmat terbaik yang harus diberikan kepada masyarakat. Kepuasan kerja tidak boleh dibeli dengan wang Ringgit. Ia hadir dengan keikhlasan dan kesungguhan kerja.

YAB Menteri Besar menggariskan ciri Hafazah sebagai elemen terakhir dalam gagasan pengurusan Ihtirafi ini yang menekankan peri pentingnya memelihara dan meningkatkan imej profesion di Kelantan. Sebagai pendukung kepada perjuangan yang suci, tugas kita haruslah dipandang tinggi dan dihormati oleh masyarakat.

2019 ini bakal menjanjikan cabaran yang tidak sedikit kepada Kelantan. Cabaran mengurus dan membangunkan ekonomi negeri dilihat cukup signifikan untuk didepani kerajaan. Rakyat mahu melihat hasil dan pencapaian yang positif. Dan Kelantan telah menggariskan beberapa fokus utama bagi tahun ini. Yang pertamanya adalah melibatkan sasaran untuk mencipta peluang pekerjaan melalui pembangunan industri hiliran hasil daripada sumber asli yang dimiliki oleh negeri. Sebagai contoh, projek kilang simen bersepadu di Chiku 7 yang akan membuka hampir 1000 peluang pekerjaan baharu kepada rakyat.

Fokus lain kerajaan antaranya dalam isu kebersihan yang mana hasrat untuk mewujudkan ‘kehijauan’ negeri dan kebersihan alam sekitar. Pembangunan secara mampan akan menjadi teras agar kemodenan dan pembinaan gedung serta bangunan besar di negeri ini turut seimbang dengan pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar serta kebersihan. Tahun ini bakal menyaksikan pertandingan kebersihan dan keceriaan antara pihak berkuasa tempatan yang sudah pastinya akan mewujudkan suasana sejahtera dalam semua bandar dan pekan di Kelantan.

Fokus lain juga adalah dalam memerangi gejala maksiat. Semua agensi penguatkuasaan dan pembangunan insan harus proaktif dalam mengambil peranan untuk menguruskan masalah sosial dalam masyarakat kita hari ini. Budaya tegur menegur untuk mengekang kebejatan sosial wajib dihidupkan semula. Program Desa Takwa yang pernah masyhur satu ketika dahulu bakal diaktifkan kembali di negeri ini. Komuniti dan masyarakat diharapkan hidup secara sejahtera berpaksikan keimanan kepada Allah S.W.T. Para Penghulu, ahli jawatankuasa masjid serta pegawai halaqat harus menjadi tunjang dalam menjayakan program desa takwa ini.

Rakyat sekitar Kota Bharu hari ini juga gembira dengan pengumuman oleh YAB Menteri Besar mengenai kemudahan internet jalur lebar secara percuma apabila 10 lokasi strategik untuk rakyat daerah ini akan dilengkapi internet 24 jam setiap hari. Ia bakal memudahkan urusan rakyat dan juga pelancong asing.

Teruslah cemerlang Kelantanku. Pencapaian demi pencapaian dicatat dalam pengurusan dan pentadbiran Kerajaan Negeri. Sebanyak RM40.40 juta surplus dicatatkan pada tahun 2018 yang lalu. Dan untuk rekod pada tahun 2017 juga Kelantan mencatatkan lebihan sebanyak RM38.20 juta. Ini semua adalah hasil kerja keras semua pihak di negeri ini. Pemimpin dan juga rakyatnya. Tahniah!

NAZMAN CHE IBERAHIM – HARAKAHDAILY 3/1/2019

- Advertisement -