Menangani defisit awal tahun

syahir
- Advertisement -

SESI persekolahan baharu membawa seribu satu makna dan cerita.

- Advertisement -

Di sebalik keceriaan ibu bapa menghantar anak-anak ke sekolah, ramai juga yang terpaksa berkira-kira untuk membuat persiapan kelengkapan persekolahan, sama ada pekerja di bandar mahupun penoreh getah di desa.

Jika dahulu ratusan ringgit perlu dibelanjakan setiap keluarga, kini jumlah itu mungkin mencecah ribuan ringgit setiap keluarga, disebabkan peningkatan harga buku, pakaian, yuran serta pelbagai lagi bayaran sampingan seperti tambang bas dan sebagainya.

Setiap kali menjelang tahun baharu, pilihan yang ada kepada ibu bapa adalah terhad, sama ada menangguhkan perbelanjaan atau berbelanja melebihi pendapatan semasa. Jika dipilih berbelanja melebihi pendapatan, maka terpaksalah berhutang dengan kad kredit atau menggunakan simpanan yang tidak seberapa.

Inilah hakikat kitaran kewangan setiap isi rumah yang berhadapan dengan situasi lebihan (surplus) dan kurangan (deficit) pada tempoh tertentu, tidak jauh berbeza dengan kitaran kewangan dan kekangan bajet yang dihadapi oleh pihak kerajaan.

Prinsipnya adalah sama tanpa mengira anda seorang Perdana Menteri yang mengetuai sebuah kerajaan, atau seorang bapa yang mengetuai sebuah isi rumah, iaitu “berbelanja mengikut kemampuan dan keperluan, bukan mengikut kemahuan”.

Kepentingan pengurusan kewangan.

Menurut Agensi Kaunselling dan Pengurusan Kredit (AKPK), peningkatan pembiayaan peribadi dalam kalangan rakyat disifatkan sebagai membimbangkan, apatah lagi kebanyakan peminjam tidak mempunyai pendidikan dan kemahiran pengurusan kewangan yang baik.

Malah AKPK melihat golongan yang berpendapatan kurang daripada RM5,000 sebulan adalah mereka yang terdedah kepada risiko pinjaman tidak berbayar (NPL), kebanyakannya terdiri daripada kalangan penjawat awam dan pekerja swasta, berpunca daripada perancangan kewangan yang lemah dan peningkatan kos sara hidup di kawasan bandar.

Perangkaan ini juga selari dengan statistik yang dikemukakan oleh Timbalan Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), iaitu sebanyak 47 peratus belia Malaysia menanggung hutang kad kredit yang tinggi manakala 38 peratus dikenal pasti terbeban dengan pinjaman peribadi sehingga September 2018, dan angka ini dijangka akan terus meningkat.

Melihat kepada senario ini, generasi muda perlu memiliki kesedaran dan kemahiran dalam menguruskan kewangan, bermula dengan membuat belanjawan peribadi dan mencatat setiap ringgit yang dibelanjaan. Ini sedikit sebanyak dapat membantu golongan belia menghadapi cabaran ekonomi dan kenaikan kos sara hidup, yang sehingga kini masih gagal ditangani sebaiknya oleh pihak kerajaan.

Selain itu, dalam menghadapi ketidaktentuan ekonomi semasa, pengguna dinasihatkan agar tidak sesekali berhenti daripada berbelanja, kerana kekhuatiran sebegini akan menjadi punca pertumbuhan ekonomi tergendala. Secara asasnya apabila pengguna tidak lagi berbelanja, perniagaan dan perusahaan akan merosot, dan ramai pula yang terpaksa diberhentikan kerja.

Justeru bagi mendepani ketidaktentuan ekonomi ini, ada baiknya jika kerajaan menghidupkan kembali kempen ‘Beli Barangan Buatan Malaysia’ bagi merancakkan permintaan domestik, di samping meningkatkan dayatahan peniaga kecil dan sederhana di seluruh negara.

Inilah hakikat kitaran ekonomi sebuah negara yang sangat berkait-rapat di antara segmen pengguna, peniaga dan kerajaan, di mana kuncinya adalah kebijaksanaan semua pihak untuk berbelanja kena pada tempatnya.

SYAHIR SULAIMAN
Pengarah Strategi DPPM
3 Januari 2019 – HARAKAHDAILY 3/1/2019

- Advertisement -