Seminar sejarah mukadimah PAS 70 tahun

- Advertisement -

SEMINAR sejarah penubuhan PAS sehari pada 19 Januari 2019 nanti adalah mukadimah memperingati PAS yang kini berusia kurang dua 70 tahun.

- Advertisement -

Tahun 2021 nanti genaplah 70 tahun harakah – gerakan Islam – sebagai parti politik, dakwah dan tarbiah yang bukan sahaja penting buat Malaysia bahkan tersohor bagi Asia Tenggara masa ini dari segi usia paling panjang di rantau ini dan pengalamannya yang kaya.

Ia boleh dikira permulaan PAS menyambut usia 70 tahunnya dua tahun lagi.

Apabila dihitung mereka yang wajar hadir dari kalangan PAS yang meliputi ahli Majlis Syura, Jawatankuasa Kerja PAS, wakil Dewan-Dewan Pusatnya, Perhubungan Negeri-negeri dan Dewan-Dewan, MP dan Adun, DHPP serta empat orang bagi satu kawasan kecuali Sarawak dan Sabah yang tidak diwajibkan, maka ia mencecah lebih seribu orang, tidak termasuk wakil fakulti sejarah dan pelajar-pelajar sejarah.

Panitia hanya menyediakan 1,000 kerusi sahaja di Dewan Fadzil Noor, KUIZM, Taman Melewar. Demi kelancaran majlis dinasihatkan peserta membuat tempahan awal, sepuluh hari sebelum seminar.

Kertas seminar disediakan oleh Fadli Ghani, pegawai arkib PAS, pengarang buku Sejarah PAS 1951-1957 terbitan Harakah dan akan oleh panelis jasawan PAS, Dato’ Mustafa Ali, Dr Daeng Sanusi dan saya. Tiga jasawan ini antara yang masih segar, paling banyak mengikut sejarah parti itu bahkan terlibat dalam beberapa sejarah penting parti.

Dipercayai banyak maklumat yang mereka tahu tetapi belum dibukukan yang perlu diketahui oleh ahl-ahi PAS yang terkemudian dan para sejarawan negara sekalian. Masing-masing mencecah usia 80 tahun moga-moga terus segar dan boleh berhikayat mengenai PAS bila parti itu 70 tahun 2021 nanti. Maka mereka perlu didengar ketika ingatan masing-masing masih kuat.

Sekalian pakar sejarah mengira PAS ditubuhkan oleh Umno. Tetapi Ustaz Fadzil Noor berpendapat, yang menaja perjumpaan penubuhannya ialah Umno, tetapi yang melahirkannya umat Islam ketika itu. Mereka kekal dalam PAS manakala kebanyakan alim ulama Umno kembali bersama Umno.

Sejarah tepat adalah penting bagi warganya menyayangi perjuangannya dan membentuk jati diri wadah itu. Ia antara elemen yang boleh menghalang anggota parti meninggalkan PAS dan lambat laun yang tercicir moga-moga kembali ke pangkuannya.

Pengendali seminar PAS ini KUIZM, Assabiqun dengan kerjasama Institut Pemikiran Tok Guru adalah agensi penting PAS bagi menjadikannya wadah yang kaya sejarah. KUIZM sebagai pusat pengajian tinggi boleh mengumpulkan bahan sejarah yang tepat dan mendedahkannya kepada penyokongnya khususnya generasi baru.

Ia nescaya dapat sumber dan pusat sejarah utama lagi sahih bagi sejarah PAS dan gerakan Islam dunia. Bagi Assabiqun sebagai kelab berkumpul para jasawan parti yang berusia 55 tahun ke atas berpengalaman dengan perkembangan gerakan itu, jika disejarahkan nescaya menjadi khazanah yang berharga.

Manakala IPTG sebagai agensi Kerajaan Kelantan adalah bebas politik tetapi lebih separuh dari usia ToK Guru Nik Aziz menjadi sebahagian dari sejarah PAS, maka sebahagian dari pemikiran Tok Guru adalah pemikiran sejarah PAS. Amat mustahak kerjasama semua pihak supaya pemikiran Tok Guru itu tepat dan mewakili zaman.

Seminar ini adalah bagi menyedia dan melengkap satu wawasan sejarah Islam yang penting. Wawasan perlu dibangun dan direkodkan. Harakah telah dirakam dalam al-Quran khususnya Surah at-Taubah, mengandungi berbagai ilmu sejarah dan politik. Ia bermula sejak zaman Assabiqun, dan kerja kita adalah menyambungnya. – HARAKAHDAILY 2/1/2019

- Advertisement -