BN, PH amal rasuah politik, PAS pun sama

- Advertisement -

AGAK melucukan apabila membaca sindiran Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin kepada Menteri Kewangan, Lim Guan Eng yang membahasakan diri ‘dinda’ dan ‘kanda’ atas isu pemberian Bantuan Sara Hidup (BSH) oleh PH yang didakwa Khairy sebagai meniru pemberian BR1M BN dahulu. Dakwa Khairy lagi, penggunaan ‘database’ BR1M oleh PH dan kaedah pemberian secara tunai itu, menunjukkan bahawa mereka sebenarnya cuba meniru BN tetapi hanya menukarkan nama sahaja.

- Advertisement -

Khairy juga ‘menganjing’ dengan memberikan akronim BSH sebagai “BaSaH” sebagai membalas kembali kutukan PH sewaktu masa dahulu bahawa BR1M ialah dedak BN kepada rakyat. Selain daripada mengungkit hinaan PH terhadap senarai BR1M yang didakwa mereka sebagai terlalu besar dan ada nama yang mungkin tidak layak dimasukkan sama. Mantan Ketua Pemuda Umno itu juga mengembalikan paku buah keras, bahawa kini, di bawah PH, segala pemberian bukan lagi rasuah, tetapi ikhlas, bukan sogokan tetapi bantuan. Maka serang menyeranglah mereka bagi memaklumkan kepada rakyat, merekalah yang sebenarnya wira rakyat dengan bantuan-bantuan seperti ini.

PAS juga suatu masa dahulu secara terbuka mengkritik pemberian BR1M oleh BN ini yang disifatkan sama seperti PH, iaitu dedak. Kritikan pedas itu datang dari mulut orang yang paling dihormati oleh rakyat Malaysia, Mursyidul Am PAS, Almarhum Dato’ Bentara Setia, Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat. Jelas almarhum, BN mengajar rakyat menjadi seperti ayam dengan menjadikan BR1M sebagai dedaknya. Ayam, itik menurut beliau akan datang menghampiri manusia apabila diumpan dengan dedak atau makanan mereka. Namun begitu, beliau menyuruh rakyat mengambil wang atau bantuan itu kerana ianya hak milik rakyat, bukan kepunyaan BN. Tegas beliau, Umno menjadikan manusia seperti haiwan kerana tahu memberikan wang ringgit, tanpa pengisian sebagai hamba Allah. Sehingga ajalnya, kenyataan itu kekal.

Kini PAS, di Kelantan ataupun di Terengganu, tetap meneruskan program pemberian bantuan kepada rakyat miskin. Sama ada dengan nama baharu ataupun lama. Malah ketika bantuan Hari Raya dahulu, Terengganu menggunakan senarai e-Kasih yang dibuat BN, serta menambahkan lagi senarai penerimanya. Tidakkah pelik pada fikiran kita? PAS yang menganggap pemberian BN dahulu mahu pun PH sekarang sebagai negatif, tetapi menjadi positif pula apabila mereka yang memberikannya. PAS mengutuk perbuatan baik lawan, tetapi menjadi terpuji pula apabila mereka yang laksana.

Sama tapi tidak serupa

Mari kita rungkaikan permasalahan ini, siapa yang betul dan siapa yang salah. Seorang Musyrikin Makkah, Ibnu Juz’an ketika hidupnya sering membantu orang susah. Dia senang menghulurkan tangannya jika orang miskin meminta pertolongan. Tetapi Rasulullah memaklumkan bahawa dia di dalam neraka kerana dia tidak Islam. Sama terjadi kepada bapa saudara Baginda yang tercinta, Abu Thalib yang sangat melindungi Rasulullah, tetapi beliau tidak mendapat syurga kerana tidak menerima Islam. Manakala, Saidina Abu Bakar dan Sahabat-sahabat lain, dijamin syurga oleh Rasulullah atas kebaikan sedekah yang mereka lakukan. Seorang pejuang di pihak Islam, yang mati dalam peperangan dipuji orang ramai dan dikatakan sebagai ahli syurga kerana dia dilihat syahid. Namun Rasulullah menafikannya kerana dia berjuang bukan kerana Allah, tetapi untuk kaumnya. Sementara Saidina Hamzah disahkan pula oleh Rasulullah sebagai ahli syurga sebab matinya kerana Allah.

Ada sebahagian Musyrikin Makkah tugas mereka adalah menjaga kebajikan jemaah haji dengan menyediakan makan dan minum. Namun kerana haji mereka itu adalah haji yang syirik kepada Allah, maka segala kebaikan mereka menjadi sia-sia. Berlainan dengan kerja keras orang Islam yang menjaga segala keperluan jemaah haji selepas kedatangan Islam, mereka pasti diberikan pahala oleh Allah kerana ibadat itu adalah ibadat yang mengesakan Allah. Abu Jahal dan Rasulullah berdoa kepada Allah pada Perang Badar, tetapi Allah menerima doa Rasulullah atas nama aqidah.

Musyrikin Makkah menjanjikan 100 ekor unta kepada sesiapa yang berjaya menangkap atau membunuh Rasulullah ketika hijrahnya Baginda. Itu dikira rasuah. Suraqah bin Malik, cuba mengambil peluang itu dengan mengejar Rasulullah dan Abu Bakar. Dia hampir berjaya membunuh Rasulullah, tetapi Allah menggagalkannya berkali-kali sehingga dia tidak berdaya. Rasulullah menjanjikan gelang Kisra Parsi kepada Suraqah yang dikemudian hari menjadi satu lagi bukti kenabian Baginda dan Suraqah menerima janji tersebut ketika zaman Umar al-Khattab. Ia tidak pula dikira rasuah. Semua bandingan ini kelihatan sama, tetapi sangat berbeza hasilnya. Nampakkah anda, apa yang membezakannya?

Ya, jelas di sini, kita melihat asas kepada perbuatan yang sama tetapi berbeza penerimaan Allah ialah kerana niat dan cara kerjanya mesti betul kerana Allah. Ia berdasarkan kepada firman Allah:

Sesungguhnya agama (yang benar dan diredhai) di sisi Allah ialah Islam”

(ali-‘Imran-19)

“Sesiapa yang menuruni jalan yang lain dari apa yang disyariatkan Allah sebagai agamanya, maka tidak sekali-kali akan diterima daripadanya”

(ali-‘Imran-85)

Dan Hadis terkenal yang membicarakan semua amal bergantung kepada niat.

Saya tidak menulis bagi membandingkan kafir atau Islam. Saya tidak mengatakan bahawa yang selain daripada PAS ialah bukan Islam. Tidak, bukan itu maksudnya. Tetapi asas kepada segala amal baik untuk mendapat redha Allah ialah Islam dan kaedahnya yang betul kerana ramai dari kalangan orang Islam yang melakukan perbuatan baik, tetapi bukan atas dasar Islam. Tidak kurang juga yang melaksanakannya atas niat yang baik, tetapi tidak dengan cara yang disuruh oleh Rasulullah. Tidak cukup sahaja baik, tetapi mesti asasnya Islam dan tidak sempurna atas niat Islam jika caranya menyalahi kehendak Allah dan Rasul. 

Maka apa yang disebut oleh almarhum TGNA itu adalah sangat berasas. Pemberian bantuan yang tidak disertai dengan roh Islam, ianya seperti memberikan binatang ternakan makan. Lepas kenyang dia tidur, lepas tidur, dia berak, lepas berak lapar lagi. Sesatlah mereka tanpa panduan al-Quran yang sewajibnya diberikan kerajaan.

Sama dan serupa

Berbeza dengan kutukan PH kepada BN. PH hanya mencari populariti kerana mereka sejak awal berkempen dengan cara fitnah, membohongi rakyat dengan janji-janji mereka, mendakwa kaedah bantuan BN sebagai rasuah. Akhirnya mereka juga mengikut cara rasuah BN itu. Apatah lagi Menteri Kewangan yang sedia ada bukan Islam, jadi bagaimana mahu mencari redha Allah?

PAS bukanlah terlalu berbangga dengan apa yang mereka lakukan sekarang ini, tetapi rasa gembira mahu mengajak semua lapisan manusia kembali kepada jalan yang Islam tunjukkan. Jika mengikut Islam, ia pasti diterima Allah. Jadi tidaklah perlu berbalah tentang siapa meniru siapa dalam memberikan kebajikan kepada rakyat. Islam menyatakan kebijaksanaan itu ibarat barang mukmin yang tericicir, kita boleh mengambilnya.

PAS Terengganu contohnya, mengambil pendekatan mesra dengan berjanji untuk mengekalkan semua program kebaikan yang disediakan kerajaan terdahulu, tanpa malu demi Islam dan untuk rakyat. Dan benar, PAS Terengganu telah melaksanakannya, tetapi dipastikan ianya sesuai dengan kehendak Islam. Maka pemerintah dan rakyat mendapat manfaat dunia dan akhirat kerana tidak sahaja kelaparan jasmani dikenyangkan, tetapi juga kemahuan rohani, diisi dengan makanan jiwa. 

PAS suka ‘merasuahkan’ ahli dan rakyatnya dengan janji syurga dan menghindari mereka dari neraka dengan mengikut cara dan kaedah Rasulullah, insan terpilih. ‘Rasuah’ ini adalah paling hebat kerana ia termasuk dunia dan akhirat di dalamnya. Tiada lagi janji yang lebih besar daripada itu termasuklah janji menguasai Putrajaya. PAS tidak perlukan janji lain yang tidak dapat menandingi nilai habuan ‘rasuah’ ini, walaupun PAS akan mati tanpa kemenangan dunia. ‘Rasuah’ politik PAS mengikut acuan Allah dan Rasul dalam membantu rakyat, membezakannya dengan rasuah politik BN dan PH yang semata-mata kerana kehendak dunia, tanpa roh akhirat.

MOHD NASIR ABDULLAH 
Al-Khor, Qatar
27 Disember 2018 – HARAKAHDAILY 27/12/2018

- Advertisement -