Kes Muhammad Adib dilengahkan?

adib
- Advertisement -

PARTI Islam Se-Malaysia (PAS) memandang serius berhubung kelewatan laporan bedah siasat bagi mencari punca kematian ahli bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim.

- Advertisement -

Hari ini genap sebulan Allahyarham diserang perusuh dan telah 10 hari beliau meninggal dunia, namun keadilan masih belum ditegakkan.

Tempoh sebulan laporan bedah siasat akan disiapkan seperti yang dinyatakan oleh Timbalan Menteri Kesihatan hari ini sangat lama.

Hal ini akan menimbulkan prasangka dan rakyat semakin mendesak seperti himpunan yang dilakukan di Klang tempoh hari. Kes ini mesti diberikan keutamaan tinggi.

Perdana Menteri telah menyatakan dengan jelas pada 27 November lalu, serangan yang dilakukan terhadap Allahyarham berniat untuk membunuh.

Pihak PDRM Selangor juga telah mengklasifikasikan semula kes ini daripada cubaan bunuh kepada bunuh pada 17 Disember lalu.

Walaupun begitu, empat orang suspek yang disyaki terlibat dalam insiden serangan terhadap Allahyarham telah dibebaskan daripada tahanan reman dengan bon mahkamah RM2,000 dan jaminan polis pada 10 Disember yang lalu.

Sekiranya kes ini masih belum diselesaikan, ia akan terus menimbulkan keresahan dalam kalangan rakyat.

PAS juga kesal dengan pihak kerajaan yang masih belum memecat YB Menteri Perpaduan. Beliau adalah menteri yang perlu bertanggungjawab selain Exco Kerajaan Negeri Selangor, YB Ganabatirau Veraman yang menimbulkan provokasi perkauman dalam kes ini.

Sekiranya didapati terdapat unsur-unsur keraguan sepanjang proses siasatan, maka PAS juga menuntut satu Suruhanjaya Siasatan Diraja bagi mengendalikan kes ini.

Ia bukan hanya sekadar kes rusuhan tapi melibatkan pembunuhan seorang penjawat awam yang sedang menjalankan tugas.

Islam Memimpin

NASRUDIN HASSAN
Ketua Penerangan PAS Pusat
18 Rabi’ul Akhir 1440 | 26 Disember 2018 – HARAKAHDAILY 27/12/2018

- Advertisement -