Dangkal: PM mahu rombak kurikulum

- Advertisement -

DIA tetap seperti karang di lautan, keras dan tidak bersahabat apabila melontarkan isu-isu berkaitan Islam. Terkini, PM berusia 93 tahun ini menyorot isu kurikulum arus pendidikan perdana kononnya berteras pendidikan Islam.

- Advertisement -

Pandangan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa kurikulum sekolah kebangsaan akan diubahsuai bagi memberi lebih masa kepada mata pelajaran yang “berguna” dan tidak bertumpu kepada pembelajaran agama semata-mata mengundang persepsi awal yang tidak baik kepada masyarakat khususnya kepada umat Islam.

riduan mnorGambaran beliau bahawa kurikulum baru yang akan dilaksanakan kerajaan Pakatan Harapan pada tahun 2020 atau 2021 nanti menjadikan rakyat Malaysia dapat maju dalam setiap bidang. Iaitu dengan belajar agama tetapi bukan pada setiap waktu dalam sehari persekolahan, tetapi mungkin satu atau dua waktu.

Kenyataan PM itu berbaur dangkal dan boleh menghakis kejahilan serius pelajar dalam subjek agama Islam. Jika benar apa yang dikatanya itu dan akan dilaksanakan, umat Islam boleh membayangkan sistem pelajaran dualisme dengan subjek agama Islam semakin terpinggir dan terpuruk dari pengetahuan pelajar. Mata pelajaran agama Islam bukan lagi keutamaan dan menjadi penting, tetapi sebaliknya adalah subjek relatif sampingan kepada pelajar.

Apakah beliau berfikir dengan pengetahuan mendalam terhadap agama, akan menyebabkan umat Islam semakin ketinggalan dan tidak berdaya maju? Apakah subjek agama itu hanya untuk membaca doa semata-mata seperti tanggapan beliau? Di mana ukuran penilaian yang beliau kuat dan kaitkan dengan menyatakan hanya belajar bahasa Inggeris, Sains dan subjek lain menjadikan masyarakat maju dan bukan subjek agama Islam?

Mungkin Tun tidak sedar bahawa ramai umat Islam yang maju jauh ke depan dengan berbekalkan ilmu agama. Tidak kurang cendikiawan, profesor, penyelidik, saintis, doktor pakar, profesional yang menguasai bidang masing-masing dan mempunyai rekod tahfiz al-Quran, mahir Bahasa Arab dan cemerlang dalam bidang agama.

Umat Islam merasa sedih dengan kenyataan PM seperti itu. Dalam usianya yang semakin lanjut dan mendapat kesempatan menjadi pemimpin nombor satu negara sekali lagi beliau tidak terfikir untuk menjadikan agama Islam sebagai subjek teras kepada pelajar dengan usaha agar pelajar semakin faham dan beramal dengan agama.

Apakah Tun tidak melihat dengan sistem sekolah kebangsaan seperti sekarang, betapa ramai pelajar yang tidak tahu membaca al-Quran, tidak tahu mengerjakan solat, jahil soal hukum fardhu ain dan melakukan pelbagai kemungkaran kerana alasan jahil atau tidak tahu hukum agama.

Sepatutnya sebelum beliau memberi pandangan sebegitu dan merancang menukar kurikulum, beliau rujuk para ulamak terlebih dahulu. PM mesti mendapatkan nasihat dari mereka yang ahlinya dan mengkaji kesan terhadap masyarakat jika satu-satu kurikulum persekolahan dirombak. Apa natijah kepada orang Melayu, umat Islam dan masyarakat di bandar dan luar bandar dengan langkah yang diambil tersebut.

Umat Islam mengharapkan sebagai PM, beliau berusaha memperkasa agama Islam dengan menjadikannya subjek wajib lulus sepertimana Bahasa Malaysia. Malah, PM perlu jadikan kayu ukur mana-mana pelajar untuk masuk ke IPTA perlu lulus cemerlang dalam subjek agama.

Selain itu, pelajar yang memiliki sijil sekolah agama seperti STAM, pondok dan lain-lain memiliki kelebihan berbanding pelajar yang tidak memiliki sijil itu.

Umat Islam mesti menilai akan kegagalan negara berdasarkan acuan Islam dan kerancuan berfikir seorang sosok utama peneraju negara ini. PH jauh daripada roh penghayatan Islam dan kerosakan dalam pendidikan negara akan memberikan impak puluhan tahun selepas itu .

Rakyat Malaysia mungkin terpaksa menanti peluang mendapat PM lain yang berfikrah Islam dan meletakkan nuansa perjuangan Islam di tempat tertinggi lima tahun akan datang, usai PRU ke-15 kelak. Ayuh tingkatkan usaha mengarusperdanakan pendidikan Islam di seluruh segmen masyarakat dalam negara ini. – HARAKAHDAILY 22/12/2018

Penulis adalah Ahli Jawatankuasa PAS Pusat dan Pengerusi LESTARI.

- Advertisement -