Remedi ummah untuk konflik minoriti Muslim

- Advertisement -

SETELAH gambar-gambar yang memaparkan mangsa yang dizalimi di Uyghur dihighlightkan, hati kita tidak senang. Perasaan itu mengembalikan imbauan kisah dan sejarah penderitaan yang berlaku kepada minoriti Islam yang lain seperti di Myanmar, Sri Lanka, Kashmir dan seumpamanya. Persoalannya, kenapa mesti umat Islam yang terancam dan akan diancam? Bukankah Islam dikenali sebagai agama perdamaian? Bukankah jalan dakwah ini membawa pendamaian? Dari persoalan-persoalan ini, saya terfikir keseorangan melihat gelagat Muslim yang merasa cukup kuat dakwah apabila boleh berbaik-baik dengan non-Muslim, walaupun selama ini telah timbul kebaikan itu. Apakah kebaikan itu boleh membenarkan Islam boleh diperbincangkan tanpa garis sempadan?

- Advertisement -

Berfikir secara lurus itu baik, tetapi baikkah jika ia berfikir seperti itu dalam konteks strategi dakwah. Menyorot langkah awal dakwah sehingga kejayaan membina kota Madinah semuanya adalah berasaskan strategi dakwah yang jitu. Menyingkap doa Rasulullah SAW kepada dua Umar supaya masuk Islam adalah strategi dakwah. Bolehkah kita berfikir kenapa doa Rasulullah SAW hanya kepada dua Umar bukan kepada sahabat yang lain? Bukankah kita pernah mendengar Rasulullah SAW pernah ditawar bergusti. Saat dan ketika itu, gusti adalah cara dakwah Rasulullah SAW yang terbaik. Tidakkah dengan cara dakwah begini bertujuan menonjolkan kekuatan umat Islam dan mempamerkan kelemahan musuh supaya musuh mengakui kehebatan Islam.

Sekarang, kenapa umat Islam dilihat lemah? Ia kerana umat Islam kurang dihormati. Ini semua kerana salah strategi dakwah. Nilaian dakwah kita tidak kemana dan laluannya agak kurang kena tidak seperti yang pernah ditunjukkan oleh Rasulullah SAW.

Laluan dakwah ada dalam kalangan kita seperti ini iaitu apabila musuh berfikir nak menjatuhkan melalui cara baik, kita kata musuh baik. Kita kata kita berjaya berdakwah, kerana musuh itu baik dengan kita. Kita lupa itu mad’u dalam konteks musuh, kita pun mudah hulur tangan. Tambahan lagi bila musuh minoriti dapat kuasa, musuh buat baik dengan kuasa yang ada. Kita kata patut pun musuh dapat jawatan itu kerana sesuai dengan kelayakan dan musuh buat cara baik. Kita hulur lagi tangan bagi apa yang kita ada tanpa berfikir itu musuh kerana ada benda boleh dapat dari musuh kita.

Jika musuh majoriti seperti di luar negara yang ada kuasa, mereka telah buat cara zalim. Baru sedar bahawa musuh itu boleh buat zalim juga. Bila musuh sedar kita boleh lawan zalim mereka, musuh buat cara lembut balik, kita hulur balik tangan tanpa sedar itu musuh yang pernah buat zalim. Tup-tup musuh buat zalim balik, kita terimbau kezaliman lama, kita mula sedar dan menyesal. Dalam keadaan menyesal tu, musuh datang buat baik, kita sekejap sahaja lupa itu musuh kita, kita kembali hulur tangan.

Kita banyak maafkan musuh dengan kononnya ada dalil dari al-Quran dan hadith meminta kita buat begitu.

Berbeza dengan saudara seagama kita yang tidak dikenal sebagai musuh. Walaupun kita kenal dia saudara seagama kita, kita banyak ambil dalil untuk lebih kuat memusuhi dan memecah belahkan lagi saudara seumat Islam. Dan sangat berkira dengan kesalahan saudara seagama kita dan mengatakan itu dari dalil al-Qur’an dan hadith. Kita cepat membuat perbandingan pula kesalahan saudara seagama dengan kebaikan saudara tidak seagama, kemudian kita melatah dan cepat menuduh yang bukan-bukan kepada saudara seagama. Apakah itu sebenarnya amalan yang dilakukan oleh Rasulullah SAW?

Selagi kaedah berfikir kita masih di tahap ini, kita tidak akan ke mana dalam memikirkan kesatuan umat Islam bagi mempertahankan saudara minoriti kita di Uyghur, Rohingnya, Sri Lanka, Palestin dan seumpamanya. Salah-menyalah dan tuduh menuduh antara satu sama lain dalam isu politik dan mazhabiyah banyak menyingkirkan umat Islam dari landasan perpaduan yang sebenar.

Kita takut apabila keadaan itu terus berlaku, doa kita pula tidak dimakbulkan Allah SWT kerana tiada rahmat perbezaan dalam permusuhan. Walau bagaimanapun, jangan berhenti berdoa kerana kita tidak tahu bila Allah akan makbulkan doa kita. Doa kita bukan sahaja untuk Uyghur dan umat Islam yang lain, malah berdoalah agar kesatuan umat Islam semakin utuh terutama di tanah air kita yang tercinta ini agar ia menjadi remedi kepada konflik minoriti umat Islam yang berlaku ketika ini.

Islamic Political Economy
Center for Islamic Development Management Studies,
Universiti Sains Malaysia &
National Centre for Peace and Conflict Studies
University of Otago,
New Zealand – HARAKAHDAILY 22/12/2018

- Advertisement -