Apa gara-gara MP Umno lompat?

- Advertisement -

UMNO masih parti teramai ahli parlimen (MP)nya dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) walaupun BN tumbang. Nombor dua PKR dan nombor tiga DAP.

- Advertisement -

Sebagai parti teramai MP tetapi tidak majoriti demokrasi tidak memberi laluan kepadanya membentuk kerajaan justeru sekalian majoriti yang bergabung dalam Pakatan Harapan (PH) dengan majoriti mudah dapat membentuk kerajaan.

Bersatu corot MPnya demokrasi setuju ia mengetuai kerajaan baharu, mengenepikan komponennya yang lebih kanan.

Betullah firman Allah yang bermaksud, Dia beri kuasa kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya dan mencabut kuasa dari sesiapa yang dikehendaki-Nya baik dalam dunia demokrasi atau tidak. Di Perak, Bersatu dengan seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) sahaja jadi Menteri Besar dalam demokrasi kita.

Minggu pertama seorang MP Umno keluar parti. Bulan pertama tiga lagi cabut – dua di Perak, satu di Kelantan. Semuanya transit MP Bebas yang destinasinya Bersatu.

Yang lain mengaku mahu bersama partinya yang dikatakan keramat Melayu. 61 tahun tidak berundur kerana menyangka keramatnya. Dengan keramatnya ia turun bersama PAS beratus ribu dalam himpunan 812 menentang ICERD yang ia yakin mengancam Melayu/Islam. Islam/Melayunya itu dikira kunci keramatnya 61 itu.

Dua minggu lepas himpunan mempertahankan Islam/Melayu hampir semua MP, Adun dan ketua bahagiannya di Sabah keluar Umno menyertai Bersatu yang mulanya dipercayai pro ICERD, kemudian cop tidak menerimanya tetapi belum menentangnya. Ia diikut dua minggu kemudian enam MP keluar Umno. Ia menjadikan Umno tinggal dekat separuh MP yang dimenanginya itu.

Yang di Sabah itu tidak pelik. Sejarahnya bersama Usno bila ia berkuasa, habis ikut Berjaya bila Usno tewas. Bila Berjaya tumbang datanglah Umno ke situ jadi bapa angkat mereka. Kini giliran Umno tumbang, tidak menghairankan begitu bagi Umno Sabah.

Tapi yang di Semenanjung khususnya Johor yang terkenal setia dengan keramat parti itu, macam sama dengan Umno Sabah, menjadikan ia tidak betul-betul keramat.

Atau keramatnya hanya bagi generasi menuntut kemerdekaan. Setelah generasi pejuang itu habis, Umno dimasuki gejala cari makan, cari peluang, cari kekayaan dan cari kedudukan. Pernah berbangkit Umno macam dikuasai oleh orang korporat yang berbadan Umno tetapi hati tidak Umno.

Pasca PRU14, MCA tinggalkan BN. MCA tinggalkan Umno kerana Umno sekadar rakan kongsi, bukan partinya. Tetapi kini Umno sendiri tinggalkan Umno. Ia seolah-olah dagang pada Umno di tengah orang Melayu.

Adakah nasibnya macam Soviet Rusia? Selepas 70 tahun berkuasa, ia kalah. Sampai sekarang komunis pupus di Rusia. Adakah Umno jadi macam nasib komunis itu juga?

Sejak 20 tahun mulai ada Umno malu mengakut Umno. Mereka masuk Umno juga kerana peluang dan kemenangan. Bila sekali Umno kalah, yang tidak rasa ia keramat, sekalipun dia menang PRU, partinya tidak menjanjikan peluang dan wang, dia pun cabut.

Yang pergi itu yang besar-besar belaka. Akar umbi yang miskin tidak dipastikan. Ramai mana MPnya bertahan hingga PRU15?

Umno tidak dapat bergantung pada angkatan Najib-Zahid. Rata-rata sebelah kaki di mahkamah. Ia menunggu angkatan Khairy Jamaludin. Yang lari mengejar Bersatu yang tidak anti ICERD. Adakah Bersatu ganti tepat Umno?

Masa depan Islam/Melayu tanpa ICERD bukan Bersatu dan PH. Tetapi taawun PAS-Umno jika Umno dapat bertahan.

PAS adalah sama baik Umno ada atau Umno tidak ada. Sendiripun PAS tetapi lawan ICERD. Pilihan terbaik Umno melawan ICERD adalah PAS kerana pada PAS Islam memimpin. Dengan Bersatu/PH Islam dipimpin. – HARAKAHDAILY 21/12/2018

- Advertisement -