Kematian Adib: Menteri mesti tegas

UIA01
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Menteri perlu mengeluarkan kenyataan tegas supaya pesalah yang bertanggungjawab atas kematian anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim yang dipukul dalam rusuhan di depan Kuil Sri Maha Mariamman di USJ 25, Subang Jaya pada 26 November lalu secepat mungkin didakwa dan dihukum.

- Advertisement -

Ia berikutan kenyataan Menteri Pertanian, Industri dan Asas Tani, Dato’ Salahuddin Ayub, Menteri Kesihatan, Dato’ Seri Dzulkefly Ahmad dan Menteri Perpaduan dan Kesejahteraan Sosial,P Waytha Moorthy meminta rakyat menerima kematian Adib sebagai takdir dan menjaga perpaduan dan keamanan.

Menurut Naib Presiden PAS, Ustaz Idris Ahmad, tidak sepatutnya mengeluarkan kenyataan sekadar untuk melepaskan diri apabila rakyat meminta keadilan diatas kematian Adib.

“Menteri tidak sepatutnya mengeluarkan kenyataan mudah sebegitu, kerana ia boleh menyinggung sensetiviti orang melayu.

“Sepatutnya sebagai menteri perlu bercakap dengan memberi ketegasan dalam perkara ini supaya pesalah yang terlibat secepat mungkin ditangkap. Jangan memberi pandangan yang hanya seolah-olah ingin melepaskan diri,” katanya.

Idris berkata, pemergian Adib satu ketentuan, akan tetapi keadilan perlu diberikan dan tiada perkaitan dengan soal perpaduan.

“Tidak boleh mengatakan bahwa ia boleh menggugat perpaduan kaum dan sebagainya. Kita hanya meminta keadilan.

“Perkara ini melibatkan nyawa penjawat awam yang meninggal sewaktu menjalankan tugasan,” jelasnya.

Beliau berharap pesalah mesti diberi hukuman setimpal dan jangan dibiarkan bebas kerana perbuatan samseng mereka tidak layak berada di negara ini yang sudah sekian lama aman dan harmoni.

Jelasnya lagi, mereka yang membuat pembohongan mengatakan Adib dilanggar oleh kenderaan bomba dan bukan dipukul juga perlu didakwa. – HARAKAHDAILY 20/12/2018

- Advertisement -