Desak Waytha, Kula, Ganabatirau letak jawatan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Gerakan Pembela Ummah (Ummah) bersama beberapa badan bukan kerajaan (NGO) Melayu menuntut Menteri Perpaduan, Waytha Moorthy, Menteri Sumber Manusia, M Kula Segaran dan Ahli Exco Negeri Selangor V. Ganabatirau meletak jawatan segera serta didakwa.

- Advertisement -

Ini berikutan kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim semalam selepas mengalami kecederaan parah akibat dipukul dalam rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman pada 27 November lalu.

Pengerusi Ummah, Aminuddin Yahya berkata mereka perlu didakwa dan meletakkan jawatan segera kerana gagal menangani kes rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman sehingga timbulnya ketegangan.

Katanya, satu memorandum akan diserahkan kepada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pada Jumaat ini bagi menuntut keadilan di atas kematian Muhammad Adib.

Menurutnya, terdapat lima tuntutan yang dikemukakan antaranya menggesa pihak polis membuat siasatan segera mungkin terhadap pesalah dan perlu dikenakan hukuman mati di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan jika disabit kesalahan.

Aminuddin berkata, semua moratarium terhadap hukuman mati yang sedang berlangsung mesti dibatalkan dan semua unndang-undang yang memperuntukkan hukuman mati mesti dilaksanakan sepenuhnya.

Dalam masa yang sama, beliau turut menuntut pihak yang berbohong mengatakan Adib dilanggar kenderaan bomba bukan dipukul mesti memohon maaf dan minta pihak berkuasa menyiasat dakwaan mereka yang memberi fitnah kepada pihak luar tentang rusuhan tersebut.

“Kami akan berkumpul di Masjid Putra, Putrajaya pada Jumaat ini selepas solat bagi menyerahkan memorandum kepada Tun Dr Mahathir Mohamad atas semua tuntutan telah dikemukakan.

“Ini bukan rusuhan kaum atau agama tetapi menuntut keadilan untuk Allahyarham Adib,” katanya dalam sidang media, hari ini.

Aminuddin meluahkan rasa kecewa kerana mereka yang bertanggungjawab di atas kematian Adib masih lagi bebas dan tiada pendakwaan dikenakan.

“Di mana keadilan dan pertimbangan kemanusiaan oleh pemerintah sekarang?” soalnya. – HARAKAHDAILY 18/12/2018

 

- Advertisement -