Media macam senjata, jangan guna berbohong

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Media mempunyai peranan sangat penting kepada perpaduan ummah, namun cadangan meluluskan ‘Akta Bohong’ adalah sesuatu yang merisaukan kerana membawa kepada kejahatan.

- Advertisement -

Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, sepatutnya akta sedemikian tidak perlu diluluskan kerana bohong adalah haram dan tidak sepatutnya diberi lesen untuk bohong.

Perkara tersebut dinyatakan beliau pada program Bicara Minda Bersama Presiden PAS anjuran Sinar Harian yang dilangsungkan di syarikat media itu di Shah Alam, petang kelmarin.

“Itu satu undang-undang yang mengarut, kita jangan benarkan bohong ini menular dalam masyarakat. Nabi bersabda, bohong ini membawa kepada kejahatan. Kejahatan membawa kepada neraka.

“Jadi jangan orang itu dia berbohong, akhirnya ke neraka. Ini Nabi beri amaran begitu, kita kena ajar. Apalagi kita kena sedar apa yang kita tulis, yang kita beritakan, kalau perkara itu kebajikan, membawa kebaikan kepada ramai, pahala bepanjangan.

“Walaupun kita dah meninggal dunia, kita dah mati, tapi orang manfaat apa yang kita bawa ini. Pahala sampai dalam kubur kita, sampai kiamat,” jelas beliau.

Terangnya, begitu juga dengan kejahatan di mana jika ia ditunjukkan kepada manusia hingga orang melakukannya atau sesat, maka dosa berpanjangan juga akan diterima pihak yang memulakannya.

“Ini peranan media, sangat penting. Media ini macam senjatalah, boleh guna untuk pertahan diri, untuk manfaat, untuk merompak pun boleh juga. Begitulah,” kemukanya menasihati. – HARAKAHDAILY 14/12/2018

- Advertisement -