Selesai masalah seadilnya, jangan politik atau aibkan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Masalah berlaku atas entiti perniagaan atau kewangan negara mesti diselesaikan secara adil menerusi siasatan, Suruhanjaya DiRaja atau bebas, proses kehakiman atau pengurusan dan pentadbiran.

- Advertisement -

Demikian tegas Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang pada program Bicara Minda anjuran Sinar Harian yang telah dilangsungkan di syarikat media itu di Shah Alam, petang semalam.

Katanya, jangan ada agenda-agenda politik atau untuk mengaibkan disebalik usaha untuk menyelesaikan masalah Tabung Haji, Perwaja, PKFZ, KWSP, BMF, 1MDB dan lain-lain hingga tenggelam dalam lipatan sejarah.

“Saya takut (isu Tabung Haji) ini pun tenggelam juga dan jangan dikambing hitamkan. Apa lagi namanya Tabung Haji, nama Islam, nak momokkan Islam. Ini saya sangat risau. Padahal silapnya bukan sahaja Tabung Haji.

“Termasuklah juga pembangunan di Pulau Pinang, yang runtuh menimbulkan korban mati itu, perlu disiasat juga mengapa diluluskan projek-projek itu. Tetapi oleh kerana yang silap itu kerajaan mungkin yang memerintah, (maka) dibiarkan,” kesalinya.

Beliau menggesa supaya semua prosedur dan proses berkaitan yang disebutnya itu dilaksanakan tanpa mengira pihak pelaku penyebab kepada masalah kepada institusi atau kejadian berkaitan. 

Tuan Guru juga tidak bersetuju cadangan untuk memindahkan Tabung Haji sebagai bank, sebaliknya perlu dipulih, diislah dan dibaiki kesilapan yang ada.

“Jangan dengan sebab ada seekor nyamuk, kita bakar kelambu, itu tidak betul,” peringatnya.

Menurutnya, Tabung Haji yang merupakan hasil buah fikiran Prof Ungku Abdul Aziz Ungku Abdul Hamid perlu dihargai dengan memulih dan membetulkan kesilapan secara penuh tanggungjawab.

“Sepatutnya kita kena perkenalkan kewangan kita sendiri, kewangan Islam. Ini sangat penting dan Tabung Haji ini lebih tertumpu kebajikan jemaah haji, bukan untuk berniaga sahaja. Kebajikan Tabung Haji ini sangat perlu dititikberatkan,” serunya.

Beliau juga menyentuh isu Peristiwa Berdarah Memali yang ditegaskannya PAS sejak dahulu mahu Suruhanjaya Siasatan DiRaja dibentuk dan bersuara di Parlimen mengenainya.

PAS katanya tidak pernah berdiam dalam hal itu, namun sindir beliau, mungkin orang telah lupa kerana Melayu mudah lupa di mana kini terserah kepada pihak kerajaan untuk mengendalikannya. – HARAKAHDAILY 13/12/2018

- Advertisement -