Nilai permintaan dan penawaran wakil rakyat

- Advertisement -

SETIAP wakil rakyat yang dilantik, adalah mereka yang memenangi pilihan raya.

- Advertisement -

Sebagaimana di dalam sebuah pasaran terbuka, wujud permintaan dan penawaran yang ditentukan oleh harga yang menjadi titik pertemuan.

Semasa pilihanraya, rakyat berada di garis permintaan bagi memenuhi kehendak untuk melantik pemimpin dan kerajaan yang dapat membela nasib rakyat. Manakala calon dan parti yang bertanding berada di garis penawaran, bagi memaksimakan undi yang diperoleh dengan mengemukakan pelbagai janji untuk membela rakyat.

Pada hari pengundian, pengundi akan memilih calon dan parti yang boleh memenuhi kehendak mereka, dan calon yang mendapat undi tertinggi akan diisytiharkan sebagai pemenang di dalam ‘pasaran terbuka’ oleh pihak SPR.

Namun permintaan dan penawaran wakil rakyat di Malaysia, tidak terhenti pada hari pengundian sahaja.

Senario politik negara yang terlalu dinamik dengan persaingan kuasa di antara PH, BN dan PAS menyebabkan nilai wakil rakyat kembali menjadi rebutan, namun kali ini di dalam ‘pasaran gelap’ yang tidak terbuka.

Wakil rakyat yang telah dilantik kini kembali berada di garis penawaran, bagi memenuhi permintaan pihak tertentu yang sudi membayar ‘habuan’ yang dipersetujui bersama.

Jika rundingan di ‘pasaran gelap’ ini mendapat persetujuan di pihak yang meminta dan menawarkan diri, maka berlakulah penghijrahan dalam kalangan wakil rakyat tanpa mempedulikan kehendak asal para pengundi yang telah memilih mereka dalam pilihan raya.

Kalangan pengundi pula hanya mampu melihat, karenah wakil rakyat yang hanya mementingkan kepentingan peribadi, tanpa mempedulikan nasib pengundi yang menaruh harapan kepada mereka. Namun rakyat semakin celik untuk menilai, wajah sebenar wakil rakyat dan parti politik yang ikhlas berprisip membela nasib rakyat.

Walau apapun tujuannya, penghijrahan wakil rakyat secara ‘runcit dan borong’ yang berlaku ini tidak terjadi secara kebetulan.

Pastinya di sana ada asbab yang tersurat, namun hanya Allah yang mengetahui apakah hikmah yang tersirat.

SYAHIR SULAIMAN
Pengarah Strategi DPPM
13 Disember 2018 – HARAKAHDAILY 13/12/2018

- Advertisement -