Fahaman yang longgar masih cintakan ICERD

- Advertisement -

PERISYTIHARAN penentangan terhadap diskriminasi dalam bahasa Inggeris disebut ‘discrimination’, manakala dalam Bahasa Arabnya تمييز أو تفرقة)). Perkara ini menjadi konsep perjuangan yang kononnya diperkenankan di peringkat antarabangsa dengan deklarasi yang dinamakan ICERD.

- Advertisement -

Walaupun adanya penjelasan daripada mantan Ketua Hakim Negara dan YAB Perdana Menteri Malaysia, bahawa mustahil meratifikasikan ICERD di negara ini, kerana bercanggah dengan dasar Perlembagaan Negara dan disertai pula dengan bantahan umat Islam, sehingga ramai yang membuat pusingan ke belakang (u-turn) dan ada yang sehingga berlipat. Namun, tiba-tiba masih ada yang masih menzahirkan sikap liberal dan sewenangnya menyatakan harapan untuk kembali meratifikasikan ICERD itu apabila tiba masanya nanti, yakni apabila rakyat sudah faham. Seolah-olah semua rakyat yang menolak ini adalah bodoh, hanya dari kalangan mereka sahaja yang paling cerdik.

Saidina Ali R.A. menegaskan:

كلمة حق أريد بها باطل (رواية إمام مسلم)

“Kata-kata (yang dilihat pada zahirnya) benar, namun tujuannya salah (sesat lagi menyesatkan)”.

Umat Islam yang berimankan kepada Allah dan Rasul serta Hari Akhirat, petunjuk dan panduan mereka adalah Kitab Allah Al-Quran dan Rasulullah S.A.W. telah menunjukkan pelaksanaannya menerusi hikmah (kebijaksanaan) yang dipelihara ilmunya oleh para ulama’ dengan amanah yang tiada berlaku pengkhianatan.

Islam telah mendahului usaha dalam menentang diskriminasi seperti kita dapati daripada perisytiharan ICERD ini, lebih dari 1400 tahun lalu melalui Al-Quran yang diwahyukan dan pelaksanaan dalam masyarakat majmuk dan negara berdaulat.

Islam tidak sama dengan pemahaman mereka itu kerana konsep Islam adalah istiqamah (konsisten) dan murunah (anjal atau fleksibel) dalam menegakkan keadilan mengikut takrifnya yang sebenar.

Dalam masa sama, Islam turut menentang sebarang bentuk diskriminasi dengan ciri-ciri dan pendekatan beriman dan budiman. Ajarannya menepati fitrah (naluri) dan tidak jumud menghadapi perkembangan situasi serta realiti yang boleh berubah dan berbeza. Namun tidak terkeluar dan terpesong daripada landasan dan matlamatnya yang tetap tidak berubah bagi mentaati Allah dan mendapat keredhaan-Nya.

Sifat kemanusiaan itu dalam persamaannya yang tetap dan teguh, namun ada juga perkara yang berbeza fitrah kejadiannya seperti antara lelaki dan wanita, kerana peranan kehidupan yang tidak mungkin dipinda dan diubah mengikut ketetapan Allah. Contohnya mengandung dan menyusu anak ketika bayi secara tabie hanya kepada wanita sahaja, bukan kepada lelaki. Maka tidak seharusnya tugas seperti ini dipaksakan kepada lelaki.

Selain itu juga dalam melaksanakan tugas yang bergantung dengan kekuatan tenaga fizikal semula jadi kaum lelaki atau kaum wanita sahaja yang tidak mungkin dipaksa kaum wanita untuk melaksanakannya atau sebaliknya. Walaupun kononnya ICERD bertujuan untuk menghapuskan diskriminasi dalam perbezaan yang mustahil dihapuskan.

Haram bagi kita umat Islam, bahkan semua umat agama yang bermoral menghalalkan LGBT, bagi membatalkan sistem hubungan kekeluargaan yang telah ditetapkan oleh Tuhan Pencipta Alam. Tidak mungkin diizinkan walaupun di atas nama hak asasi manusia, kerana sebenarnya melanggar sempadan hak asasi manusia mengikut sempadan ciptaan Allah. Ia laksana mengubah hujan naik ke langit. Cukup bagi kita menjadikan teladan runtuhnya institusi keluarga di negara Barat yang tidak boleh menjadi teladan yang baik.

Islam juga tidak berkonsep jumud kerana Khalifah Umar bin Al-Khattab menerima sistem menggredkan gaji dan bayaran pencen yang diamalkan oleh kerajaan Rom dan Parsi walaupun mengubah sistem persamaan bayaran pada zaman awal kerajaan Rasulullah S.A.W. dan Khalifah Abu Bakar R.A.

Perubahan dilakukan apabila kewangan negara sudah mencukupi, maka langkah Khalifah Umar bukannya mengamalkan diskriminasi tetapi meletakkan kedudukan mengikut tempat yang sewajarnya kerana perbezaan peranan dan kepandaian.

Allah berfirman:

أَهُمْ يَقْسِمُونَ رَحْمَتَ رَبِّكَ ۚ نَحْنُ قَسَمْنَا بَيْنَهُم مَّعِيشَتَهُمْ فِي الْحَيَاةِ الدُّنْيَا ۚ وَرَفَعْنَا بَعْضَهُمْ فَوْقَ بَعْضٍ دَرَجَاتٍ لِّيَتَّخِذَ بَعْضُهُم بَعْضًا سُخْرِيًّا ۗ وَرَحْمَتُ رَبِّكَ خَيْرٌ مِّمَّا يَجْمَعُونَ (32)

“Mengapa pemberian Kami itu mereka ingkarkan? Adakah mereka berkuasa membahagi-bahagikan rahmat Tuhanmu. Kami membahagi-bahagikan antara mereka segala keperluan hidup mereka dalam kehidupan dunia ini, (sebahagiannya Kami jadikan kaya raya dan sebahagiannya miskin menderita). Dan juga Kami telah menjadikan darjat sebahagian dari mereka tertinggi dengan darjat sebahagiannya yang lain. Semuanya itu supaya sebahagian dari mereka senang mendapat kemudahan menjalankan kehidupannya dari (bantuan) sebahagiannya yang lain. dan lagi rahmat Tuhanmu (yang meliputi kebahagiaan dunia dan akhirat) adalah lebih baik dari kebendaan dan keduniaan semata-mata yang mereka kumpulkan”. (Surah Az-Zukhruf: 32)

Tidak mungkin semua manusia menjadi majikan yang tiada buruh atau semuanya menjadi buruh tiada majikan. Kemampuan dan kebolehannya tetap berbeza, namun Islam menetapkan hubungan dan jalinannya mengikut petunjuk Allah yang Maha Adil lagi Maha Bijaksana.

Islam menegaskan bahawa manusia itu ialah satu keluarga besar, dan asas kemanusiaan bermasyarakat madani yang mewajibkan kita saling berhubung dan tolong-menolong walaupun adanya kepelbagaian dan perbezaan.

Firman Allah:

يَا أَيُّهَا النَّاسُ إِنَّا خَلَقْنَاكُم مِّن ذَكَرٍ وَأُنثَىٰ وَجَعَلْنَاكُمْ شُعُوبًا وَقَبَائِلَ لِتَعَارَفُوا ۚ إِنَّ أَكْرَمَكُمْ عِندَ اللَّهِ أَتْقَاكُمْ ۚ إِنَّ اللَّهَ عَلِيمٌ خَبِيرٌ (13)

“Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu pelbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, Lagi Maha Mendalam Pengetahuan-Nya (akan keadaan dan amalan kamu”. (Surah Al-Hujuraat: 13)

Islam menegaskan supaya bersikap adil terhadap seluruh manusia tanpa mengira bangsa, keturunan, warna kulit dan agama, kawan dan musuh. Firman Allah:

إِنَّ اللَّهَ يَأْمُرُكُمْ أَن تُؤَدُّوا الْأَمَانَاتِ إِلَىٰ أَهْلِهَا وَإِذَا حَكَمْتُم بَيْنَ النَّاسِ أَن تَحْكُمُوا بِالْعَدْلِ ۚ إِنَّ اللَّهَ نِعِمَّا يَعِظُكُم بِهِ ۗ إِنَّ اللَّهَ كَانَ سَمِيعًا بَصِيرًا (58)

“Dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menghukum dengan adil. Sesungguhnya Allah dengan (suruhan-Nya) itu memberi pengajaran ang sebaik-baiknya kepada kamu. Sesungguhnya Allah sentiasa Mendengar, lagi sentiasa Melihat”. (Surah An-Nisa’: 58)

Islam mewajibkan zakat harta dan hasil usaha daripada orang kaya, diwajibkan zakat ke atas penganut Islam dan diberi hak istimewa menerima zakat daripada kalangan tertentu dalam kalangan umat Islam sahaja kerana sifat dan ciri ibadatnya. Dalam masyarakat majmuk, kalau ada lebihan boleh diberi kepada yang lain.

Dalam masyarakat yang lebih majmuk pula, diadakan cukai dan sebagainya daripada kalangan yang berada termasuk kalangan bukan Islam, dan diberi keistimewaan bantuan kepada yang berhak. Antaranya disebut kalangan Zil Qurba, keluarga atau kaum kerabat Rasulullah S.A.W. yang diharamkan menerima bantuan zakat.

Adilnya Islam ini menyeluruh dalam segala aspek. Namun umat Islam hilang kerajaannya yang beramal dengan seluruh ajaran Islam yang sempurna, disebabkan usia dan leka sehingga dijajah oleh Barat. Saki baki pengaruh penjajah Barat masih melekat dalam benak pemikiran dan cara hidup mereka. Maka wajah umat Islam dan negaranya tidak boleh menjadi ukuran kepada hakikat ajaran Islam.

Maka jangan mengambil kira daripada ukuran majoriti negara OIC yang menerima ICERD pada hari ini, kerana keseluruhan negara umat Islam itu telah jauh meninggalkan ajaran agamanya, kerana masih dibejati kesan pemikiran penjajah yang mencipta acuan kemerdekaannya. Bahkan sebahagian besarnya tidak seberani Malaysia yang menegaskan Islam adalah agama negara dalam perlembagaannya dan tiada pangkalan tentera asing di atas buminya.

Walaupun negara kita masih belum sempurna kemerdekaannya, dan masih ada kekurangan, namun kita lebih baik merdekanya daripada kebanyakan negara anggota OIC yang menerima ICERD itu.

Antaranya, Alhamdulillah di tanah air kita tiada pangkalan tentera asing dan mengikat diri seperti negara Arab. Ikatan kita dengan negara penjajah tidaklah seberat negara-negara yang menerima ICERD itu.

Kita sedang berusaha dan perjuangan umat Islam membebaskan diri daripada penjajah belum selesai. Masih banyak ajaran Islam belum dilaksanakan dan umat Islam yang menjadi majoriti Bumiputera paling parah menerima penyakit yang ditinggalkan oleh penjajah itu, sehingga lebih parah peninggalannya daripada bangsa lain yang dibawa ke sini juga oleh penjajah.

Generasi mutakhir pejuang kemerdekaan telah berjaya meletakkan beberapa asas dan tonggak untuk mengembalikan semula kekuatan dan mempertahankan kedudukan umat Islam dan bangsanya yang lebih awal berada di sini, dengan perkara yang dinamakan hak istimewa dari segi agama, politik, ekonomi, bangsa, bahasa dan lain-lain.

Begitu juga dengan semangat persaudaraan kemanusiaan yang diberikan kepada kaum lain yang turut menjadi mangsa dibawa penjajah yang telah mencaturkan kedudukan demi kepentingan jangka panjang penjajah itu dengan dipasang bom jangka yang sengaja ditinggalkannya. Maka sepatutnya dipotong tangan-tangan yang meraba bom jangka ini.

Fahamilah bahawa Amerika yang paling ke hadapan dari kalangan negara Barat itu kerana dianggap paling demokratik dan berjuang hak asasi manusia selepas menghayati Revolusi Perancis yang menjadi kebanggaan Barat menentang aparteid, dan diskriminasi, sehingga dianggap berjaya apabila melantik Obama berkulit hitam menjadi Presiden, namun gagal menangani hak yang adil kepada orang kulit hitam, Red Indian dan hak pelarian di Eropah. Terkini berpatah balik dengan sikap Presiden Trump terhadap pendatang-pendatang khususnya negara paling jiran dan melindungi pembunuh jakun yang memancung kepala dan mencincang badan manusia dengan zalim kerana mata duitan.

Mereka tidak mampu mencapai apa yang dijayakan oleh Islam pada zaman lemah ketika masih berkuasa tanpa seluruh ajaran Islam dilaksanakan. Namun berjaya menunjukkan contoh seperti langkah kerajaan Uthmaniyyah memberi perlindungan kepada orang-orang Yahudi yang dizalimi dan menjadi mangsa pembunuhan oleh penganut Kristian selepas kejatuhan Islam di Andalus.

Apabila Allah mengurniakan kepada kita konsep adil dan menentang diskriminasi daripada petunjuknya yang sempurna, maka kita wajib mengIslamkan diri kepadanya. Walaupun terdapat kemungkinan adanya beberapa titik persamaan dengan perkara yang terkandung di dalam ICERD itu, namun prinsip dan konsepnya yang berlainan menjadikan kita tidak beristiqamah.

Adapun dari kalangan yang menyaksikan majoriti besar negara anggota OIC dan negara bukan Islam meratifikasikannya, laksana falsafah Pak Pandir yang menyeberangi sungai memberanikan diri meniti di atas batang yang reput, berhujahkan jutaan semut yang sedang menitinya dengan selamat.

“Islam Memimpin”

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
Bertarikh: 4 Rabi’ul Akhir 1440 / 13 Disember 2018 – HARAKAHDAILY 13/12/2018

- Advertisement -